Cemburu empat segi di antara PAS, DAP, PKR dan PAN

 Jika persaingan di antara parti-parti politik pembangkang disandarkan pada perangkaan dan kesiapsiagaan jentera politiknya, sudah tentu PAS boleh mendabik dada bahawa ia mempunyai kelebihan.

Sejak “dikuis” keluar daripada Pakatan Rakyat dan tidak menyertai Pakatan Harapan, PAS telah dua kali membuktikan kejituan pengurusan jentera pilihanrayanya.

Pertama kali apabila ia melepasi sasaran projek 60K Fastaqimnya di Kota Baru dan kali kedua PAS membuktikan kehebatan taat setia penyokongnya pada perhimpunan membantah perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) minggu lalu.

Keperkasaan jentera pilihanraya PAS hebat. Ia membayangkan betapa taatnya penyokong PAS pada arahan pemimpin berbanding pemimpin kanan DAP dan PKR yang  tidak menunjukkan muka pada perhimpunan itu meskipun lantang berkokok menentang TPPA sebelum itu.

Namun perbandingan fizikal dan luaran ini tidak memberi gambaran sebenar dalam persoalan kekentalan hubungan di kalangan parti-parti pembangkang itu.

Curiga, cemburu dan prasangka. Mungkin istilah-istilah ini boleh diguna untuk menggambarkan apa yang sebenarnya mendasari kerjasama politik di kalangan parti-parti pembangkang.

Pada permukaannya DAP, PAS, PKR dan PAN mungkin menghebahkan keazaman bekerjasama demi menumbangkan kerajaan Umno-Barisan Nasional. Namun pada hakikatnya hubungan jiwa di antara mereka “bak retak menanti belah”.

Sesungguhnya ini amat bertentangan dengan slogan dan perisytiharan bersama yang sering dibuat oleh pemimpin-pemimpin pembangkang seperti Lim Guan Eng, Wan Azizah Wan Ismail, Haji Abdul Hadi Awang dan Mohamad Sabu.

Namun seperkara yang jelas mereka sepakati ialah kesungguhan untuk membenam dan menyorokkan rasa curiga yang sering mekar menjadi dendam di kalangan mereka.

Sememangnya tidak sukar menghidu dendam kesumat ini. Apabila pakatan mereka berjaya mengulangi kejayaan merobek monopoli kuasa dua pertiga BN di Dewan Rakyat pada pilihanraya umum (PRU) PRU 2013, rasa syak dan curiga ini mulai terbit.

Lazimnya kuasa sering diiringi nafsu. Baik PKR, mahupun DAP dan PAS mulai melayan angan akan mencapai kejayaan lebih besar – memerintah seluruh Malaysia pula.

Angan-angan ini memupuk keyakinan bahawa parti masing-masing adalah lebih kuat, utuh dan perkasa daripada rakan yang lain dan mula berlagak mampu mendominasi pakatan berkenaan.

Demi melebarkan lagi sayap kuasa masing-masing, maka merekapun terperangkap dalam perang ego dan tamak untuk menambah kuasa dan pengaruh.

‘Langkah Kajang’ PKR mula menampakkan kecenderungan parti itu untuk mendominasi Pakatan Rakyat dengan mengemukakan alasan bahawa strategi itu ialah untuk meletakkan Anwar Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

PKR beralasan bahawa pengalaman Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan idealisme serta ketrampilannya akan mampu menjadikan Selangor pusar reformasi yang diidamkan rakyat, jika beliau menerajui negeri itu.

Bagaimanapun PAS membaca strategi itu sebagai hasrat PKR  dan Anwar  menerajui Pakatan Rakyat. PAS keberatan menyokong strategi berkenaan kerana menyedari ia adalah untuk memenuhi impian PKR sahaja.

Kemelut Langkah Kajang berakhir dengan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dipecat dari PKR. Namun PAS mencelah dengan menamakan Azmin Ali sebagai calon Menteri Besar dan bukan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Pergeseran PAS-PKR berlanjutan dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh dan juga Rompin. Mujur kerusi Permatang Pauh adalah kubu kuat PKR. PAS memperlahankan kempen untuk Wan Azizah namun penyokong tegar PKR di kawasan undi berkenaan berhasil memenangkan presiden PKR itu.

Namun yang nyatanya, sokongan yang diberikan oleh penyokong PKR terhadap calon PAS dalam PRK Rompin tidaklah begitu menggalakkan jua. PAS kecundang pada majoriti BN yang menipis.

PKR juga bukan sahaja bermasalah dengan PAS. Ia berulang kali bersengketa dengan DAP dalam menegakkan pendiriannya. DAP amat kecewa dengan lima ADUN PKR yang tidak menyokong DAP dalam kes penambakan laut.

 Tindak balas balas PKR apabila disifatkan oleh DAP sebagai mengkhianati setiakawan politik dalam isu berkenaan ialah dengan “secara teknikalnya” menggugurkan nama calon DAP, Aziz Bari daripada senarai ahli Majlis Perbandaran Ampang.

Dalam pada itu dendam kesumat PAS pada pengkhianatan beberapa bekas pemimpinnya menubuhkan Parti Amanah Negara (PAN)  September lalu juga menjadi “api dalam sekam” di antara kedua-dua parti itu.

Sementara perang DAP-PAS bukan lagi rahsia. DAP bertindak memutuskan hubungan dengan Presiden PAS dan ini dibalas oleh Dewan Ulama PAS untuk memfatwakan putus hubungan langsung dengan DAP.

Persaingan menjadi permusuhan. DAP tidak dapat menyembunyikan nafsunya untuk sentiasa menang. Menjelang pilihanraya negera Sarawak yang dijangka awal tahun ini, DAP bukan sahaja cuba memperkecilkan saingan PAS malah mempersoalkan “sumbangan” yang mampu diberikan oleh PKR.

Buat masa ini bayangan pergeseran senyap di antara PAS, PKR dan DAP boleh diamati di Selangor. DAP berkali-kali mendesak kerajaan pimpinan PKR supaya menggugurkan wakil PAS dari kerajaan kerana PAS bukan lagi kerabat Pakatan Harapan yang baru dibentuk.

Namun menilai kehebatan jentera pilihanraya PAS, PKR masih teragak-agak mahu mentalak PAS di Selangor. Memang sebelum inipun PKR banyak terhutang budi pada jentera pilihanraya PAS.

Mungkin BN kini agak gawat kerana sebagai pemerintah negara, ia kini mendepani cabaran ekonomi global yang tidak menentu. Bagaimanapun apakah jaminan bahawa pembangkang boleh bersatu dan berdaya menguruskan ekonomi lebih baik berbanding BN?

Jika diteliti, kedudukan kerjasama di antara parti-parti pembangkang adalah amat genting kerana virus curiga, prasangka dan cemburu yang merasuk pembangkang Malaysia adalah resepi yang akan melumpuhkan negara ini.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana