Nasib PPBM akan jadi seperti PAS jika sertai PH

SHAH ALAM: Sekiranya diterima sebagai komponen Pakatan Harapan (PH), jangka hayat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak akan bertahan lama, malah akan menerima nasib yang serupa PAS, demikian jangkaan Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA).

Tambah Datuk Lokman Noor Adam, PPBM membawa perjuangan Islam dan Melayu tetapi DAP tidak gemar akan dasar itu yang dilihat mengenepikan hak kaum lain.

"PPBM meletakkan dasar perjuangan Islam dan Melayu. Tetapi dalam masa yang sama mereka hendak bergabung dengan pakatan yang ada DAP (di dalamnya). Sedangkan DAP hendak memperjuangkan hak kesamarataan, jelas erti kata hendak menghapuskan keistimewaan orang-orang Melayu.

"Jika PH terima PPBM bersama mereka, maka hubungan itu akan menjadi sebagaimana DAP dan PAS. Di mana DAP tidak bersetuju dengan banyak perkara dengan PAS, dalam soal-soal hudud, rang undang-undang untuk memperkukuhkan mahkamah syariah, negara Islam dan sebagainya," katanya ketika ditemubual Antarapos, baru-baru ni.

Beliau berkata demikian, mengulas kemesraan yang cuba ditautkan antara parti yang diasaskan Tun Dr Mahathir Mohamad dan PKR, DAP serta Parti Amanah Negara.

Jika diimbas kembali, DAP dan PAS kini saling bermusuhan akibat perbalahan berterusan antara dua parti itu sehingga menyebabkan Pakatan Rakyat (PR) terkubur.

Dalam usianya yang masih hijau, kemampuan PPBM diragui pelbagai pihak meskipun parti itu dipimpin oleh 'nama besar' seperti Mahathir dan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kini PPBM dilihat mula menghampiri pembangkang, terutamanya PKR yang didakwa sesetengah pihak sebagai cubaan mendapatkan pengaruh politik.

Ini dapat dilihat menerusi pertemuan mengejut Mahathir bersama Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur 5 September lalu.

Bekas perdana menteri itu menafikan ia sebagai usaha untuk berdamai, sebaliknya hanya menyokong usaha Anwar membantah Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Tidak lama selepas itu, Muhyiddin pula tampil dengan kejutan kedua apabila melaungkan sokongannya untuk membebaskan Anwar yang kini meringkuk di penjara atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Shaiful Bukhari Azlan.

Lokman, yang juga bekas Setiausaha Agung Angkatan Muda Keadilan (AMK) ketika mengulas lanjut, sinis terhadap usaha Mahathir yang sanggup merendahkan egonya demi Anwar.

"Mahathir mungkin lupa bahawa kejayaan Anwar hanya apabila berada di luar penjara, yang mana beliau berjaya menyatukan PAS, DAP dan PKR. Sebab itu kita dapat lihat penubuhan PR dahulu berlaku ketika Anwar di luar penjara.

"Jika kita imbau kembali, ketika Anwar masih di dalam penjara semasa Pilihan Raya Umum pada tahun 1999 dahulu, kita lihat PAS hanya mengadakan kerjasama dengan PKR sahaja, PKR adakan kerjasama dengan DAP, tetapi mereka tidak pernah bertiga (ketika itu)," ujarnya lagi.

Beliau juga menyifatkan Mahathir kini tidak lagi mampu memainkan peranan besar dalam politik selepas membuat tersilap langkah menubuhkan PPBM yang hanya berhasrat menumbangkan Datuk Seri Najib Razak.

"Kumpulan sasar yang cuba diraih PPBM hampir sama sokongan yang cuba diraih PAS dan Amanah. Ini akan menyebabkan mereka berebut keahlian dan penyokong. Maka kelahiran PPBM akan menyelamatkan Umno-Barisan Nasional (BN)," katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana