Kenyataan Zhemin hanya bersifat peribadi, tidak wakili DAP Perak - Nga Kor Ming

IPOH: DAP Perak hari ini berkata kenyataan salah seorang pemimpinnya yang membantah pembatalan sekatan ke atas dua orang atlet Israel, hanya pandangan peribadi semata-mata.

Pengerusinya, Nga Kor Ming berkata, kenyataan pemimpin itu kelmarin sudah ditarik balik dan ia tidak mewakili DAP Perak.

Tambahnya, DAP Perak tegas menolak keganasan yang dilakukan Israel ke atas Palestin.  

Namun dalam masa yang sama, Kor Ming berpendapat  Kementerian Belia dan Sukan harus berusaha mencari penyelesaian terbaik berhubung isu berkenaan.

"DAP Perak yakin dan percaya, kompromi profesional untuk dua orang ahli sukan profesional tidak akan mengubah barang sedikit pun prinsip dan pendirian tegas kita semua dalam isu Palestin-Israel," katanya memetik laporan Sinar Harian hari ini.

Terdahulu,  Setiausaha Dapsy Perak yang juga Ketua Biro Pembangunan DAP Perak, Chong Zhemin mendakwa kerajaan menggunakan sentimen politik dan peribadi apabila menolak visa dua peserta luncur angin dari Israel, Yoav Omer dan Noy Drihan daripada mengambil bahagian dalam Kejohanan Luncur Angin Belia Dunia anjuran Persekutuan Luncur Angin Antarabangsa (ISAF), di Langkawi.

Sekatan visa dilakukan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Kenyataan Zhemin itu jelas menimbulkan rasa tidak puas hati masyarakat yang mempersoalkan sensitiviti parti itu terhadap Israel.

Antaranya adalah Parti Amanah Negara (PAN) yang membidas kenyataan berkenaan sebagai tidak sensitif kepada umat Islam di negara ini manakala PAS Perak mendesak agar DAP menarik balik kenyataan berkait isu penafian visa dua atlet luncur angin Israel dan segera meminta maaf.

Menjawab perkara itu, Pemuda Sosialis DAP (Dapsy) Perak tampil dengan kenyataan bahawa parti itu tidak sesekali akan menyokong Zionis Israel.

Ketuanya, Howard Lee Chuan How berkata, kenyataan dikeluarkan Chong Zhemin tidak mencerminkan pendirian organisasi parti.

Malah kenyataan itu tidak pernah dibincangkan dan dipersetujui mana-mana peringkat Dapsy khususnya di Perak dan menyifatkan ia hanyalah pendirian peribadi Zhemin.

"Saya secara tegas menyatakan bahawa isi kandungannya (kenyataan) tidak mencerminkan pendirian Dapsy Perak, mahupun Dapsy mana-mana peringkat.

"Pendirian rasmi Dapsy Perak adalah selaras dan konsisten dengan DAP. Kami bantah dan mengecam segala keganasan dilakukan oleh pemerintah  Israel terhadap Palestin," katanya.

Kepimpinan utama DAP antaranya Lim Guan Eng dan Anthony Loke didapati masih gagal memberikan sebarang kenyataan berhubung isu berkenaan.
Share on Google Plus

About Melayu Berwawasan

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
Post a Comment