BN Terengganu boleh menang jika tiada 'peteh keting'

BN Terengganu malam tadi, mengisytiharkan ‘serangan’ untuk menawan kembali empat Parlimen termasuk Marang yang dikuasai pembangkang pada pilihan raya umum lalu.

Ketika ini, BN menguasai empat parlimen iaitu Besut, Setiu, Kemaman dan Hulu Terengganu manakala empat lagi iaitu Kuala Nerus, Marang, Kuala Terengganu dan Dungun adalah milik pembangkang.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman bagaimanapun meminta seluruh kepemimpinan Umno negeri tidak menjadikan soal perpecahan pembangkang sebagai peluang parti itu untuk menang.

Ini kerana, katanya, kunci kejayaan dalam PRU14 ini adalah membabitkan faktor calon dan kekuatan jentera.

“Calon boleh menang dengan syarat tidak ada ‘peteh keting’, tidak ada musuh dalam selimut dan tidak ada gunting dalam lipatan. Siapa sahaja calon yang membawa bendera BN wajib kita sokong.

“Sudah sampai masanya kita lupakan persengketaan, perbalahan dan permasalahan antara kita serta perlu berjiwa besar. Kalau sudah takdir dia jadi calon, terimalah dan beri sokongan padu kepada pemimpin Umno dan BN,” katanya.

Beliau berkata demikian merasmikan Majlis Pelancaran Gerak Gempur dan Jentera Pilihan Raya Parlimen Marang  PRU14 di Dewan Majlis Daerah Marang, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Kepimpinan Umno Bahagian Marang iaitu Ketuanya, A Latiff Awang, Timbalan, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku, dan Naib Ketua, Datuk Saiful Bahri Baharuddin serta Ketua Wanita, Toh Puan Zaitun Mat Amin.

Turut hadir selain kira-kira 3000 jentera parti itu ialah Ketua Pemuda Umno Marang, Jasmira Othman dan Ketua Puteri Umno Marang, Laila Mat Daud.

Tidak ketinggalan, bekas ahli Parlimen Marang Datuk Abdul Rahman Bakar, bekas Adun Bukit Payung Datuk Dr Abdul Latif Awang dan Pengarah Unit Komunikasi Negeri Terengganu Datuk Muda Mamat.

Sehubungan itu, Ahmad Razif yang juga Pengerusi BN Terengganu mahu seluruh jentera memainkan peranan dalam gerak kerja semasa PRU14 nanti dan memberi fokus kepada apa yang telah dirancang oleh parti.

Beliau juga berkeyakinan, gelombang rakyat akan membantu BN merampas tiga kerusi Dun serta Parlimen Marang pada PRU14 yang dijangka menjadi pilihan raya penentu kekuatan parti BN di Terengganu.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana