PRU 14 : PERLUNYA SIAP SEDIA DAN KOMITMEN YANG TINGGI

Ketua Polis negeri, DCP Datuk Noor Azam Jamaludin mengingatkan semua pegawai dan anggota yang terlibat dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) perlu mendalami Prosidur Operasi Standard (SOP), undang-undang berkaitan dan sentiasa profesional dalam menghadapi sebarang situasi dan cabaran yang bakal dihadapi.

Katanya bagi mereka yang terlibat dengan penugasan pilihan raya ini, beliau menyarankan sentiasa meletakkan asas penugasan polis untuk bertindak tanpa menyebelahi mana-mana pihak pada sepanjang masa, kerana ia penting sebagai tonggak integriti pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Dalam memastikan PRU14 berjalan dengan lancar, kesiapsiagaan dan keperluan logistik serta komunikasi perlulah ditahap yang terbaik. Sistem saluran komunikasi yang cekap dengan penyaluran maklumat yang responsif akan dapat menghindarkan fakta daripada dimanipulasi oleh mana-mana pihak.

“Saya mengharapkan agar proses demokrasi ini berjalan lancar tanpa insiden yang boleh menjejaskan keharmonian di negeri ini,” katanya pada majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri di sini, hari ini.

Katanya PRU14 memerlukan kesiapsiagaan yang tinggi, oleh itu, para pegawai dan anggota hendaklah prihatin terhadap tuntutan kerja dan sentiasa mengambil berat terhadap keperluan untuk memberi yang terbaik dalam menjalankan tugas dengan penuh amanah dan rasa tanggungjawab.

Katanya lima fasa simulasi latihan pra PRU14 telah diadakan di semua daerah bagi memastikan kesiapsiagaan pasukan berada ditahap terbaik.

Dalam sidang akhbar selepas itu, Noor Azam berkata polis Negeri Sembilan mencatatkan penurunan kadar jenayah 11.15 peratus atau 498 kes pada tahun lepas hasil pelaksanaan tanggungjawab hakiki pasukan dalam membanteras jenayah.

Katanya berdasarkan statistik indeks jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri 3,970 kes dilaporkan pada tahun lepas berbanding 4,468 kes pada tahun sebelumnya (2016).

Katanya kes jenayah kekerasan menurun 201 kes atau 18.58 peratus iaitu daripada 1,082 kes pada 2016 kepada 881 kes pada 2017.

“Bagi kes jenayah harta benda menurun 297 kes atau 8.77 peratus iaitu daripada 3,386 kes pada 2016 kepada 3,089 kes pada 2017. Kadar penyelesaian kes pula mencapai 59.74 peratus iaitu daripada 3,970 kes yang dilaporkan pada 2017, sebanyak 2,372 kes berjaya diselesaikan.

“Bagi kadar pertuduhan kes keseluruhan telah mencapai 38.60 peratus. Bagi kes indeks, pencapaian sebanyak 18.80 peratus dan non-indeks adalah sebanyak 61.60 peratus. Namun begitu, jangan kita alpa dengan kejayaan di masa lalu kerana pelakuan jenayah adalah cabaran utama untuk ditangani kerana ia adalah berterusan. – BERNAMA

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana