Tun M akan hadir Perhimpunan Agung Umno

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengesahkan akan menghadiri Perhimpunan Agung Umno bulan depan sekiranya dijemput.

Menurutnya, jika beliau dikecualikan daripada menghadiri Perhimpunan Agung Umno 2015 kerana mengkritik perdana menteri, maka Umno sudah menjadi parti Najib.

 “Kalau saya dijemput, saya pergilah. Ini parti saya, bukan parti Datuk Seri Najib (Tun Razak) seorang,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Semalam, The Star melaporkan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan Mahathir tetap dijemput menghadiri perasmian Perhimpunan Agung Umno 2015, 10 Disember ini

Ketika diminta mengulas soal gesaan agar beliau dipecat dari parti, Mahathir berkata, beliau sebagai ahli berhak untuk bersuara dan selama ini tegurannya hanya buat Najib bukannya parti.

“Tak apalah dia (Najib) ada hak nak pecat. Tak ada sebab pun nak pecat (saya) tapi sebab dia berkuasa. Ini satu cara salah guna kuasa. Saya ahli Umno dan saya berhak dalam Umno.

“Ini bila siapa tegur perdana menteri atau presiden parti (di) buang. Jadi seolah-olah ini bukan parti Umno...ini parti Datuk Seri Najib. Siapa tegur Najib kena buang,” katanya.

Menurutnya lagi, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang diputuskan tidak akan merasmikan mesyuarat perwakilan ketiga-tiga sayap parti, Wanita, Pemuda dan Puteri merupakan salah satu bukti bahawa Umno sudah menjadi parti Najib.

“Ini tidak mengikut peraturan dan tradisi parti kerana orang ini (Muhyiddin) dianggap sebagai tidak bersetuju bukan dengan Umno tapi dengan Datuk Seri Najib. Sekali lagi bukti Umno sudah jadi parti Najib,” katanya.

Selasa lalu, Majlis Tertinggi (MT) Umno memutuskan ketiga-tiga mesyuarat itu akan dirasmikan oleh ketua pergerakan masing-masing sekali gus mengesahkan bahawa Muhyiddin sebagai orang nombor dua parti tidak akan berucap pada perasmian persidangan itu meskipun secara tradisi perasmian akan dibuat oleh Timbalan Presiden.

Menurut Zahid juga, MT Umno akan memutuskan sama ada Muhyiddin akan menggulung ucapan sebagai Timbalan Presiden atau tidak, kelak.

Kata Mahathir, Muhyiddin sebagai orang nombor dua parti perlu hadir dan duduk di atas pentas sewaktu persidangan serta perlu diberi peluang untuk berucap kepada perwakilan-perwakilan.

“Dari segi protokol, orang nombor dua ialah Muhyiddin. Kalau dia nak bercakap, saya harap speaker (pengerusi tetap) bagi peluang kepada dia bercakap.

“Jika tidak, kita tak payah cakap tentang demokrasilah. Kalau cuma nak puji Najib sahaja baru boleh cakap, ini bukan lagi parti Umno,” katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana