PAS PUJI DBKL “HARAMKAN” PESTA ARAK YANG DISOKONG DAP

PAS memuji dan melakarkan ucapan terima kasih kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atas tindakannya menolak permohonan penganjuran pesta arak “Better Beer Festival 2017” yang dijangka berlangsung bulan depan.

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri berkata, tindakan DBKL itu memberi aspirasi kepada rakyat Malaysia terhadap program yang dilihat tidak bermoral dan menjurus kepada kerosakan minda masyarakat.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pihak pengurusan DBKL yang telah menolak permohonan penganjuran pesta arak “Better Beer Festival 2017”.

“DBKL telah membawa aspirasi rakyat Malaysia yang menolak penganjuran sebarang pesta tidak bermoral dan merosakkan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook beliau, hari ini.

Mohd Khairuddin berkata, titik tolak tindakan DBKL itu merupakan satu amaran kepada mana-mana pihak supaya mematikan hasrat untuk menjadikan negara ini sebagai pusat kepada aktiviti kemaksiatan tidak berakhlak seperti itu.

“Diharap ia menjadi peringatan kepada mana-mana pihak yang berhasrat menjadikan Malaysia sebagai hub aktiviti tidak bermoral dan tidak berakhlak,” katanya.

Walau bagaimanapun, Ahli Parlimen Kuala Nerus itu juga menempelak pihak yang mengiklankan program berkenaan kepada masyarakat umum sebelum kelulusan diperoleh dari pihak berkuasa.

Kata beliau, tindakan tersebut dikhuatiri merupakan salah satu tindakan provokasi oleh pihak berkenaan untuk melihat tindak balas dari rakyat di negara ini terhadap program yang pernah dijayakan sebelum ini.

“Dalam masa yang sama, timbul persoalan bagaimana program tersebut telah diiklankan sejak Mei 2017 sedangkan kelulusan belum diperolehi.

“Adakah ia satu provokasi untuk melihat respon dan tindak balas rakyat Malaysia setelah program pesta arak seumpama dengannya berjaya dilaksanakan pada 2012 dan 2016.

“Kejayaan sebelum ini menjadi pendorong untuk mengadakan pesta yang sama pada 2017. Sekiranya tiada sebarang bantahan daripada masyarakat tentu sahaja pesta ini akan berjaya dilaksanakan,” ujar beliau lagi.

Justeru itu, Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS itu menyeru kepada semua pihak berkuasa tempatan di setiap negeri supaya mencontohi tindakan DBKL dan tidak sesekali membiarkan program seumpama itu dianjurkan di negara ini.

“Kita mengharapkan pihak berkuasa di seluruh Malaysia juga mengambil perhatian terhadap sebarang pesta yang boleh meruntuhkan akhlak dan moral selaras dengan usaha memelihara salah satu Rukun Negara iaitu kesopanan dan kesusilaan,” tegas beliau.

Naib Pengerusi DAP Selangor, Datuk Teng Chang Khim sebelum ini dilaporkan menyokong penuh penganjuran pesta arak berkenaan dengan memberi alasan Malaysia sebuah negara demokrasi dan semua pihak berhak melakukan apa saja aktiviti selagi tidak menyalahi undang-undang.

Sementara itu, difahamkan bahawa rakan-rakan sekutu DAP seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Parti Amanah Negara (PAN) dan PKR dianggap bersetuju dengan program tersebut ekoran tiada sebarang komen dari mereka berhubung pesta arak tersebut. – Kedahnews.com

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana