Pakar Sokong Wujud Perkhidmatan Tram Di KL

KUALA LUMPUR: Pakar perancang bandar menyokong cadangan mengadakan perkhidmatan tram di Kuala Lumpur yang kajian kemungkinannya dibuat Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
Kaedah pengangkutan baharu itu, kata mereka akan menggalakkan lebih ramai warga kota menggunakan pengangkutan awam dan membantu mengurangkan masalah kesesakan jalan raya di ibu negara.
Naib Presiden Pertubuhan Perancang Malaysia (MIP) Noraida Saludin berkata rel tram yang dibina di atas jalan tidak menggunakan sebarang struktur, sekali gus mengelak kawasan sekitar daripada terjejas ketika pembinaan.
"Kita tidak mahu lagi pembinaan struktur bertingkat kerana ia mengganggu pasak bangunan sedia ada serta menjejaskan nilai estetika sebuah kawasan atau bangunan lama yang ada," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata dengan teknologi canggih masa kini, tram tidak perlu lagi menggunakan kabel seperti tram moden di Copenhagen dan Paris, dan mesra alam kerana mengeluarkan kadar karbon yang rendah.
Noraida berkata kaedah pengangkutan itu juga mampu mengurangkan bilangan kenderaan di atas jalan, sekali gus menyelesaikan masalah kesesakan trafik di Kuala Lumpur khususnya di pusat bandar yang menjadi tumpuan.
Katanya had kelajuan tram yang sederhana juga sesuai dengan keadaan bandar yang sibuk malah ia boleh menjurus kepada lebih banyak ruang pejalan kaki.
Bagaimanapun, beliau berkata kajian terperinci mengenainya perlu dilakukan dengan mengambil kira aspek teknikal, bilangan penumpang, geografi dan keadaan tanah serta geometrik dan sebagainya.
Berkongsi pandangan sama adalah Penyelaras Jabatan Bandar dan Perancang Wilayah Universiti Malaya, Dr Nikmatul Adha Nordin yang juga mahu pihak berkuasa mempunyai strategi yang tepat untuk memasukkan perkhidmatan tram selari dengan ekosistem sedia ada di bandar raya.
"Faktor seperti keselamatan, akses, pengurusan orang ramai, keselesaan dan kesan alam sekitar perlu diambil kira untuk memastikan ia sesuai diadakan di bandar raya," katanya.
Nikmatul berkata ia juga boleh menjadi strategi untuk memulihkan semula kawasan bandar raya kerana perhubungan yang lebih baik akan meningkatkan aktiviti komersial di persekitaran laluan tram.
Perkhidmatan itu juga mampu menjadi pelengkap kepada sistem Transit Aliran Ringan (LRT) dan bas, katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Azharuddin Mat Sah berkata input daripada pemegang taruh yang lain seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Jabatan Pengangkutan Jalan dan orang ramai juga perlu diambil kira berikutan pelaksanaan perkhidmatan tram akan melibatkan beberapa pihak berkuasa. 
Menurut laporan Perjalanan Transformasi Pengangkutan Awam Darat (PTPAD) 2010-2015, kajian itu akan selesai pada tahun depan.
Inisiatif itu terkandung dalam Rancangan Pembangunan Rel Bandar, yang juga sebahagian daripada Rancangan Induk Pengangkutan Awam Darat Kuala Lumpur, bagi meningkatkan pengalaman perjalanan mengguna sistem rel. - BERNAMA

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana