PM perjelaskan cara mengatasi kejatuhan ringgit di Dewan Rakyat

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjelaskan penyusutan nilai matawang bukanlah unik kepada Malaysia sahaja. Keadaan ini turut dialami oleh matawang serantau yang mencerminkan terutamanya pengukuhan dolar AS.
Dalam jawapan kepada pertanyaan beberapa ahli Parlimen, Najib berkata penyusutan nilai ringgit kebanyakannya didorong oleh perubahan aliran dana yang dipengaruhi oleh faktor luaran.
"Faktor-faktor tersebut termasuklah jangkaan bahawa kadar faedah di Amerika Syarikat yang meningkat pada kadar yang lebih cepat sebagaimana yang telah dijangkakan oleh pasaran, ketidaktentuan dalam harga minyak mentah dunia, dan kebimbangan terhadap kadar pertumbuhan ekonomi dan ketidaktentuan pasaran kewangan di China.
"Ketidaktentuan politik di UK, kawasan Euro dan AS, juga menjejaskan permintaan terhadap aset dalam pasaran sedang pesat membangun,"katanya.
Berikut disiarkan jawapan penuh Perdana Menteri di Parlimen pada Isnin.

SOALAN
Apakah cara-cara mengatasi tekanan ke atas Ringgit?
JAWAPAN
Tuan Yang di-Pertua,
1. Izinkan saya menjawab soalan ini bersama-sama dengan soalan oleh YB Kepong, YB Batu Sapi, YB Jerantut, YB Taiping, YB Kluang, YB Sarikei, YB Ipoh Timur dan YB Shah Alam bertarikh 9 Mac 2017 hingga 4 April 2017, memandangkan soalan-soalan tersebut menyentuh isu yang sama iaitu mengenai ringgit.
2. Penyusutan nilai matawang bukanlah unik kepada Malaysia sahaja. Keadaan ini turut dialami oleh matawang serantau yang mencerminkan terutamanya pengukuhan dolar AS. Pada tahun 2016, nilai ringgit telah menyusut sebanyak 4.3% berbanding dolar AS. Penyusutan nilai ringgit kebanyakannya didorong oleh perubahan aliran dana yang dipengaruhi oleh faktor luaran.
3. Faktor-faktor tersebut termasuklah jangkaan bahawa kadar faedah di Amerika Syarikat yang meningkat pada kadar yang lebih cepat sebagaimana yang telah dijangkakan oleh pasaran, ketidaktentuan dalam harga minyak mentah dunia, dan kebimbangan terhadap kadar pertumbuhan ekonomi dan ketidaktentuan pasaran kewangan di China. Ketidaktentuan politik di UK, kawasan Euro dan AS, juga menjejaskan permintaan terhadap aset dalam pasaran sedang pesat membangun. Faktor-faktor ini telah memberi kesan negatif terhadap kebanyakan matawang negara-negara sedang pesat membangun dan serantau, termasuk ringgit.
Tuan Yang di-Pertua,
4. Dalam menangani penyusutan nilai ringgit dalam jangka masa pendek, Kerajaan akan sentiasa memastikan pasaran pertukaran matawang asing tidak terjejas supaya kegiatan ekonomi berjalan dengan lancar. Pada masa yang sama, kedudukan rezab Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah USD95 bilion akan terus menjadi penampan kepada turun naik yang berlebihan dalam pasaran kewangan.
5. Pada hujung tahun 2016, BNM juga telah memperkukuh semula peraturan sedia ada untuk menghalang penglibatan insitusi kewangan berlesen dalam negara dalam aktiviti kontrak hadapan tanpa serahan (non-deliverable forward, NDF). Langkah ini bertujuan untuk membendung aktiviti spekulatif kontrak hadapan tanpa serahan (NDF) dalam pasaran luar persisir yang telah memberikan kesan negatif terhadap pasaran pertukaran asing dalam negara. Pada masa yang sama, BNM akan terus menyediakan mudah tunai di pasaran tempatan bagi memastikan keadaan pasaran yang stabil dan teratur.
6. Walaupun negara kita merupakan pengeksport bersih dan mencatatkan lebihan akaun semasa dalam imbangan pembayaran, sekiranya perolehan eksport dalam matawang asing tidak ditukar kepada ringgit, ia menyebabkan ketidakseimbangan di dalam permintaan dan penawaran ringgit di dalam pasaran pertukaran asing. Bagi membendung masalah ini, Jawatankuasa Pasaran Kewangan, bersama BNM, juga telah mengambil langkah-langkah untuk menggalakkan pasaran perlindungan nilai dan mengatasi ketidakseimbangan dalam pasaran pertukaran asing dalam negara. Ini termasuk memastikan penukaran hasil eksport dalam matawang asing ke ringgit. Aliran perolehan eksport matawang asing ke dalam pasaran kita akan meningkatkan mudah tunai matawang asing dalam pasaran dalam negara.
Tuan Yang di-Pertua,
7. Walaupun hanya dua bulan sejak pengumuman langkah-langkah ini, terdapat tanda-tanda yang menunjukkan hasil yang meggalakkan. Perkara yang paling utama ialah turun naik nilai ringgit telah menunjukkan kestabilan yang ketara sejak langkah-langkah ini mula dilaksanakan.
8. BNM, dari semasa ke semasa, akan memperkenalkan langkah-langkah liberalisasi baharu yang bertujuan untuk mengembangkan pasaran pertukaran wang asing, bon, dan wang dalam negara untuk memenuhi permintaan pasaran serta membolehkan perniagaan tempatan untuk mengurus dedahan kadar pertukaran di dalam negara.
9. Bagi tempoh yang lebih panjang, nilai ringgit akan didorong terutamanya oleh kekuatan asas ekonomi negara. Dalam hal ini, usaha Kerajaan untuk melaksanakan program transformasi ekonomi termasuk mempelbagaikan sumber pertumbuhan, pembaharuan fiskal dan langkah untuk memastikan sistem kewangan yang kukuh dan stabil akan dapat memberi sokongan ke arah pengukuhan nilai ringgit.
Tuan Yang di-Pertua,
10. Apabila nilai ringgit menyusut, sebahagian sektor ekonomi akan menerima manfaat manakala terdapat juga sebahagian sektor ekonomi yang akan terjejas. Pengeksport akan menerima manfaat dari segi hasil eksport yang lebih tinggi dalam nilai ringgit atau peningkatan dalam permintaan bagi barangan buatan Malaysia. Secara khususnya, penyusutan nilai ringgit akan memberi manfaat kepada eksport perkilangan Malaysia yang menyumbang sebanyak dua pertiga daripada jumlah eksport kasar.
11. Dalam menangani cabaran semasa, Kerajaan akan sentiasa memastikan pasaran pertukaran matawang asing tidak terjejas bagi memastikan kegiatan ekonomi kekal mapan.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana