Guan Eng cuba bunuh karier politik saya - Wee Ka Siong

Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata beliau sedia berdepan sesiapa sahaja calon Pakatan yang hendak bertanding di kawasannya dalam Pilihanraya Umum (PRU) akan datang, tetapi berpesan supaya mereka jangan menggunakan pembohongan sebagai modal berkempen.

"Saya tahu PRU kali ini bukan mudah. Tetapi saya yakin dengan pengundi dan apa yang telah saya lakukan untuk mereka.

"Saya tak fikirkan muka-muka yang datang ke kawasan saya secara bermusim. Yalah, tiga hingga empat tahun, datang sekali. Kita hari-hari turun padang buat kerja ni lebih tahu apa yang dikehendaki rakyat," katanya pada sidang media di ibupejabat MCA, Khamis.

Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Air Hitam berkata beliau difahamkan kemungkinan besar Pakatan Pembangkang akan meletakkan calon Amanah berentap dengannya.

"Mereka mengatakan konon kawasan Air Hitam yang putih sudah jadi jadi kelabu. Jadi hitam pun tak apalah. Kalau berani silalah bertanding. Kita tak mengharapkan kali ini menang tanpa bertanding. Siapa sahaja datang kita tak pernah gentar. Kita gentleman.

"Mereka kata kita kelabu, hitam atau gelap ke, saya tak kisah. Janji kita berentap. Lawan tetap lawan. Tak kira DAP atau mana-mana pahlawan daripada Amanah.

"Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng baru-baru ini mengecam saya kononnya tak membantu sekolah Cina. Saya tahu Guan Eng atau partinya telah menggunakan dua kerusi yang lazimnya ditandingi oleh DAP untuk menukar hak bertanding atas tiket DAP di kawasan parlimen Air Hitam.

"Tapi yang anehnya, mereka sendiri tidak menghantar calon dan akan meminjamkan kerusi itu kepada calon Amanah. Ini percaturan politik Pakatan. Ini hak masing-masing dan saya tak pernah persoalkan. Tapi saya tahu Guang Eng mempunyai satu muslihat, iaitu membunuh kerjaya politik saya," katanya.

Guan Eng beberapa hari lalu menuduh Ka Siong tidak memberikan peruntukan yang cukup untuk sekolah Cina di Yong Peng. Dia malah mendabik dada memberi peruntukan setengah juta Ringgit untuk sekolah Cina di Pulau Pinang.

"Dia beri peruntukan untuk sekolah menengah persendirian Cina. Dia kata kononnya dia beri lebih setengah juta Ringgit. Tapi perlu ingat, itu adalah daripada peruntukan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

"Guan Eng kata saya tak tolong sekolah Cina. Dia buat begitu sebab dia nak pengundi Cina membenci saya kononnya saya tidak membantu sebagai wakil rakyat.

"Guan Eng ini talam dua muka. Kepada masyarakat Cina, dia kata Wee Ka Siong tak bantu Cina. Dia juga gunakan ejen dan konco-konconya di kalangan masyarakat Melayu untuk beritahu kononnya Wee Ka Siong lebih banyak membantu masyarakat Cina.

"Saya memang bantu sekolah Cina, tetapi saya juga banyak membantu sekolah Tamil dan sekolah Kebangsaan. Itu tugas saya sebagai wakil rakyat.

"Guan Eng dakwa saya ada peruntukan RM5juta. Dia lupa saya ada 50 buah sekolah, 33 buah masjid, 105 surau, 90 kampung Melayu dan sistem perparitan jalan kampung. Saya ada 60 taman dan jawatankuasa penduduk campur dengan KRT ada 60.

"Ini semua dia tidak ambil kira. Dia nak orang Cina benci saya kerana kononnya saya tak beri peruntukan kepada sekolah Cina seperti yang dia beri kepada sekolah Cina di Pulau Pinang. Ini adalah satu taktik kotor Guan Eng.

"Seperkara lagi, Guan Eng bukan datang ke sekolah Yong Peng bagi duit setengah juta. Dia bagi jumlah itu di kawasannya  di mana dia dapat sokongan orang Cina di sana.

"Guan Eng nak api-apikan orang Melayu di kawasan saya untuk memastikan kemenangan bagi calon Pakatan.

"Tapi jangan gunakan tipu helah kononnya Menteri ada peruntukan RM10 juta. Sekali lagi ini satu fitnah tak tentu arah oleh Guan Eng.

"Mana datang RM10 juta itu? Kalau peruntukan Menteri, baru RM1 juta untuk menjaga selain dari kawasan kita sendiri, tapi di semua tempat.

"Kalau ikut portfolio saya, ada 613 buah kampung baharu. RM1juta itu saya gunakan peruntukan Menteri Persekutuan.

"Bayangkan saya hadir semua program, saya bantu sikit-sikit. Tapi dia kata saya ada RM10 juta tapi tak bagi sekolah Cina. Apakah agenda DAP dalam soal ini?

"Kita tahu untuk percaturan politik kawasan Air Hitam, dia nak masyarakat Melayu, Cina dan India sama-sama membenci saya.

"Guan Eng jangan jaga tepi kain orang. Jangan kata bukan-bukan. Kalau nak bertanding, bertanding sajalah," katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana