Peugeot, Proton bincang kemungkinan jalin perkongsian - Najib

Pembuat kereta Perancis, Peugeot, kini mengadakan perbincangan serius dengan syarikat Malaysia, Proton Holdings Bhd mengenai kemungkinan mewujudkan jalinan perkongsian, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Ia belum dimuktamadkan lagi namun boleh menjadi satu kemungkinan," katanya semasa sidang media bersama dengan Presiden Perancis, Francois Hollande di Perdana Putra di sini, hari ini.
Hollande tiba di Malaysia semalam bagi lawatan negara, yang merupakan sebahagian lawatan pertamanya ke ASEAN, selain ke Singapura dan Indonesia.
Pada Februari, dilaporkan Peugeot telah menyerahkan bidaan untuk membeli pegangan dalam Proton.
Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata, kedua-dua pemimpin turut berbincang mengenai pelaburan perdagangan dua hala antara Malaysia dan Perancis, yang bernilai RM15.2 bilion dan Perancis merupakan rakan dagang ke-18 terbesar bagi Malaysia.
"Perdagangan lebih berpihak kepada Perancis memandangkan Malaysia membeli sejumlah besar kelengkapan modal setiap tahun seperti kelengkapan kapal terbang, kapal dan berkaitan pertahanan dan keselamatan," katanya.
Najib berkata Malaysia mengakui syarikat Perancis memainkan peranan dan mempunyai sumbangan besar, dengan 60,000 rakyat Malaysia bekerja dengan syarikat berpangkalan di Perancis seperti STMicroelectronics, Lafarge dan Technip di Malaysia.
Mengenai kepentingan industri minyak sawit, Najib mengucapkan terima kasih kepada Hollande yang tidak bersetuju terhadap Rang Undang-undang untuk mengenakan cukai ke atas minyak sawit Malaysia.
Beliau berkata, ia merupakan galakan kepada Malaysia.
Najib berkata, beliau dan Hollande turut berbincang mengenai kepentingan industri minyak sawit, memandangkan lebih 600,000 individu bergantung dengan industri itu, dan minyak sawit dibangunkan secara lestari di Malaysia.
"Kami (Malaysia) akan memastikan ia mesra alam dan menjamin pembangunan seimbang di negara ini memandangkan ramai yang bergantung kepada minyak sawit sebagai sumber kehidupan.
"Kami turut membangunkan piawaian Malaysia, dan berharap ia akan diterima oleh Kesatuan Eropah, atau Perancis...dan ia sudah tentu satu sokongan yang besar kepada kami," katanya.
Tahun lepas, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong mengatakan bahawa Malaysia, pengeluar minyak sawit utama, akan berusaha menyakinkan Perancis supaya tidak menaikkan duti ke atas minyak sawit Malaysia yang ketika ini dikenakan cukai import 21 peratus.
Najib berkata, mesyuarat dua hala itu juga membincangkan kerjasama dalam bidang pelancongan dan pembangunan modal insan selain isu antarabangsa dan serantau.
"Keseluruhannya, mesyuarat dengan Hollande merupakan satu perbincangan yang berhasil dan saya yakin lawatan beliau sudah pasti akan mengeratkan dan mengukuhkan lagi hubungan rapat sedia ada kedua-dua negara," katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana