Letupan Belon Gas: Anak Mungkin Cacat Di Muka, Tangan - Ibu Mangsa

KUALA TERENGGANU: "Anak saya mungkin mengalami kecacatan di muka dan tangan sebab melecur teruk," luah seorang ibu kepada mangsa yang melecur akibat kejadian letupan belon gas.

Siti Khatijah Ibrahim, 57, dari Bukit Payong berkata anaknya Nurifikin Kamal merupakan individu yang cuba mengagihkan belon kepada kanak-kanak dalam kejadian di Dataran Batu Burok di sini, pukul 11.30 pagi Jumaat.

Nurifikin kini ditempatkan di wad rawatan kebakaran Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini setelah keseluruhan muka dan kedua-dua tangannya melecur.

"Anak saya beritahu, masa kejadian dia pergi ke tempat pengagihan belon untuk agihkannya kepada kanak-kanak yang datang ke program 'Walk For The Blind' yang disertainya.

"Kemudian belon tersebut tiba-tiba meletup selepas seorang petugas dikatakan menyalakan pemetik api untuk meleraikan tali belon yang tersimpul.

"Anak saya kata, api tiba-tiba menyambar muka dan tangannya, mujur dia sempat buang tudung yang dipakainya...kalau tak, memang keadaanya akan makin teruk dan mungkin seluruh rambutnya juga akan disambar api," katanya ketika ditemui pemberita di HSNZ.

Siti Khatijah berkata sewaktu melawat anaknya, beliau pada mulanya agak terkejut melihat keadaan anaknya yang melecur.

"Muka anak mak cik tak nampak rupa dah, habis rosak. Keningnya juga terbakar dan muka serta tangannya dibalut dan jarinya juga terbakar. Memang sedih bila tengok keadaannya sebab dia berada paling depan untuk ambil belon bagi diagihkan kepada kanak-kanak...menang teruk keadaannya.

"Tak boleh nak bayangkan macam mana sakitnya anak saya sekarang, kita kalau kena api sikit pun dah rasa sakit...inikan seluruh mukanya. Anak saya mungkin akan cacat di mukanya. Mak cik harap tak jadi macam apa yang mak cik fikirkan ini, harap dia akan sembuh seperti sedia kala," katanya.

Seorang saksi kejadian yang hanya ingin dikenali sebagai Amira berkata beliau yang turut serta dalam insiden tersebut melihat ramai kanak-kanak yang menyerbu ke arah petugas yang sedang mengagihkan belon tersebut.

"Tiba-tiba saya terdengar bunyi letupan yang agak kuat, dan bila tengok di kawasan pengagihan belon itu, api menyambar kanak-kanak dan petugas yang berada di kawasan sekitar...mereka lari berkeliaran menyelamatkan diri dan ada yang cedera.

"Memang situasinya agak cemas masa itu, ramai juga yang cedera dan mereka dibawa ke hospital untuk menerima rawatan," katanya.

Kejadian tersebut mengakibatkan kira-kira 30 orang dewasa dikejarkan ke HSNZ. Tiga kanak-kanak mengalami cedera parah, 15 orang dikategorikan sebagai separuh kritikal dan 12 orang cedera ringan akibat letupan kira-kira 150 belon gas tersebut.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana