Himpunan paling hipokrit dalam sejarah - Aziz Kaprawi

Himpunan Selamatkan Malaysia 'Hapuskan Kleptokrasi' anjuran Pakatan Pembangkang merupakan himpunan politik yang paling hipokrit pernah mereka lakukan.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata, perkataan 'Kleptokrasi' yang mereka gunakan pertama kali disebut oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) yang bertujuan memfailkan saman, sehingga ke hari ini gagal membuktikan sebarang perkaitan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

"Ketua de facto Pakatan Pembangkang, Lim Kit Siang juga mendakwa bahawa Perdana Menteri memalukan negara atas kesalahan kleptokrasi ternyata tidak benar sama sekali apabila beliau telah diberikan layanan istimewa sepanjang beliau berada di sana.

"Yang menjadikan perhimpunan ini antara yang paling hipokrit yang pernah mereka lakukan adalah kerana mereka sendiri tercalit beberapa skandal salah laku yang sehingga kini langsung tidak diperjelaskan," katanya dalam satu kenyataan.

Suatu ketika dahulu, sebelum Tun Mahathir Mohamed menyertai pakatan ini, pemimpin pembangkang sering kali menuduh dan menyelar beliau dengan pelbagai pertuduhan.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas pentas sering kali menuduh Tun Mahathir sebagai bapa segala korupsi, nepotisma dan kronisma malah sering mempersoal kekayaan anak-anaknya yang luar biasa termasuk pernah menulis artikel yang bertajuk 'Why Mahathir is Malaysia’s worst ever prime minister?'

"Kit Siang juga pernah menggelarkan Tun Mahathir sebagai individu nombor satu paling rasis dalam negara, pernah mendesak supaya kerajaan melakukan siasatan terhadap insiden kerugian RM30 bilion Bank Negara dan pernah menganggap Tun Mahathir sendiri sebagai pengkhianat negara!

"Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mat Sabu pula di atas pentas ceramah secara terang-terangan mendakwa segala kerosakan yang berlaku di negara kita ini adalah akibat perbuatan Tun Mahathir dan menggelarkan beliau sebagai 'Bapa Pelingkup Negara'.

"Tetapi, apabila Tun Mahathir berpakat dengan mereka, seolah-olah 'dosa-dosa' yang mereka tuduh itu terampun secara tiba-tiba," katanya yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Sri Gading.

Tambahnya, pembangkang dengan rasa tidak segan silu melakukan perhimpunan atas nama 'Selamatkan Negara'.

"Saya melihat ini adalah perhimpunan pembangkang yang paling hipokrit pernah dilakukan setakat ini dengan keadaan di pihak mereka sendiri yang masih bergelumang dengan pelbagai skandal yang tidak terjawab seperti isu terowong Pulau Pinang, isu rumah banglo yang dibeli di bawah harga pasaran, isu derma orang ramai yang digunapakai oleh syarikat kepunyaan sendiri dan pelbagai lagi.

"Ini merupakan usaha tipu daya pembangkang untuk mengelirukan rakyat namun saya percaya rakyat cukup arif untuk melihat dan menilai segala apa yang diperkatakan oleh mereka adalah hipokrit kerana pada akhirnya yang benar-benar perlu perkara yang perlu diselamatkan di dalam negara kita ini adalah daripada fitnah dan tipu daya pakatan pembangkang," katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana