Jangan bayar Abu Sayyaf

Kanada dan Britain akan menggesa negara-negara lain supaya tidak membayar wang tebusan untuk membebaskan mangsa penculikan, kata Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau kelmarin, sehari selepas seorang tebusan warga Kanada, Johd Risdel dipenggal di selatan Filipina.
Kepala Risdel dibuang berhampiran bangunan majlis perbandaran Jolo kelmarin.

Trudeau berkata, sekiranya Kanada membayar wang tebusan, ia akan menyebabkan semua rakyatnya yang melancong atau tinggal di luar negara berisiko menjadi mangsa culik.

Kumpulan militan Abu Sayyaf memenggal kepala warga Kanada itu selepas tarikh akhir 25 April bagi membayar wang tebusan tamat.

“Kami bersetuju akan membawa perkara ini kepada rakan dan sekutu kami di seluruh dunia.

“Kita perlu memastikan bahawa pengganas faham bahawa mereka tidak boleh terus membiayai kegiatan jenayah dan keganasan dengan menculik mangsa tidak berdosa untuk mendapatkan wang tebusan,” katanya kepada wartawan di Kananaskis.

Risdel, 68, yang merupakan bekas eksekutif sebuah lombong emas ditangkap bersama tiga warga asing semasa bercuti di sebuah pulau di Filipina.

Seorang warga Kanada lain, Robert Hall masih ditahan kumpulan Abu Sayyaf.

Abu Sayyaf yang mengisytiharkan taat setia kepada kumpulan Islamic State mengumpulkan wang tebusan berpuluh-puluh juta dolar sejak kumpulan militan itu ditubuhkan dalam tahun 1990-an.

Dalam pada itu, satu badan tanpa kepala dipercayai Risdel ditemui oleh beberapa penduduk kampung di Pulau Jolo semalam.

Jurucakap Tentera Filipina, Mejar Filemon Tan berkata, mayat tanpa kepala itu ditemui di sebatang anak sungai yang kering dekat kawasan hutan di mana Risdel dipercayai dipenggal oleh militan-militan Abu Sayyaf.

“Kami masih dalam proses mengesahkan sama ada mayat tanpa kepala itu ialah Risdel.

“Kami percaya mangsa dipenggal di tempat lain kerana tiada kesan darah di kawasan badannya ditemui,” kata Tan kepada pemberita.

Tambahnya, pasukan forensik polis sedang melakukan ujian bagi mengenal pasti identiti mayat itu.”

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana