PENYERTAAN PPBM KE PAKATAN HARAPAN ADA AGENDA LAIN? – PAS

PAS tidak menolak kemungkinan penafian Presiden Parti Bersatu Pribumi Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung sokongan terhadap pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 disebabkan penyertaan partinya ke dalam Pakatan Harapan (PH).
Menurut Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Dr Mahfodz Mohamad, walaupun PPBM belum menyertai PH secara rasmi, tetapi jika perkara itu berlaku adalah mustahil untuk parti tajaan Tun Dr Mahathir Mohamad itu menyokong akta tersebut yang rata-ratanya ditolak pemimpin PH.
“Kemungkinan perubahan Tan Sri Muhyiddin ialah kerana (ada kaitan) PPBM untuk menyertai PH, jadi kebanyakan (parti dalam) PH tak sokong RUU355.
“Sekarang ni PPBM belum lagi sertai PH (tapi) kalau dah sertai PH mungkin dia bersama-sama dengan pandangan PH yang lain,” katanya kepada Antarapos.
Sebelum ini Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memberitahu, Muhyiddin pada dasarnya bersetuju dengan usaha parti itu untuk meminda Akta 355.
Namun beberapa hari kemudian, Muhyiddin menafikan bersetuju dengan pindaan itu, sebaliknya ujar beliau, PPBM mahu meneliti usul tersebut terlebih dahulu sebelum memnbuat pendirian rasmi.
Ini kerana usul berkenaan masih belum dibahaskan di Parlimen dan masih tidak mengetahui kedudukan akhir pindaan yang dicadangkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Usul berkenaan adalah untuk meminda agar had hukuman kesalahan di mahkamah syariah dinaikkan menjadi 30 tahun penjara, denda RM100,000 dan maksimun 100 kali sebatan.
Hukuman syariah buat masa ini terhad kepada penjara tiga tahun, denda hingga RM5,000 dan enam kali sebatan.
Ketika ditanya mengenai status rundingan antara PPBM dan PAS yang sedang berjalan kini, Mahfodz berkata secara logiknya tiada kerjasama yang akan berlaku antara kedua-dua parti itu selepas mereka menyertai PH.
“Kalau betul PPBM dah menyatakan untuk menyertai PH, maka dengan sendirinya kemungkinan tak ada lagilah rundingan akan diteruskan sebab dia dah nyatakan pendiriannya secara jelas,” ujar beliau.
Pada awal Februari lalu, PPBM mengadakan pertemuan dengan PAS bagi membincangkan rundingan ke arah menghadapi pilihan raya, namun sehingga kini tiada kata putus bersabit perkara tersebut.
Share on Google Plus

About Melayu Berwawasan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Post a Comment