Pengakuan Muhyiddin bukti wujud konspirasi

Pengakuan Tan Sri Muhyiddin Yassin kononnya ada bukti jenayah yang didedahkan bekas Peguam Negara kepadanya, jelas menunjukkan wujud konspirasi peringkat tertinggi untuk menjatuhkan Perdana Menteri.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata jika ada konspirasi untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak, bererti ia cubaan rampasan kuasa proses demokrasi dan keputusan rakyat pada pilihan raya umum lalu.

Katanya, dakwaan Muhyiddin bahawa bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail sendiri memberi taklimat dan berkongsi maklumat sulit dengannya, bukan sahaja tidak beretika, malah melanggar Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.

“Muhyiddin seorang anggota Kabinet dan pemimpin UMNO yang mempunyai kepentingan, maka ia satu tindakan salah. Beliau bukan sahaja melanggar OSA 1972, tetapi juga bersubahat dalam konspirasi bermotifkan politik untuk memanipulasi dan menyalahgunakan sistem perundangan untuk menggulingkan Perdana Menteri yang dipilih secara demokrasi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Terdahulu, Muhyiddin dalam satu kenyataannya mendakwa Abdul Gani mendedahkan bukti kepadanya membabitkan wang yang dikatakan masuk ke akaun peribadi Najib dari SRC International.

Azalina turut mempersoalkan bagaimana Abdul Gani boleh mempunyai cukup bukti untuk mendakwa Perdana Menteri ketika itu, padahal pada masa itu siasatan belum pun dimulakan.

“Dalam sistem kehakiman, ada proses standard yang diikuti di seluruh dunia iaitu jika ada dakwaan terhadap seseorang, pihak berkuasa yang sah menjalankan siasatan dan jika mereka mempunyai sebab untuk mempercayai jenayah itu dilakukan, maka kertas pertuduhan disediakan.

“Dalam kes ini, kertas pertuduhan dikatakan disediakan pada Mei 2015, sebelum Pasukan Petugas Khas dibentuk yang dikatakan memulakan siasatan pada Jun 2015.

“Ini juga berlaku sebelum Perdana Menteri memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Disember 2015. Ini jelas menunjukkan wujud konspirasi,” katanya.

Pada 26 Januari lalu, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, mengesahkan Perdana Menteri bersih daripada sebarang salah laku jenayah seperti didakwa selama ini membabitkan 1MDB dan SRC International.

Azalina berkata, mengikut Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan adalah menjadi hak Peguam Negara untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding yang membabitkan kesalahan.

“Kuasa budi bicara yang diberikan kepada Peguam Negara mengikut Perkara 145 (3) adalah muktamad dan tidak boleh dicabar,” katanya.

Beliau berkata, ‘bukti’ yang kononnya dikongsi kepada Muhyiddin juga sama dengan dakwaan The Wall Street Journal (WSJ), yang ia mempunyai dokumen sulit hingga dijadikan asas untuk membuat pelbagai dakwaan sensasi terhadap Perdana Menteri.

“Saya ingin bertanya, mengapa sekarang Muhyiddin membuat pengakuan itu, itupun selepas beliau digantung sebagai Timbalan Presiden. Apakah motif tersembunyi dan agenda beliau?

“Ini juga menunjukkan beliau secara tidak langsung mempertikaikan kewibawaan Mohamed Apandi dan SPRM.

“Bolehkah tindakan Muhyiddin dilihat sebagai bersubahat kerana tidak melaporkan kepada pihak berkuasa sehingga hari ini sedangkan beliau mendakwa mempunyai maklumat jenayah itu,” katanya.

Berita Harian

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana