Tiada bukti yang ditemui boleh dikaitkan dengan murid yang hilang...Semakin Pelik Lah

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tujuh murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan Tohoi yang hilang sejak 23 Ogos lepas akan diperluaskan ke bandar-bandar kecil berdekatan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata kawasan SAR diperluaskan daripada kawasan hutan hingga ke bandar-bandar kecil kerana pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan berlaku jenayah dan penculikan membabitkan murid berkenaan.

"Kita akan meliputi kawasan pencarian ini ke bandar-bandar kecil berdekatan kerana kita khuatir ada pihak yang melakukan penyembunyian kanak-kanak berkenaan," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat SAR itu dan bertemu ibu bapa tujuh murid berkenaan di Sekolah Kebangsaan Tohoi di sini, Isnin.

Dalam kejadian itu, enam murid perempuan dan seorang murid lelaki Orang Asli berusia antara tujuh dan 11 tahun dilaporkan melarikan diri daripada asrama sekolah kerana takut dikenakan tindakan oleh guru selepas mereka didapati mandi di sungai tanpa kebenaran. Mereka pada mulanya dikhuatiri tersesat di hutan.

Turut mengiringi Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri ialah Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim dan Panglima 8 Briged Infantri Brig Jen Zarondin Md Amin.

Ahmad Zahid berkata pihak risikan termasuk polis dan tentera akan menggiatkan usaha menjejaki tujuh kanak-kanak yang hilang itu memandangkan setakat SAR yang memasuki hari ke-37 hari ini, tiada bukti yang ditemui yang boleh dikaitkan dengan kanak-kanak itu.

"Bukti yang ditemui tidak memperlihatkan langsung (seperti) stokin dan selipar yang ditemui (dalam hutan) daripada kanak-kanak terbabit (ini) berdasarkan DNA dan sebagainya," kata beliau.

Beliau berkata operasi SAR yang melibatkan kawasan hutan berbukit Pos Tohoi diperluaskan dari 80 kilometer (km) radius kepada 140km radius.

Setakat ini lapan agensi kerajaan termasuk Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia sedang melakukan operasi SAR dan ia akan diteruskan sehingga kesemua murid terbabit ditemukan.

Beliau berkata unit Senoi Praaq daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) akan dilibatkan dalam operasi SAR di kawasan hutan belantara itu kerana mereka terdiri daripada Orang Asli yang mempunyai kemahiran dalam operasi di hutan.

Ahmad Zahid berkata kerajaan mengambil serius kehilangan kanak- kanak Orang Asli berkenaan dan akan menggunakan pelbagai pendekatan sehingga kesemua mereka ditemui.

"Media sosial jangan cuba memutarbelitkan usaha-usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan, jangan cuba untuk meletakkan unsur-unsur yang negatif, mereka harus membezakan. Ini soal kemanusian, ini soal perasaan ibu bapa, jangan mempermainkan perasaan mereka ini.

"Mereka (media sosial) seharusnya bersama kami untuk memberi motivasi dan semangat bukan sahaja kepada ibu bapa tetapi juga kepada pegawai dan anggota pasukan pencarian, jangan rendah-rendahkan keupayaan dan komitmen mereka ... mereka bekerja bersungguh-sungguh," katanya.

Ahmad Zahid juga meminta Kementerian Pendidikan untuk memindahkan kelas- kelas di SK Tohoi ke bangunan asrama sekolah itu supaya sekolah dan asrama berada dalam satu kawasan.

Sekarang ini kelas-kelas SK Tohoi dan bangunan asrama dipisahkan dengan jalan pembalakan.

Sementara itu, ibu bapa kanak-kanak terbabit yang ditemui menyatakan rasa gembira dengan komitmen diberikan kerajaan melalui Ahmad Zahid itu dan berharap anak-anak mereka segera ditemui.

Medah Angah, 38, berkata komitmen yang diumumkan Ahmad Zahid memberi harapan baharu kepada ibu bapa yang amat menanti-nantikan anak-anak mereka ditemui.

"Kami sudah lama menanti anak-anak kami pulang, kami minta anak-anak kami segera ditemui," katanya.

Tujuh murid terbabit ialah Juvina David, 7; Linda Rosli, 8; Sasa Sobrie, 8; Ika Ayel, 9; Haikal Yaakob, 8; Norieen Yaakob, 10, dan Miksudiar Aluj, 11.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana