Pasukan siasatan online dakwa Rusia tembak jatuh MH17

Entah ya, entah tidak... tapi satu pasukan penyiasatan online yang beribu pejabat di United Kingdom mendakwa pihaknya telah mengenal pasti tentera Rusia kemungkinan besar terlibat menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines (MAS), MH17 di timur Ukraine, dua tahun lalu.
Portal BBC melaporkan, perkara itu dinyatakan dalam laporan setebal 115 muka surat yang disiarkan pasukan Bellingcat bertajuk: MH17- Potensi Suspek dan Saksi daripada Briged Peluru Berpandu Antipesawat Ke-53’, yang dikeluarkan semalam.

Dalam laporan itu, Bellingcat mengaitkan penglibatan anggota daripada Batalion 2, Briged Peluru Berpandu Anti-Pesawat Ke-53 (Briged 53) Rusia, sehingga membawa kepada tragedi pesawat itu ditembak jatuh pada 17 Julai 2014, yang mengakibatkan semua 298 penumpang dan anak kapalnya terkorban ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.

Menurut pasukan penyiasat itu, pihaknya menggunakan sumber data terbuka seperti laman media sosial dan forum bagi mengenal pasti berpuluh-puluh askar Rusia dan pegawai daripada Briged 53 yang berpangkalan di bandar Kursk Rusia.

Briged itu dipercayai mempunyai pengetahuan atau terbabit secara individu menembak jatuh pesawat berkenaan.

Selepas membandingkan dan menganalisa data yang diperoleh, Bellingcat merumuskan, terdapat kemungkinan besar anggota daripada Batalion 2 briged itu dihantar dari Rusia ke timur Ukraine.

Bellingcat mengenal pasti sejumlah askar Rusia menerusi nama pertama dan huruf pertama pada nama mereka dengan mendakwa, komander Batalion 2 bernama Dmitry T.

Pasukan itu pada masa sama turut mendedahkan nama ketua Briged 53 yang dikenal pasti sebagai Sergey Muchkayev.

Menurut laporan itu, ‘keputusan menghantar kelengkapan tentera ke sempadan Rusia-Ukraine dibuat oleh pihak tertinggi yang melibatkan Kementerian Pertahanan Rusia’.

“Selaras dengan kemungkinan rumusan bahawa peluru berpandu BUK Rusia menembak jatuh MH17, Kementerian Pertahanan Rusia memikul tanggungjawab utama, yang dikongsi bersama komander tentera dan pemimpin Republik Rakyat Donetsk dan Luhansk,” kata dokumen itu.

Bellingcat menyatakan, pihaknya telah menyerahkan semua nama tanpa ditapis dan bukti berhubung nahas berkenaan kepada pasukan penyiasat Belanda yang menyiasat insiden tersebut.

Tambahnya, siasatan melibatkan ‘individu yang pakar dalam sumber terbuka dan siasatan media sosial’ bagi menyokong pelbagai subjek.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana