Jangan khianati perjuangan parti kerana agenda peribadi - Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan kepimpinan dan anggota UMNO supaya tidak mengkhianati perjuangan parti demi kepentingan agenda peribadi sehingga menggadai maruah diri.

Najib yang juga Presiden UMNO berkata perjuangan politik yang berlandaskan moral dan prinsip perlu dipertahankan bagi menghadapi pelbagai cabaran dan isu dalam negara.

"Dalam politik, kita mesti ada moral dan prinsip...kalau buat apa-apa pun mesti berpegang kepada Perlembagaan negara, kalau tidak, negara akan huru-hara.

"Kalau huru-hara, apa yang kita perjuangkan sekarang akan hancur lebur...apa nak kita tinggalkan pada anak-anak dan cucu-cucu kita," katanya ketika merasmikan Perhimpunan Anggota Persatuan Bekas Anggota Kemas Malaysia (PBAKM) dan pelancaran Kelab Waris PBAKM di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden PBAKM Datuk Melati Ali.

Najib turut membidas pemimpin yang dilihat beralih pendirian dan bertukar perjuangan.

"Bukan ke setengah orang dahulu cakap lain...dahulu suruh sokong parti, dahulu nasihat jangan kalau dah bersara jangan lupa (parti). Waktu kita jadi pemimpin, orang lain sokong kita, bila kita berhenti (jadi pemimpin) kita wajib sokong parti.

"Di mana duduknya orang itu sekarang...dia tidak duduk sebaris UMNO lagi, dia tidak duduk dengan pejuang yang setia dengan perjuangan.

"Dia duduk dengan orang yang dahulu dia cakap rasis, cauvanis, komunis, anti-Islam dan anti-Melayu. Apa kita nak kata dia sekarang.Kita pertahankan dia selama 22 tahun. Orang kata dia maha zalim, maha firaun...bukan saya kata, mereka kata. Saya menyambung apa yang mereka kata.

"Sekarang, dia duduk sebaris (dengan mereka)...di mana letak maruah diri. Kalau kita tidak ada apa-apa, sekurang-kurangnya kita ada maruah," kata perdana menteri sambil menegaskan bahawa rakyat tidak lagi terpengaruh dengan usaha menjatuhkan kerajaan tanpa melalui pilihan raya umum.

Najib berkata rakyat tidak akan membiarkan orang luar menentukan kepimpinan negara sebaliknya, menyokong usaha kerajaan dalam merencanakan pembangunan negara.

"(Oleh itu) jangan layan karenah puak-puak ini kerana kita ada banyak lagi kerja dan agenda untuk rakyat dan negara. Kita mesti istiqamah, fokus sebagai pemimpin kerajaan, kita mesti pastikan negara terus berjaya di bawah kepimpinan Barisan Nasional dan UMNO," katanya.

Beliau mengingatkan tentang tanggungjawab pemimpin untuk mewariskan sebuah negara yang lebih kukuh kepada rakyat.

"Kalau ada kesilapan, kita betulkan sesama kita, jangan hancurkan negara kita, jangan hancurkan parti yang kita sayangkan. Kalau parti hancur, tiada lagi perjuangan. Sebab itulah, kita perlu kasihkan parti, kasihkan negara," katanya.

Terdahulu, kira-kira 5,000 anggota PBAKM yang diketuai Melati membaca ikrar taat setia dan menyatakan sokongan padu terhadap kepimpinan Najib.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana