Siapa di belakang syarikat pindah milik tanah FELDA Semarak

Susulan pendedahan mengenai isu tanah FELDA di Jalan Semarak di sini, yang berpindah milik secara salah, timbul persoalan siapa di belakang Synergy Promenade Sdn Bhd.

Persoalan itu tercetus berikutan syarikat itu didapati tidak mempunyai latar belakang serta pengalaman mengendalikan projek pembangunan, apatah lagi projek berskala mega tetapi dipilih membangunkan projek sebesar Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) dengan nilai pembangunan kasar (GDV) mencecah RM6 bilion.

KUALA LUMPUR 20 DISEMBER 2017. Tapak projek pembangunan Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) di Jalan Semarak, Kuala Lumpur. NSTP/AIZUDDIN SAAD

Sumber memberitahu BH, persoalan juga timbul kenapa syarikat hiasan dalaman yang dikatakan pernah diberikan projek di Menara FELDA dan Istana Negara, mengambil alih tanah FELDA kerana tiada sebarang alasan untuknya perlu berbuat demikian.

“Sebenarnya, tiada sebab yang memerlukan tanah itu dipindah milik kepada Synergy Promenade. Ketika itu memegang Surat Kuasa Wakil Penuh (PA), syarikat itu sudah mempunyai kuasa secukupnya untuk melaksanakan kerja pembangunan bagi pihak FELDA.

“Synergy Promenade memegang PA hanya sebagai ejen dan FELDA adalah prinsipal supaya ia boleh mendapat kebenaran merancang (DO). Jadi, apakah sebab syarikat itu mahu memindah milik tanah itu kepadanya,” kata sumber itu.

Sumber itu menjelaskan, Synergy Promenade sepatutnya hanya boleh mengenakan caj pihak ketiga kepada tanah terbabit memandangkan ia sudah memiliki perjanjian pembangunan, malah sudah memperoleh perjanjian pajakan bersama Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) bagi sebahagian daripada menara yang akan dibangunkan.

“Projek itu sendiri sudah ada daya majunya sendiri kerana sudah memperoleh DO serta pajakan sebahagian besar untuk menara, jadi apa lagi yang syarikat itu mahu?

“Synergy Promenade sendiri perlu mempunyai keupayaan kredit dan bernilai kepada bank supaya pinjaman boleh diberikan kepada syarikat atau projek.

“Caj pihak ketiga boleh diraih daripada projek itu sendiri dan bukannya daripada tanah berkenaan, mereka sendiri yang perlu membuat pembiayaan projek,” katanya.

Carian BH mendapati Synergy Promenade didaftarkan pada 16 Jun 2000 dengan aktivitinya dicatatkan sebagai pemaju hartanah dan kontraktor binaan, kontraktor am dan perniagaan am.


Abd Rahman Sutan (tengah) di majlis doa selamat sebelum memulakan kerja-kerja pembangunan KLVC pada Januari 2015

Dua pengarah syarikat itu, yang alamatnya dicatatkan terletak di Shah Alam dikenal pasti sebagai Noraini Soltan dan Abd Rahman Soltan.

Semakan lanjut tidak menemui maklumat sebarang projek pembangunan yang pernah dijalankan oleh syarikat itu.

“Mungkin syarikat ini ada hubungan dengan DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) sehingga ia diberikan taraf ‘Plot Ratio 10 – kelulusan segera DO,” kata sumber itu sambil menambah syarikat itu disyaki ada hubungan meragukan dengan Pejabat Tanah Kuala Lumpur.

Sumber itu menambah, persoalan ketika ini adalah sama ada kesalahan adalah terletak di pihak yang memberikan PA atau Synergy Promenade sendiri yang sudah menyalahgunakan PA.

“Bagi saya, tiada sebab untuk Synergy Promenade menukar milik tanah kepada pihaknya. Syarikat itulah yang bersalah.

“Persoalan mengapa PA diberikan kepadanya (mungkin) adalah disebabkan kecuaian di pihak Lembaga Pengarah. Namun, apabila sudah diberikan kuasa, bagaimana syarikat itu menggunakannya. Disebabkan itulah FELDA perlu mengambil tindakan, demi menjaga kepentingannya,” katanya.

Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad adalah Pengerusi FELDA dari 2011 hingga Januari 2017; Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) mulai 1 Januari 2011 hingga 19 Jun lalu dan Pengerusi FIC sejak ditubuhkan pada 2 Julai 2013 hingga 2017.

Menurut sumber itu lagi, tumpuan sekarang ini adalah kepada usaha untuk menarik semula PA yang sudah diberikan kepada Synergy Promenade dan dakwaan perlu dibuat atas sebab penipuan.

Katanya, walaupun perkara itu belum dibuktikan, tindakan yang dilakukan oleh syarikat berkenaan adalah bertentangan dengan apa yang sepatutnya dibuat oleh sebuah pemaju induk.

“Ia tidak boleh membaca kuasanya di bawah PA begitu sahaja, perlu juga membaca perjanjian pembangunan bersama FIC.

“Di dalam perjanjian, ia perlu menyerahkan unit yang sudah disiapkan, terbabit dengan proses pemindahan, penjualan dan sebagainya. Bukan diambil tanah itu,” katanya.

Sementara itu, sumber lain berkata tuduhan bahawa Abd Rahman mempunyai hubungan dengan Perdana Menteri, langsung tidak berasas.

Walaupun ada laporan pada 2016 menunjukkan Abd Rahman menyerahkan zakat pada majlis dihadiri Perdana Menteri, dakwaan ada hubungan rapat syarikat itu dengan Najib, ia tidak sepatutnya jadi sandaran seseorang itu rapat dengan Perdana Menteri.

“Jika individu itu ada hubungan baik, mengapa Perdana Menteri sendiri bersetuju membawa perkara ini kepada umum? Jika dia ada kaitan dengan Perdana Menteri, laporan polis tidak akan dibuat oleh FELDA.

“Takkanlah hanya disebabkan wang zakat RM100,000, Perdana Menteri menyerahkan tanah itu. Perdana Menteri sendiri sudah dimaklumkan dan diberitahu satu persatu langkah yang perlu dibuat (oleh FELDA untuk menyelesaikan masalah),” katanya. -BH

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana