Tindakan Ke Atas Muhyiddin Kerana Gagal Menjalankan Tugas Timbalan Presiden – Annuar Musa


Keputusan menggantung jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Presiden UMNO dibuat berikutan kegagalannya menjalankan tugas seperti yang termaktub dalam Perlembagaan parti.

Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata peruntukan 9.8.2.1 dalam perlembagaan parti jelas menyatakan bahawa tugas timbalan presiden adalah untuk membantu presiden dan jika gagal berbuat demikian, maka satu keputusan perlu dibuat.

“Bagi kita (ia) satu keputusan yang terpaksa kita buat kerana sebagai sebuah parti kita perlukan disiplin, kita perlukan pada kerja berpasukan, kita perlukan tanggungjawab secara kolektif.

“Kita perlu patuh kepada apa yang ada dalam perlembagaan dan dalam perlembagaan parti (peruntukan) 9.8.2.1 itu jelas menyebut tugas timbalan presiden hendaklah membantu presiden (dan) apabila tugas itu tidak dilaksanakan, tidak membantu presiden dalam apa jua bentuk maka tindakan harus diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO untuk menggantung jawatan Muhyiddin selaku Timbalan Presiden UMNO selepas menghadiri mesyuarat itu di Menara Dato Onn, di sini petang tadi.

Annuar berkata keputusan tersebut dibuat secara konsensus antara anggota MT di bawah peruntukan 10.15 perlembagaan parti yang memberi kuasa kepada MT untuk mengambil apa-apa tindakan bagi kesempurnaan parti.

Katanya, dalam mesyuarat untuk membuat keputusan itu, Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak dan Naib Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak mengambil bahagian kerana merasakan perbincangan itu berkaitan dengan mereka.

“Ini bukan keputusan yang mudah yang mahu kita capai, kita berbincang berjam-jam. Presiden ambil keputusan tidak mahu terlibat dalam perbincangan dan dia keluar (dari bilik mesyuarat), Datuk Ahmad Zahid Hamidi juga tidak mahu terlibat dan dia pun keluar.

“Dan kami berbincang sama-sama kami dan semua kami bercakap dari hati ke hati, semua diberi peluang bercakap dan keputusan dibuat secara konsensus,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, bahawa ini bukan kali pertama UMNO mengambil keputusan seperti ini, di mana keputusan sama pernah dibuat pada tahun 1998 dan 2008.

Ditanya sama ada keputusan ini akan memberi kesan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 nanti, Annuar berkata keputusan hari ini adalah berkaitan perkara dalam parti dan ia dibuat bagi mengukuhkan parti menjelang pilihan raya.

“Hendak sampai ke PRU14 sebagai sebuah parti kita semua kena bekerja, jadi kita ada kerja yang hendak dibuat. Bagaimana kalau kita ada penjawat jawatan dan tidak melaksanakan tugas seperti mana di dalam perlembagaan.

“Kerana kita mahu meneruskan tugas kita terhadap rakyat dan kerana kita mahu menghadapi pilihanraya lah, kita terpaksa buat keputusan yang pahit ini,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang mempengerusikan mesyuarat berkenaan berkata keputusan itu bersandarkan “kita nak melihat ke hadapan” dan “bersandarkan kerjasama dalam satu pasukan.”

“Harapan peribadi saya dengan keputusan yang dibuat secara konsesus dapat membantu kita bergerak ke hadapan sebagai satu pasukan tanpa sesama kita mempertikaikan gerakan-gerakan, yang saya tengok penting dalam kita berhadapan dengan rakyat,” katanya.

Hishammuddin berkata beliau telah mempengerusikan mesyuarat MT hari ini kerana Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak mengecualikan diri, dan menerusi peruntukan dalam perlembagaan parti iaitu 9.8.3.2 menetapkan tugas naib presiden boleh mempengerusikan mesyuarat itu.

BERNAMA

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana