Mengintai kerusi panas Parlimen Teluk Intan

Selepas Mac 2008 dan sehingga 31 Mei 2014, tiada siapa menyangka BN boleh menang semula kerusi Teluk Intan.

Ini kerana DAP menang dengan majoriti cukup besar untuk dua kali pilihanraya umum.

Tapi sokongan berubah, malam keputusan pilihanraya kecil Teluk Intan pada 31 Mei 2014, Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong diumumkan menang menewaskan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud, dengan majoriti 238 undi.

Kini kerusi tersebut kembali panas selepas DAP dalam usaha merampas Teluk Intan, meletakkan calon mereka tidak kurang daripada Pengerusi DAP Perak sendiri Nga Kor Ming.

'Naga lawan naga' kata orang Cina... keputusan meletakkan Nga diumumkan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, dalam program ceramah pakatan pembangkang, di Teluk Intan beberapa malam lalu.

Kemudian bos Nga, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng turut mengesahkan pencalonan orang kuat DAP di Perak itu untuk menjadi calon dan bertanding di Teluk Intan.

Bos DAP pusat, yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang itu berpendapat oleh kerana kerusi Parlimen Teluk Intan disandang oleh seorang menteri, maka pakatan pembangkang perlu mengemukakan ‘nama besar’ untuk memenangi kerusi itu.

``Kita hantar seorang tokoh yang akan dilantik menjadi menteri jika pakatan pembangkang menang di Putrajaya, untuk bertanding di Teluk Intan,” kata Guan Eng.

Berikutan pengesahan itu, Kor Ming dijangka berhadapan Mah Siew Keong, yang sebelum ini sudah beberapa kali menyatakan hasrat mempertahankan kerusi tersebut.

Kor Ming memenangi kerusi Parlimen Taiping pada PRU-13, menewaskan Ketua Wanita GERAKAN, Datuk Tan Lian Hoe, dengan majoriti 11,745 undi.

Pemerhati politik pula melihat pertarungan antara Kor Ming dan Siew keong  tidak lebih kepada usaha DAP untuk membalas dendam atas kekalahan calon wanita mereka Dyana Sofya pada PRK lalu.

DAP juga  dilihat cuba menunjukkan kepada pengundi khasnya masyarakat Cina kononnya Kor Ming merupakan calon pilihan tepat mereka yang mampu menewaskan Siew Keong.

Namun pemerhati melihat hasrat dan impian DAP untuk mengalahkan Siew Keong sekaligus merampas kembali kerusi Parlimen Teluk Intan dijangka tidak kesampaian kerana mereka sudah ketandusan isu untuk dimainkan bagi meraih sokongan `bulat' pengundi di kawasan parlimen itu.

Isu `kitar semula’ antaranya kos sara hidup, IMDB dan GST terus mereka mainkan semula pada siri ceramah pembangkang  di Teluk Intan malam tadi dalam usaha habis-habisan mereka untuk memburuk-burukkan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Apapun menurut pemerhati lagi, para pengundi di Teluk Intan sudah bijak membuat pertimbangan dan menilai baik buruknya sekiranya mereka memilih calon pembangkang walaupun ia merupakan seorang pemimpin atau tokoh besar.

Hakikat ini turut diakui SetiausahaP olitik Datuk Seri Mah Siew Keong, Ivanpal Singh  yang menurutnya pengundi Teluk Intan sukar menerima calon luar seperti Kor Ming yang langsung tidak tahu menahu latar belakang kependudukan dan kemahuan serta kepentingan masyarakat berbilang kaum di Teluk Intan.

Beliau juga berpendapat  rata-rata  penduduk Teluk Intan sudah selesa dengan khidmat bakti yang dicurahkan oleh bossnya dalam membawa perubahan dan pembangunan pesat di kawasan parlimen itu.

``Saya melihat sendiri pengundi -pengundi di Teluk Intan  sekarang tidak mudah digula-gulakan dengan janji kosong pembangkang malah sekalipun dimainkan sentimen perkauman dan politik sempit DAP.

``Pengundi Teluk Intan sudah serik dipermainkan sehingga tiada apa perubahan dan  pembangunan dibuat pembangkang selama mereka menguasai kerusi Parlimen itu tidak lama dulu.

``Penduduk Teluk Intan hari ini lebih percaya dan bergantung harap kepada wakil rakyat mereka sekarang, (Siew Keong) yang juga seorang menteri Pusat yang  akan membawa banyak perubahan dan pembangunan  sekiranya dimenangkan untuk terus kekal mempertahankan kerusi Parlimen Teluk Intan.'' katanya.

Selain itu Ivanpal Singh berkata, beliau melihat DAP sukar meracuni fikiran penduduk Teluk Intan dengan berulang kali memainkan isu-isu lapuk ini kerana kesemua itu telahpun dijawab menerusi jaringan jentera penerangan BN di semua peringkat akar umbi.

Menurut beliau dari segi perubahan pula langsung tidak ada yang dibawa oleh pembangkang untuk faedah rakyat semasa mereka menguasai kerusi parlimen itu sebelum ini.

 ``Selepas Mah menyandang kerusi parlimen ini dalam masa dua tiga tahun kebelakangan ini menunjukkan ada perubahan dan banyak perancangan hendak dibuat sekiranya dia (Siew Keong) kekal lagi menjadi ahli Parlimen.

``Lebih bermakna lagi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi... ahli Parlimen Bagan Datuk tinggal berjiran dengan Parlimen Teluk Intan maka sudah tentu akan ada rancangan besar untuk membangunkan wilayah Bagan Datuk dan Teluk Intan.

``Maka sudah pasti limpahan pembangunan di Bagan Datuk akan juga dinikmati penduduk di Teluk Intan,'' katanya.

Bagi Siew Keong pula beliau optimis BN mampu mempertahankan kerusi parlimen yang disandangnya dan kerusi DUN Changkat Jong serta merampas kembali kerusi DUN Pasir Bedamar yang kini dikuasai DAP.pada PRU14 kali ini.

Keyakinan itu bersandarkan faktor parti komponen BN yang sentiasa bekerja keras dan agresif mendapatkan sokongan lebih ramai pengundi terutama golongan muda di kawasan berkenaan.

``Walaupun bukan senang (mempertahankan kerusi Parlimen) tetapi dengan hasil usaha kerja keras jentera BN sejak 3 tahun kebelakangan ini, kita mempunyai keyakinan untuk menang.

``Saya berharap pengundi di Parlimen Teluk Intan memberi peluang kepada BN memberikan perkhidmatan kepada rakyat di sini supaya Teluk Intan bertambah maju dengan pelbagai projek pembangunan untuk jangka masa panjang,” katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana