Populis pembangkang bawa rebah...Tapi ada orang Sokong Jugak

Kalau difikirkan bantahan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok terhadap projek Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) di Taman Danau Desa di ibu negara baru-baru ini, boleh gila dibuatnya. Inilah akibatnya kalau sudah ‘kepala’ pembangkang. Apa yang baik untuk rakyat pun dianggap negatif juga.
Dalam kepala Teresa barangkali tidak lain soal undi. Lebih jelik, apabila dia sanggup ‘turun padang’ berpiket tanpa menghiraukan majlis perkahwinan di Dewan Komuniti Seputeh berhampiran. Apa punya ‘cerdik’ ahli Parlimen DAP ini.
Hasrat kerajaan memperbanyakkan rumah mampu milik untuk rakyat, diherdik. Impaknya akan ada segelintir rakyat yang terpedaya. Projek yang dirancang tergendala.
Apabila akhirnya tersergam indah pangsapuri ala kondominium dengan harga mencecah setengah juta ringgit, yang terpengaruh dengan dakyah pembangkang tolak rumah mampu milik tadi, akhirnya melepas. Menyesal pun tidak berguna. Nasi sudah jadi bubur. Contoh terbaik mereka yang terpaksa makan hati kempunan mendiami rumah di Residensi Kerinchi tempoh hari.
Berdasarkan Laporan Penyiasatan Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES) 2014, kira-kira 66.1% daripada isi rumah berpendapatan 40% terendah (B40) di bandar tinggal di rumah sendiri manakala 30.6% tinggal di rumah sewa. Sebahagian besar daripada isi rumah di bandar tinggal dalam rumah dengan purata lebih dua orang dalam setiap bilik.
Penawaran rumah mampu milik masih belum mencukupi. Ini terutama untuk isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana rendah di bandar. Pada 2014, masih terdapat 63,662 isi rumah terdiri daripada 273,381 ahli keluarga tinggal di kawasan setinggan. Majoritinya di Sabah, Sarawak, Johor dan Pulau Pinang.
Indeks kemampuan perumahan menunjukkan bahawa harga rumah di bandar utama melebihi tiga kali pendapatan median tahunan isi rumah. Indeks Kemampuan Bank Dunia pula merekodkan bahawa isi rumah di seluruh negara kecuali Terengganu dan Kelantan tidak mampu untuk membeli rumah kerana harganya melebihi tiga kali pendapatan tahunan isi rumah pada 2012.
Sejak suku keempat tahun 2011, harga rumah mencatatkan kenaikan melebihi 10 peratus pada setiap suku tahun.
Di Kuala Lumpur, peningkatan harga rumah mencecah tahap tertinggi, iaitu 18 peratus pada suku pertama 2012 berbanding dengan purata terdahulu seba­nyak 4.3 peratus bagi tempoh 2001-2009. Peningkatan ini didorong terutamanya oleh perbandaran yang pesat, perubahan demografi dan spekulasi hartanah yang menyebabkan peningkatan dalam permintaan perumahan.
Kenaikan harga rumah telah mendorong pemaju memba­ngunkan hartanah mewah dengan mengetepikan pembangunan perumahan mampu milik. Keada­an ini mengurangkan penawaran rumah mampu milik yang menyebabkan sejumlah rakyat bertumpu kepada pasaran sekunder.
Seterusnya, harga rumah sedia ada dalam segmen harga rendah dan sederhana terus meningkat. Peningkatan harga rumah yang ketara di negara ini disebabkan oleh pelbagai faktor seperti harga tanah dan bahan binaan, kos buruh dan aktiviti spekulasi. Keadaan ini menjadi semakin rumit disebabkan oleh kekangan data dan maklumat yang komprehensif dalam sistem penyampaian dan pemadanan sasaran bagi perumahan mampu milik.
Dalam hal ini, kerajaan perlu memberi fokus membina rumah mampu milik di kawasan yang mencatat pertumbuhan tinggi se­perti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru, bukan­nya di kawasan-kawasan terpencil.
Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk Seri FD Iskandar FD Mansor baru-baru ini mengingatkan kerajaan supaya mengenal pasti tanah-tanah di peringkat negeri atau Persekutuan untuk dibina rumah mampu milik berbanding projek perumahan mewah atau komersial.
REHDA, katanya, turut menyedari terdapat ketidaksepadanan antara bekalan dan permintaan bagi rumah mampu milik di beberapa tempat tetapi tiada kekurangan bekalan bagi rumah berkenaan.
“Bagi kami, perkara yang lebih penting dan perlu diberi perhatian oleh kerajaan ialah pembiayaan akhir dalam pembelian rumah terutama melibatkan pembeli rumah pertama. Dalam pada itu, fokus untuk me­ningkatkan jumlah rumah mampu milik tidak harus menjejaskan pelaburan asing­ dan juga pasaran hartanah mewah,” kata­nya.
Penyediaan Perumahan Mampu Milik yang Mencukupi dan Berkualiti memang menjadi fokus Rancangan Malaysia ke-11.
Skim Perumahan Mampu Milik Swasta (MyHome) misalnya dilancarkan pada April 2014 bagi membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah pada harga yang berpatutan. Di bawah skim itu, kerajaan menyediakan subsidi sehingga RM30,000 seunit kepada pemaju swasta bagi membolehkan pembeli dalam kalangan golongan isi rumah berpendapatan bulanan tidak melebihi RM3,000 untuk memiliki rumah pertama.
RUMAWIP yang dibantah keras oleh Teresa tempoh hari pula terdiri daripada rumah kos rendah, sederhana rendah dan sederhana yang berharga antara RM42,000 hingga RM300,000 seunit. Projek ini dilancarkan pada April 2013 dengan objektif menyediakan rumah kepada penduduk Wilayah Persekutuan. Sehingga Mac 2015, sebanyak 9,309 unit rumah sedang dibina.
Sehingga Mac 2015 juga, Perbadanan PR1MA Malaysia telah meluluskan cadangan pembinaan 119,933 unit rumah di seluruh negara dan 18,400 unit sedang dalam pembinaan. Selain itu, pembiayaan sewa beli (Rent-to-Own) dan skim pembiayaan 110% telah diperkenalkan pada 2014?untuk membantu pembeli rumah PR1MA.
Cukup-cukuplah 34 penduduk flat empat tingkat Kampung Ke­rinchi menjadi mangsa hasutan pembangkang sehingga akhirnya kepingin menduduki rumah baharu. Syukurlah tiada penduduk rumah awam Razak Mansion mengikut jejak mereka.
Mandat rakyat yang diberi kepada kerajaan diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bukan kerana partinya ‘gila kuasa’. Tetapi untuk memenuhi amanah yang diharapkan rakyat marhaen.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana