SURAT TERBUKA KEPADA YAB PERDANA MENTERI Najib Razak

Assalamualaikum w.b.t YAB Dato’ Sri,

Saya seorang rakyat Malaysia yang berumur 31 tahun. Pendapatan isi rumah saya meletakkan saya tergolong dalam kumpulan M40. Selepas menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2003, saya menyambung pengajian dengan mengambil Diploma Komunikasi dan Media di Universiti Teknologi MARA (UiTM) sehingga 2007.

Sejurus menyempurnakan pengajian di peringkat Diploma, saya kemudiannya terus menyambung pengajian saya ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa Pengkhususan Penerbitan juga di UiTM, bermula pada 2007 sehingga 2009.

Bagi menampung kos pengajian dan kehidupan saya selaku mahasiswa pada ketika itu, saya telah membuat pinjaman PTPTN bagi kedua-dua peringkat pengajian saya tersebut iaitu semasa Diploma dan Ijazah Sarjana Muda.

Semasa tahun akhir pengajian saya iaitu pada tahun 2009, Dato’ Sri telah dilantik sebagai Perdana Menteri ke-6. Dalam pembentangan Bajet 2010 yakni bajet pertama Dato’ Sri sebagai Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri telah mengumumkan pinjaman PTPTN ditukar menjadi biasiswa bagi pelajar yang berjaya mendapat ijazah kelas pertama.

Alhamdulillah, berkat doa ibubapa, ilmu yang diredha Allah S.W.T dan usaha berterusan, saya dapat merasa nikmat pendidikan percuma apabila pinjaman PTPTN saya ditukar menjadi biasiswa selepas saya berjaya menjadi graduan ijazah kelas pertama bagi pengajian Ijazah Sarjana Muda (Degree) saya.

Nikmat pendidikan percuma ini sememangnya berguna apabila saya melangkah ke alam pekerjaan. Saya hanya perlu membuat bayaran balik kepada PTPTN bagi pengajian peringkat Diploma sahaja (Degree percuma), sekaligus mengurangkan komitmen bulanan saya.
Saya melihat dasar ini merupakan satu dasar yang amat baik dan bersifat ‘serampang dua mata’ apabila bukan sahaja boleh mengurangkan komitmen bulanan graduan yang baru mula bekerja, malah dapat memberi motivasi kepada para mahasiswa untuk mencatat keputusan yang cemerlang dalam pengajian mereka.

Dasar ini adalah bukti bahawa dasar-dasar Kerajaan pimpinan Dato’ Sri adalah dasar yang mampan, berpandangan jauh dan yang paling penting sangat dekat di hati rakyat apabila dasar ini masih lagi diteruskan sehingga sekarang.

Dato’ Sri,

Saya dilahirkan di Pulau Pinang pada tahun 1986, ibu saya berasal dari Melaka manakala ayah saya pula berasal dari Kelantan. Pada tahun 1991, kami sekeluarga telah berpindah ke Kota Kinabalu, Sabah dan di bandar inilah saya mulakan alam persekolahan saya dan membesar di sini sehingga tamat Tingkatan 5 pada tahun 2003.

Oleh yang sedemikian, isu-isu yang berkaitan dengan negeri Sabah begitu dekat dengan diri saya kerana saya mempunyai ramai rakan dan sahabat handai orang Sabah. Saya amat gembira kerana pada Oktober 2009, Dato’ Sri adalah pemimpin yang bertanggungjawab yang memberi pengiktirafan kepada negeri Sabah dan Sarawak.

Pengumuman tarikh 16 September setiap tahun sebagai cuti umum Hari Malaysia membuktikan Kerajaan pimpinan Dato’ Sri sentiasa mengiktiraf dan menghargai negeri Sabah dan Sarawak setaraf dengan negeri-negeri lain.

Dato’ Sri,

Ramai yang tidak sedar bahawa Kerajaan telah dan sedang memberi subsidi pendidikan yang amat besar, bermula di bangku sekolah rendah sehinggalah ke peringkat Ijazah Sarjana (Master) dan Ijazah Kedoktoran (PhD).

Alhamdulillah, perkara ini sebenarnya adalah realiti dan begitu nyata sekali yang sedang dinikmati oleh majoriti rakyat Malaysia. Saya menuntut ilmu di sekolah-sekolah Kerajaan, kemudian menyambung pengajian di Universiti Awam dengan jumlah yuran pengajian yang minimum.
Tidak cukup dengan jumlah yuran minimum tersebut, saya juga terus menikmati dasar kebajikan dalam bidang pendidikan yang diilhamkan oleh Dato’ Sri sendiri.

Saya merupakan salah seorang daripada ribuan penerima MyBrain15 semasa menyambung pengajian Ijazah Sarjana (Master) pada tahun 2012.

Selain itu, saya juga sempat merasa Bantuan Buku 1Malaysia (BB1M) yang ternyata sedikit sebanyak dapat melegakan kos pengajian saya pada ketika itu.

Dato’ Sri,

Semua sedia maklum bahawa Dato’ Sri amat prihatin terhadap sektor Perkhidmatan Awam yang melibatkan jutaan Penjawat Awam. Pelbagai inisiatif telah dilaksana khusus untuk menjaga kebajikan para Penjawat Awam.

Di bawah era Dato’ Sri sebagai Perdana Menteri, Penjawat Awam telah ditawarkan skim yang lebih utuh melalui Rasionalisasi Skim Perkhidmatan Awam yang menawarkan gaji permulaan minimum dengan kadar RM1200.00 sebulan, dan penambahbaikan ke atas jadual gaji Penjawat Awam.
Saya juga tidak terkecuali daripada mendapat nikmat ini. Pada tahun 2016, saya telah menerima kenaikan gaji tahunan (annual increment) sebanyak 2 kali dalam tempoh setahun. Kemudahan ini juga dapat dinikmati oleh jutaan Penjawat Awam yang lain mengikut kelayakan masing-masing.

Dato’ Sri,

Dalam menjamin setiap rakyat dapat merasai dan menikmati penyampaian perkhidmatan awam yang cekap dan memudahkan urusan antara Kerajaan dan rakyat selaku pelanggan, Kerajaan telah bina banyak Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di seluruh negara.

Saya sendiri sudah banyak kali menggunakan perkhidmatan UTC ini. Antaranya saya pernah berurusan di UTC Puduraya, UTC Keramat dan UTC Sentul. Banyak urusan yang telah berjaya saya selesaikan di luar waktu kerja dan semasa hujung minggu yang mana tidak menganggu waktu kerja saya.

Saya telah mendaftarkan kelahiran anak saya dan menukar Kad Pengenalan saya di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), membaharui paspot di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), memperbaharui lesen memandu di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan beberapa urusan lain lagi.
Akhir sekali dan yang terkini, dalam kesukaran untuk memiliki rumah di kawasan yang strategik akibat harga rumah dan hartanah yang tinggi, Kerajaan telah meluluskan permohonan saya untuk mendapatkan Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) di Kuala Lumpur.

Dengan harga yang tidak melebihi RM300 ribu, malah ada yang serendah RM198 ribu, rakyat kini boleh memiliki kediaman sendiri di sekitar Lembah Klang. Ini adalah satu lagi isu-isu ‘bread-and-butter’ harian rakyat di bawah yang dititikberatkan oleh Kerajaan.

Dato’ Sri,

Sebagai anak muda yang terdedah dengan pelbagai maklumat dalam ‘dunia tanpa sempadan’ sekarang ini, saya juga pernah keliru kemudian hanyut dengan propaganda dan dakyah fitnah pembangkang sehingga tidak sedar bahawa sebahagian besar dari kehidupan seharian saya selama ini adalah berkait dengan dasar dan inisiatif dari Kerajaan berkebajikan khususnya di bawah pimpinan Dato’ Sri ketika ini.

Namun Alhamdulillah berkat usaha berterusan Kerajaan, realiti telah berjaya mengatasi persepsi apabila semakin hari semakin ramai rakyat yang sedar kepada hakikat bahawa Kerajaan sentiasa mencari jalan penyelesaian yang tuntas dalam setiap isu demi menyelesaikan masalah dan isu rakyat.
Segala dasar dan inisiatif Kerajaan yang telah saya gariskan di atas hanyalah sekadar beberapa dasar yang memberi kesan kepada saya saya secara terus. Banyak lagi inisiatif-inisiatif lain yang beri impak positif dan ‘feel good factor’ kepada rakyat selain saya, contohnya Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Rumah PR1MA, MyDeposit, pindaan Akta Kebankrapan 1967, Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dan pelbagai lagi.

Teruskan bekerja untuk rakyat bersama armada Dato’ Sri. InsyaAllah, rakyat akan terus nampak, merasai dan sedar negara berada di landasan yang betul, melangkaui 2020.
--
Iqbal Ikhwandy
17 April 2017

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana