Rafizi Desak Rahman Saman Lepas Kantoi Fitnah

PULAK DAH… Setelah kantoi memfitnah Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, Rafizi Ramli terpaksa membuat lawak apabila desak Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu supaya saman beliau pula.

Ini sekiranya Ahli Parlimen Kota Belud itu tidak berpuas hati dengan kesilapannya yang berjaya mendakwa bahawa konon kontrak penganjuran Ekspo Negaraku diberikan kepada ‘abang’ menteri itu, Noor Raslan Md. Dahlan.

“Dia boleh saman saya. Itu bukan masalah. Jom kita jumpa di mahkamah kerana apabila di mahkamah nanti, saya boleh tanya dia,” dalih Rafizi seperti cuba menutup aib dirinya pada sidang media di ibu negara pada Selasa.

Ahli Parlimen Pandan dan Naib Presiden PKR tersebut sehari sebelum itu dengan penuh yakin mendakwa bahawa Ketua Pegawai Eksekutif PICO Integrated Exhibit Sdn. Bhd. merupakan abang kepada Abdul Rahman sendiri.

Rafizi malah telah menerbitkan satu kenyataan akhbar menerusi laman blognya yang bertajuk: “Pengorganisasian Ekspo Negaraku diuruskan oleh sebuah syarikat milik abang Rahman Dahlan.” sehingga tular di media sosial.

Namun beliau kemudian bertindak pantas memadam status jelik berkenaan selepas menyedari tohmahan itu adalah pembohongan sekali gus menjadi bahan jenaka ramai netizen prokerajaan dan menjejaskan imej pembangkang.

“Anwar Ibrahim, Khalid Ibrahim dan Zaid Ibrahim bukan adik-beradik bahkan mereka bukannya anak kepada Ibrahim Ali,” demikian antara sindiran ‘panas’ yang ditujukan khas kepada Rafizi oleh netizen antipembangkang.

Mengulas lanjut Rafizi mengakui telah membuat kesilapan selepas Abdul Rahman membuat penafian berhubung dakwaan palsu tersebut tetapi tetap masih lagi berdolak dalik seolah-olah cuba menegakkan benang yang basah.

“Dia pengurus acara profesional dan maklumat diberikan oleh sumber di EPU (Unit Perancang Ekonomi) adalah tidak tepat… itu sudah cukup,” kata Rafizi sambil menambah beliau sedia memohon maaf kepada PICO dan Raslan.

Semalam Abdul Rahman berkata, beliau akan berunding dengan peguamnya bagi bincang tindakan undang-undang yang akan diambil terhadap Rafizi kerana ini bukan kali pertama pemimpin pembangkang itu membuat fitnah.

Rafizi dalam pada itu berkata, beliau mengalu-alukan sekiranya Abdul Rahman pula mahu menyaman dirinya di mahkamah kerana beliau konon boleh memanggil beberapa saksi melalui sistem perundangan negara kita.

Kesilapan itu tidak melenyapkan hakikat bahawa Abdul Rahman harus jawab soalan mengenai berapa banyak wang digunakan untuk ekspo berkenaan dan sama ada tender secara terbuka diadakan untuk memilih penganjur.

Tambah Rafizi, beliau telah bangkit persoalan berkaitan dengan pemberian tender di Parlimen sebelum ini, tetapi diberi jawapan bertulis bahawa maklumat mengenai syarikat dan nilai kontrak boleh didapati di portal kerajaan.

Rafizi kemudian berkata, berdasarkan semakan mendapati PICO Integrated hanya memperoleh satu kontrak pada 2010 semasa ia menganjurkan Aquafair Malaysia 2010 yang bernilai RM1.48 juta. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana