Calon PM: PAS jangan terpedaya 'helah' Dr Mahathir - Penganalisis

SHAH ALAM: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad sengaja membuat provokasi terhadap PAS, apabila meminta parti Islamik itu mengumumkan siapakah calon perdana menteri mereka.

Penganalisis politik Edwin Michael berkata, ia merupakan 'strategi' pemimpin itu dalam memastikan PAS tersilap langkah bagi mendapatkan pengaruh undi terutamanya daripada kaum Melayu bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Katanya, jika PAS 'termakan' dengan cadangan mantan perdana menteri itu, ia semestinya akan memberikan kesan buruk kepada parti itu sendiri dan bakal kehilangan undi orang Melayu terutamanya.

"Dr Mahathir cuba untuk provok PAS dalam isu ini dan katakan kalau PAS umumkan calon perdana menteri mereka, itu mungkin akan makan diri mereka sendiri.

"Sekarang PPBM perlukan PAS untuk bercakap sesuatu yang boleh memberikan kelebihan kepada PPBM dan seterusnya memastikan undi-undi orang Melayu yang sepatutnya pergi kepada PAS, (mungkin) mengalihkan undi itu kembali kepada PPBM, itu yang Dr Mahathir cuba lakukan sebenarnya.

"Selepas itu, ia akan memberikan kesan yang sangat buruk kepada PAS," katanya ketika dihubungi Antarapos.

Semalam, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) meminta PAS untuk mengumumkan siapa calon perdana menteri bagi parti itu.

Ini kerana sehingga kini, hanya PAS sahaja yang masih merahsiakan siapakah calon perdana menteri bagi parti itu sekiranya mereka berjaya merampas Putrajaya.

Berbeza dengan PH yang telah mengumumkan calon perdana menteri mereka pada 7 Januari lalu apabila melantik Dr Mahathir sebagai perdana menteri interim dan Presiden PH, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalannya.

Manakala Ketua Umum PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula hanya akan menjadi perdana menteri selepas dibebaskan daripada penjara dan mendapat pengampunan Yang Di-Pertuan Agung.

Jangan termakan 'helah' Dr Mahathir

Tidak cukup dengan 'kehendak' yang mahukan PAS menamakan siapa calon yang bakal menjawat jawatan tertinggi negara itu, Dr Mahathir juga mahukan PAS untuk memilih siapakah calon perdana menteri yang disokong oleh mereka, sama ada calon daripada PH iaitu dirinya sendiri ataupun Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mengulas lanjut Edwin berkata, PAS sememangnya tidak perlu melayan permintaan Dr Mahathir itu kerana ia tidak akan membawa sebarang kebaikan kepada parti tersebut, dan hanya perlu fokus untuk terus mendapatkan sebanyak mungkin kerusi parlimen yang ditandingi mereka.

"Bagi PAS itu bukan sesuatu perkara yang perlu diberikan perhatian yang serius tentang isu calon perdana menteri.

"Kalau kita lihat cara PAS berpolitik, setiap tahun pun PAS tidak pernah mengambil serius tentang calon perdana menteri atau isu-isu yang seumpama dengan itu.

"Kerana bagi PAS, semuanya adalah kerusi parlimen, target PAS sebenarnya adalah kerusi parlimen dan untuk memenangi sebanyak mana kerusi parlimen yang mereka tandingi," katanya lagi.

Pada PRU14 kali ini, PAS akan bergerak di bawah Gagasan Sejahtera dan mengumumkan bakal bertanding di 130 kerusi parlimen, seterusnya bakal mewujudkan pertembungan tiga penjuru diantara parti itu dengan PH dan BN.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana