Bajet 2016: Rakyat Perak tunggu dengan debaran

Sejak mengambil alih jawatan Menteri Besar Perak pada 2009 ujian terbesar menunggu  Dato Seri Dr. Zambry Abd Kadir tentulah berhubung pembentangan bajet atau belanjawan  pada tahun berikut.  Ini kerana bajet untuk tahun itu disediakan Pakatan Rakyat (PR).
Rakyat akan membanding dengan menilai sama ada bajet kerajaan BN lebih baik lagi berbanding bajet pembangkang. Lebih-lebih lagi bajet PR dibentangkan Nizar Jamaluddin selaku MB ke10 buat pertama kali yang sebelumnya didakwa  BN  sebagai “sarat dengan elemen-elemen politik.”

Ketika membentangnya di sidang DUN pada 10 Nov. 2009  jam 11.47 pagi, Nizar mengakui bahawa bajet  mereka juga satu bajet deficit.

Tetapi ada justifikasinya, yang menurutnya: “ walaupun bajet negeri masih mengalami defisit bagi tahun kelima berturut-turut, defisitnya berkurangan hampir RM 15 juta daripada tahun sebelumnya.Bajet 2009 mengalami defisit RM25 juta, berasaskan anggaran pendapatan berjumlah RM712 juta, sedangkan perbelanjaan berjumlah RM737 juta.

 Perak mengalami desifit selama empat tahun berturut-turut sebelum ini bermula 2005 (RM16 juta), 2006 (RM34 juta), 2007 (RM35 juta) dan 2008 (RM40 juta).

Senario ini tentulah membuat Dr.Zambry yang sebelumnya adalah sekadar seorang EXCO kerajaan dizaman BN berkuasa dan tidak ada pengalaman diperingkat pusat berdepan satu situasi yang amat sulit dan penuh cabaran.

Keadaan ekonomi Perak walaupun tidaklah “negative” namun 11 bulan dibawah Pakatan Rakyat  menyebabkan terdapat keadaan yang perlu diperbetulkan. Lagipun perjuangan BN adalah untuk rakyat bukannya mewakili satu-satu kaum sahaja.

Di tengah-tengah kebimbangan ini, Dr.Zambry juga tidak ada pilihan tetapi terpaksa membentangkan bajet defisit seperti pentadbiran lalu dan terpaksa berdepan kritikan tajam dari pembangkang.

Sidang DUN pada 2009 yang bermula agak panas sarat dengan pelbagai isu  seperti isu dakwaan bahawa kerajaan baru BN “adalah kerajaan haram” serta lain-lain isu sampingan. Isu bajet Dr.Zambry seperti tidak diambil peduli.

Tetapi jelaslah bajet dibentangkan Dr.Zambry sejak 2009 sehingga 2015 bermula sebagai  satu  bajet defisit  namun berakhir dengan satu “surplus” (atau lebihan) pada penghujung tahun kewangan tahun berkenaan.

Bagaimanapun biasalah kerana sejak 2009 pembangkang memilih mengkritik bajet BN sebagai bajet deficit tetapi  apabila diumumkan bajet lebihan pada hujung tahun, mereka membisu. Tidak kelihatan kenyataan memuji. Begitu juga tahun berikut mereka bersikap sama tetap mengkritik tanpa mengambil kira peristiwa silam.

 Poin kita di sini  ialah sama ada bajet dibentangkan MB Perak defisit atau sebaliknya rakyat harus melihat faedah yang bakal mereka nikmati. Begitu juga mereka harus menunggu sehingga akhir tahun bajet berkenaan bagi membuat penilaian.  Jangan terpengaruh dengan kecetekan pemikiran pembangkang yang masih terpalit dengan sindrom hilang kuasa.

  Justeru menjelang persidangan DUN  dan pembentangan bajet 2016 bulan depan, spekulasi mengenai isu bajet defisit semakin panas sehingga pihak media terpanggil bercakap dan menulis mengenainya. Bukankah subjek ini juga menarik minat pembangkang yang semakin ketandusan isu?.

Bagi Dr.Zambry, ia berdepan sekali lagi isu sama iaitu bentuk bajet bagi tahun kewangan 2016.  Hal ini ketara apabila Dr.Zambry ketika menemui media di Ipoh membayangkan “sukar membuat keputusan dan masih dalam proses perbincangan sama ada bajet kali  ini deficit atau surplus”.

Ini kerana katanya beliau terpaksa mengambil kira persekitaran ekonomi negara dan dunia lebih-lebih lagi ekonomi dunia yang tidak begitu postif serta pada masa sama nilai  ringgit berbanding US dollar  juga jatuh pada paras membimbangkan.

“Kita belum membuat keputusan lagi . . . masih berbincang, tetapi (minta media)  tunggulah sama ada kita akan bentangkan bajet deficit atau surplus atau bajet berimbang,”katanya lagi.

Dengan nada gurau beliau berkata:“Lagipun saya tak boleh umumkan lagi kerana ia masih dikelasifikasikan rahsia besar . . . macam kita tengok Perdana Menteri pegang bag bertanda X . . .itu rahsia besar.  . . . .tetapi kita sedang  pertimbangkan dari pelbagai aspek.”

Dr Zambry turut menjelaskan kerajaan negeri perlu juga mengambil kira selain faktor ekonomi juga struktur belanjawan negara. Perak perlu berhati-hati kerana perbelanjaaan  pengurusan yang sentiasa meningkat.

"Belanja pengurusan ini jarang menurun, apabila kita bergerak, kita memerlukan lebih ramai staff, mendapatan lebih ramai pegawai, pekerja dan peningkatan kesedaran awam yang memerlukan penambahan bajet," ujarnya.

Dr.Zambry berkata adakah kerajaan negeri sanggup mengambil risiko untuk mengadakan bajet berimbang melihat kepada perkembangan  ekonomi dunia pada masa ini.Ini juga kita ambil kira.

Bagaimanapun katanya keadaan di Perak masih OK. Sektor pembinaan masih rancak, begitu juga sector hartanah semakin berkembang. “Dengan kejatuhan ringgit permintaan bagi barang-barang semakin baik . . . .kita mempunyai lebihan wang.”

Secara purata perbelanjaan sebenar kira-kira RM10 juta kecuali  2010 apabila kerajaan pusat  membuat bayaran bagi tanah yang diluluskan kepada KPTG. "Kita tidak boleh tersasar terus daripada struktur bajet Persekutuan tetapi kita sedang melihat kepada struktur yang lebih baik untuk mewujudkan bajet yang sihat."

Untuk rekod, katanya Perak  memperuntukkan belanjawan yang tinggi bagi perbelanjaan pembangunan, berbanding negeri-negeri lain. "Perak agak menarik kerana kita menekankan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada bajet tahunan bagi perbelanjaan pembangunan dan kali ini mungkin lebih lagi."

Kenyataan Dr.Zambry mengenai pra bajet ketika meraikan ketua-ketua biro media berpengkalan di Ipoh dalam satu majlis sarapan. Majlis yang bermula jam 9.00 pagi  di kediaman rasminya di Ipoh selesai hampir jam 12.00 tengah- hari. Menunya, nasi lemak,kopi dan teh tarik serta kueh dan buah-buahan.  “Kalau tak ada program lain, nak juga saya tunggu sampai lunch,”katanya.

Dalam majlis ini selain isu bajet,Dr.Zambry bercakap terus terang mengenai pelbagai perkara. Ini termasuk isu seorang wakil rakyat pembangkang membeli tanah ratusan ekar di sebuah kawasan yang dikenal pasti “bakal dibina lapangan terbang di Perak”.

(Untuk rekod kerajaan pusat tidak meluluskan projek lapangan terbang di Perak, begitu juga Kedah yang melobi sakan juga terlepas peluang berkenaan. Ia kerana factor lapangan terbang Pulau Pinang yang mana kerajaan pusat berbelanja besar menaikkan tarafnya.)

Dalam kontek ini, tokoh berkenaan geram dengan MB kerana projek itu tidak “take off.” (Mungkin pelaborannya gagal membuahkan hasil lumayan?)

Menteri Besar juga bercakap mengenai kebimbangan “ketegangan kaum” berpanjangan yang antara lain bakal merugikan anak-anak cucu kita.”Kita oklah,boleh control tetapi bagaimana pula dengan anak-anak cucu kita, mereka tentu sukar hidup dalam suasana begini.”

Beliau juga bercakap tentang “anda dengar saya juga akan dipecat sebagai MB (beberapa bulan lalu)  . . . . tapi saya terima apa sahaja.” Soalnya dengan tindakan (menggantikannya) itu bolehkah BN memastikan kemenangan dalam pilihanraya?”

Banyak lagi isu sampingan yang beliau luahkan namun fokasnya mengenai bajet 2016. Justeru begitulah menjelang  bajet 2016 negeri Perak bulan depan, salah satu kejutan yang bakal diperolehi warga negeri ini ialah mengenai   projek pembangunan.

Media juga diberitahu beberapa pembangunan bertaraf mega bakal dinikmati rakyat Perak. “Ada ketika projek tak berjalan . . . itu bukan salah kita. Kita merancang tetapi ada ketika rancangan kita tidak menjadi .. . . “katanya. Sebab itu terdapat ketika katanya pembangkang “bantai kita.”

  Bagi media juga jauh lebih menarik bukan sekadar isu bajet deficit. Mereka teruja dengan penggumuman mengenai pembangunan pesat yang kini dinikmati serta jaminan MB bahawa kerajaan bercadang membangunkan hampir setiap ceruk di negeri ini.

Salah satu kawasan yang bakal menikmati pertumbuhan pesat ialah Bagan Datoh. Ini tentulah sejak DS Dr.Ahmad Zahid Hamidi dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri menggantikan TS Muhyiddin Yassin.

Menurut Dr.Zambry,  Bagan Datoh yang terletak didalam Hilir Perak akan dinaikkan menjadi satu sub-district. Menurutnya pembangunan dimaksudkan ialah kawasan pertumbuhan baharu seperti Koridor Selatan (Tanjung Malim ke Hilir Perak), daerah baharu Mu'alim, Bagan Datoh dan Ipoh Central.

Kerajaan merancang  melaksanakan projek perumahan mampu milik di beberapa kawasan di Lembah Kinta di samping bidang baru seperti elektronik dan elektrikal (E&E) tidak bidang tradisional seperti logam dan pertanian.

Katanya inilah yang dinamakan Perak baru dalam konteks perancangan masa depan negeri ini bukan bermaksud negeri yang baru.”Kita kena sentiasa memandang ke hadapan... merancang dan berusaha dengan lebih kuat bagi memastikan kesejahteraan hidup rakyat. Inilah yang dinamakan rakyat sentiasa diberi keutamaan.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana