Buat kecoh kerana malu ketidakupayaan sendiri...Banggang Sikap Macam Ni

 Menyeluruh. Bajet 2017 menyapa hampir semua sudut ekonomi dan menyisir kegusaran rakyat. Penyusunannya kemas dan berpada-pada. Pendekatannya santun dan selesa. Yang tinggal kini ialah soal pelaksanaan.

Walaupun banyak diperbesar sisi keadaan ekonomi rakyat semakin menghimpit, Bajet 2017 bertunjangkan prinsip pragmatik dibentangkan dengan suluhan program pelaksanaan yang jelas dan sistematik.

Persoalan cukai, mutu kehidupan penjawat awam, masalah perumahan rakyat, taraf hidup rakyat termiskin, bantuan BR1M, isu persekolahan dan pendidikan, kemajuan internet, pemerkasaan Bumiputera disentuh oleh Bajet 2017.

Isu utama seperti pertahanan, keselamatan awam dan pengangkutan awam masih mendapat perhatian utama. Jika mutu kesejahteraan rakyat tekal, pasti lebih mudah mewujudkan perpaduan dikalangan rakyat.

Malangnya, bukan butir bajet yang menjadi perhatian pembangkang. Mereka cuba melangkaui proses penting dalam pengurusan ekonomi negara ini dengan mengaitkan isu lain.

Ini termasuklah persoalan kleptokrasi, siasatan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat berhubung urustadbir kewangan beberapa usahawan tertentu yang dikatakan mencemari sistem ekonomi di negara Uncle Sam itu dan akhirnya menuntut ingin tahu “Siapa MO1” dalam isu itu.

Yang menjadi persoalan kini ialah Bajet negara untuk pengurusan tahun hadapan. Ia seharusnya diteliti dan diperbahaskan untuk kepentingan pengurusan ekonomi negara bagi tahun berkenaan.

Namun bagaimana usaha ini dapat dilakukan dengan berkesan jika masalah urustadbir negara asing dikelompokkan dengan usaha mensejahterakan kehidupan rakyat Malaysia.

Ternyata selera pembangkang hanya politik. Jika boleh berpaut pada bajet negara untuk mencari modal politik, itu yang akan digunakannya. Hakikat mereka sudah bersedia dengan poster “Siapa MO1” adalah bukti nyata.

Persoalannya, pembangkang hadir di Hari Bajet, 21 Oktober lalu adalah untuk menyambung siasatan DOJ Amerika Syarikat yang sistem pengurusannya gagal mengawal selia etika perniagaan di negara itu, atau mahu bincang soal Bajet 2017 negara?

Mencampuradukkan dua isu yang berbeda itu hanya merugikan rakyat yang seharusnya dibimbing oleh pemimpin tidak kira dari pihak kerajaan mahupun pembangkang supaya memahami isu dan cara pelaksanaan Bajet negara.

Namun bagi pembangkang isu siasatan DOJ lebih menggiurkan di segi politik. Maka kebijakan dan hemah kerajaan menyusun perbelanjaan negara dan sekaligus mendindingi rakyat daripada kesuraman ekonomi global dinafikan.

“Kita tak sedia dengar apa-apa penjelasan lagi kerana saya percaya apa yang disampaikan itu tidak memberikan gambaran tentang kedudukan realistik,” kata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebagai orang yang pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri, pendirian ini rapuh dan memalukan. Bukankah setiap kali ada pembentangan bajet, laporan ekonomi tahunan akan mengiringinya? Sudahkah beliau membuat penelitian?

Mujur beliau sudah tidak memimpin Malaysia lagi. Rupa-rupanya selama tujuh tahun menjadi orang nombor dua di Malaysia, Muhyiddin tidak tahu cara mendapatkan gambaran ekonomi Malaysia sebenarnya.

Presiden PKR dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail lebih kalut pemikirannya. Beliau mendapati isi bajet yang dibentangkan oleh perdana menteri tidak telus.

“Siapa yang sandiwara? Bukan kami! (Sebaliknya) kami mahu beliau jawab siapa Malaysia Official 1 (MO1). Belanjawan ini mesti realistik, nampak baik beri bermacam-macam tetapi hutangnya?

“Kami mahu sandiwara dikatakan itu dijawab kerajaan. Siapa MO1? Itu mesti dijawab,” katanya di lobi Parlimen.

Pendirian ini memang tidak berhemah. Pertama, ketika meninggalkan Dewan, pembentangan bajet belum tamat. Jika faham prosedur Dewan, Bajet ini masih di peringkat cadangan. Ia perlu dibahaskan.

Tidakkah bijaksana jika persoalan dari mana sumber membiayai bajet berkenaan ditimbulkan dalam sesi perbahasan? Menghimpunkan prejudis terhadap Bajet Cadangan dengan isu DOJ Amerika Syarikat adalah tidak bijak.

Malah ia boleh dianggap percubaan mengelirukan rakyat sekaligus menggambarkan hasrat mengalih perhatian daripada memahami bagaimana bajet negara disusun dan dilaksanakan kepada isu politik semata-mata.

Pemikiran kurang cerdik ini juga dikongsi oleh wakil Parti Amanah Negara, Abdul Khalid Samad yang berkata:

“Kita keluar dewan kerana nak zahirkan penentangan dan penolakan terhadap isu kandungan ucapannya (Perdana Menteri). Kita nak tunjuk sebagai rakyat dan wakil kepada rakyat, kita tak boleh diperbodohkan sebegitu rupa”.

Persoalannya tidakkah memperbodohkan diri sendiri namanya jika kesimpulan dibuat sebelum butir bajet cadangan itu selesai dibentangkan? Tidakkah itu prejudis?

Yang menariknya ialah, faktor yang menjadi pemicu hingar bingar dalam Dewan itu ialah apabila Datuk Seri Najib Tun Razak membidas pemimpin pembangkang menuduh negara sedang mengalami ribut ekonomi.

Kenyataan itu mencetuskan kemarahan ahli Parlimen pembangkang yang bangun bersama plakad #SiapaMO1? sekaligus menukarkan suasana tenang dewan kepada hingar-bingar tidak terkawal.

"Ada pihak yang buat tuduhan #Bajet2017 adalah satu sandiwara kononnya tanpa bukti dan kerajaan tidak mempunyai wang mencukupi.

"Malah ada pemimpin pembangkang menyebut pula Malaysia sedang mengharungi ribut ekonomi yang sukar pada tahun ini," kata Najib.

Najib mendakwa pembangkang kerap melemparkan tuduhan kepada kerajaan Persekutuan kononnya Malaysia sedang bergelut dengan ekonomi yang menekan.

"Pembangkang juga mendakwa kerajaan Persekutuan bermain sandiwara dalam isu melibatkan ekonomi negara," katanya lagi.

Najib kemudiannya bertanya kepada ahli Parlimen pembangkang: "Siapa sebenarnya yang bersandiwara?"

Hingar bingar berlaku dan menyaksikan campur tangan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang mengarahkan ahli Parlimen meninggalkan dewan jika tidak mahu mendengar isi pembentangan Bajet 2017.

Tindakan ini memang dirancang. Dalil plakad “Siapa MO1” dibawa masuk dalam Dewan membuktikan pembangkang memang mahu mencetuskan huru-hara dalam dewan.

Bajet alternatif yang dibentangkan sehari sebelum Bajet 2017 dibawa ke Dewan tidak dapat perhatian. Maka pembangkang tidak mahu rakyat meneliti isi Bajet kerajaan. Sekadar menutup ketidakupayaan sendiri.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana