PAS dan Umno saling memerlukan, kata Ku Li

KUALA LUMPUR: Veteran Umno, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah hari ini berkata PAS dan Umno saling memerlukan antara satu sama lain bagi melaksanakan keinginan dan matlamat parti masing-masing.

Menurut Ahli Parlimen Gua Musang itu, apatah lagi penyatuan kedua-dua parti berpaksikan Melayu itu mendapat reaksi positif ramai pihak yang mahukan kedua-duanya kembali bersatu setelah lama berpisah.

Katanya, Umno memerlukan sokongan Melayu dalam pilihan raya umum (PRU) manakala PAS memerlukan sokongan Melayu Islam untuk melaksanakan hudud di Kelantan.

"Pandangan saya dari segi keadaan dalam negara sekarang, barangkali Umno membawa cadangan ini, kerana kemungkinan Umno tidak akan dapat sokongan daripada bukan Melayu dalam PRU akan datang dan strategik bagi dia untuk berkawan dan bekerjasama dengan PAS.

"PAS barangkali juga nak sokongan Umno, bukan sahaja kerana dia sudah tidak lagi dianggap sebagai rakan dalam perjuangan PR (Pakatan Rakayt) dahulu, tetapi dia sekarang ini terpencil sebagai sebuah parti lama yang hanya mempunyai pengikut-pengikut dalam kawasan tradisi dia.

"Jadi, sukar untuk dia (PAS) mendapat sokongan banyak dan perjuangan dia juga memerlukan sokongan pihak yang berkuasa seperti Umno, kerana dia nak jalankan hukum hudud. Dan ini tidak boleh dijalankan melainkan satu, enakmen syariah dipinda di peringkat Parlimen, bagi membolehkan enakmen di Kelantan dan Terengganu dilaksanakan," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Tabung Kemanusiaan Pelajar Melayu Mesir Perkasa, hari ini.

Umno juga katanya akan menghadapi penyusutan kepercayaan di negeri Sabah dan Sarawak yang mempunyai pendekatan berbeza terhadap PAS.

"Bagi Umno, walaupun akan mendapat sokongan daripada Melayu yang ramai menyokong PAS, dia juga kena beri perhatian dengan rakyat Sabah dan Sarawak yang memikirkan mungkin kerjasama dengan PAS tidak boleh membela kepentingan mereka di Sabah dan Sarawak," katanya.

Cadangan kerjasama antara PAS dan Umno bermula apabila Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak menghulurkan tali silaturahim kepada PAS, setelah parti Islam itu memutuskan hubungan tahaluf siyasi dengan DAP.

Namun Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang masih berdolak dalik mengenai pendirian parti pimpinannya itu berhubung keterbukaan Umno untuk bekerjasama dengan PAS.
Share on Google Plus

About Melayu Berwawasan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Post a Comment