Analisa Calon PAS “Kembara Meru Ke Sungai Besar”

Pengumuman YB Dr. Abdul Rani Osman, ADUN Meru di bawah Parlimen Kapar sebagai calon PAS untuk PRK Sungai Besar kali ini sememangnya memeranjatkan ramai pemerhati politik tatkala lanskap politik Sungai Besar sangat tebal dengan sentimen “anak tempatan”. Apakah kewajaran pemilihan ini?

Perlukan Undi Bukan Melayu

Tidak dinafikan, bahawa Abdul Rani Osman dapat meraih sokongan di kalangan pengundi bukan Melayu di DUN Meru pada PRU yang lepas. Hampir semua peti undi majoriti bukan Melayu menyaksikan kemenangan besar PAS ketika itu. Kali ini, PAS dilihat cuba memasang impian untuk mendapatkan sokongan yang sama, terutamanya dari pengundi di DUN Sekinchan yang dimenangi oleh DAP. Apakah Ng Sue Lim, ADUN Sekinchan masih sudi berkempen untuk rakannya dari PAS sebagaimana beliau berkempen di Meru sebelum ini ketika bersama-sama bertahaluf siyasi?

Langkah “Checkmate” Pakatan Harapan

Di Selangor, keakraban Abdul Rani Osman dengan pimpinan Pakatan Harapan (dahulu Pakatan Rakyat) yang terdiri dari PKR dan DAP bukanlah satu rahsia. Tidak mustahil, “Langkah Kembara Meru ke Sungai Besar” ini mungkin strategi PAS, agar Pakatan Harapan tidak meletakkan calon mereka. Presiden PAN, Mat Sabu adalah watak yang sangat sinonim dengan “teman tapi mesra” kepada Rani. Apakah PAN akan tetap meletakkan calon mereka tanpa memberi “muka” kepada mantan Pesuruhjaya PAS Selangor itu?

Ikhlaskah Dr. Rani bersama PAS?

Sebagai ahli politik yang dikenali sebagai pro Anwarinas, Abdul Rani Osman telah menerima akibat apabila tewas pada pemilihan YDP PAS Kawasan Kapar kepada Ustaz Nornajhan, yang difahamkan pro kepada golongan ulama PAS. Rentetan daripada itu, kemunculannya pada sidang akhbar yang diadakan di Yayasan Aman pada PRK Permatang Pauh sebelum ini mengundang seribu persoalan kerana bertentangan dengan pendirian semasa Majlis Syura Ulama ketika itu, yang mengambil sikap berdiam diri ke atas segala hal ehwal berkaitan dengan pilihanraya kecil Permatang Pauh di mana Wan Azizah dipilih sebagai calon. Wujud pendapat yang mengatakan Rani sedang mencari talian hayat politiknya dengan bergantung kepada pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat. Mungkin juga YB Meru telah lafaz taat setia kepada Hadi Awang. Politik, seni berkemungkinan, apatah lagi PAS yang sinonim dengan taktikal “U-Turn”. Tidak mustahil turut digunapakai juga oleh Rani.

Bagaimana Jika PAS Kalah?

Bak kata Hadi Awang,  jika Barisan Nasional menang, balik modal dan jika PAS kalah, PAS tidak rugi apa-apa, kembali kepada status quo. Maka bertepatan kata-kata itu dengan meletakkan Rani yang dianggap “alien” oleh rakyat Sungai Besar. Sebagai bonus jika kalah, ia boleh dijadikan asas “menunjukkan pintu keluar” pada PRU 14 kepada Rani yang sangat mesra dengan sindiran politik “hijau di luar, oren di dalam”. Spesis harum manis barangkali. Serampang dua mata.

Apakah benar dakwaan kononnya PAS meletakkan Rani di Sungai Besar adalah untuk memberi kemenangan kepada Barisan Nasional?

Jika perenggan kedua dan ketiga diambil kira, bersama jumlah majoriti 399 yang dimenangi Barisan Nasional sebelum ini, penulis tidak fikir begitu.

Cuma, jika kalah sekalipun, PAS tidak rasa rugi. Malah, ada “bonus” pula.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana