Jangan mudah percaya dakyah 'Ustaz Youtube' - Ayob Khan

SHAH ALAM: Orang ramai diminta untuk tidak mudah mempercayai dengan dakyah yang disampaikan oleh 'Ustaz Youtube' yang kian menjadi fenomena, bagi mengelakkan penularan fahaman ekstrimis.   Ketua Penolong Pengarah Bahagian Antikeganasan, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata penceramah bebas yang tidak bertauliah ini boleh menyebabkan pengetahuan yang dikemukakan tidak selari pemikiran ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah. Katanya, ketaksuban terhadap golongan penceramah ini akan mendorong sesetengah individu mengambil jalan pantas untuk ke syurga dengan menyertai kumpulan militan atau ekstrimis.   "Saya mohon kepada orang ramai untuk tidak terlalu taksub dengan penceramah tidak bertauliah yang 'menghalalkan cara' untuk melakukan keganasan. Penceramah sebegini sering dilihat melalui laman sosial Youtube.  

"Fahaman yang dibawa melalui penceramah bebas perlu dibanteras kerana mereka berhujah akan keperluan menyertai jihad bersama IS melalui manipulasi terhadap al-Quran dan Hadis. "Fahaman yang disampaikan itu bercanggah dan mempunyai doktrin militan," katanya ketika ditemui di Bicara Dakwah Siri Lima anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Selangor, di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.   Ayob berkata, rata-rata kumpulan militan IS berjaya merekrut ahli baharu dan memperoleh sumber kewangan juga melalui penggunaan media sosial apabila ada pengguna yang bersimpati dengan perjuangan mereka.   Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak berkuasa agama untuk bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam  meningkatkan lagi usaha membanteras dakyah ekstrimis melalui medium berkenaan.   "Kita mengambil langkah mengawal maklumat fahaman ekstrimis ini, dan pada masa sama usaha membanteras melalui media sosial juga turut dijalankan.   "Maka, saya mohon semua jabatan agama untuk bekerjasama dengan kami dalam usaha ini. Kita harus sebarkan maklumat yang sahih mengenai fahaman sebenar yang tidak bercanggah dengan ahli sunnah, supaya mereka dapat maklumat yang betul," katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana