Peluk Islam: Danish tidak pernah rasa berseorangan

SELEPAS tertarik dengan Islam sejak berusia 15 tahun lagi, namun apabila umurnya berganjak ke 21 tahun barulah Muhammad Danish Danial Chandran melafazkan syahadah pada 1 Ramadan lalu.

Mula membelek dan membaca sirah-sirah Nabi Muhammad SAW sejak tingkatan tiga, pemuda berbangsa India ini akui tertarik dengan perjalanan hidup junjungan besar umat Islam itu.

Oleh sebab minatnya lebih cenderung kepada sains, maka pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi di Selangor ini sering melakukan penyelidikannya sendiri antara sains dengan al-Quran.

“Ayah saya meninggal pada 2008 dan sejak itu saya mula hilang bimbingan seorang ayah. Dari situ saya mula membaca kisah-kisah Nabi dan saya sangat tertarik.

“Ketika sekolah, saya sertai kelas agama malah saya meluangkan masa berjumpa ustazah untuk bertanya tentang agama Islam,” katanya kepada Sinar Online.

Menurutnya, perjalanan berharga pada awal tahun ini ketika mengikut NGO Islam ke Kelantan bagi membantu mangsa banjir sekali lagi menguatkan hatinya untuk kembali kepada fitrah.

“Saya ke Kelantan sehari selepas Tuan Guru Nik Aziz meninggal dunia. Saya ada menziarahi pusara Allahyarham dan di situ saya lihat bagaimana seorang yang hebat seperti beliau tapi pusaranya biasa sahaja. Sangat bersederhana.

“Ada juga yang berdakwah dengan saya sepanjang saya di Kelantan dan ketika itu saya tahu saya akan memilih Islam cuma saya tidak tahu bila,” katanya.

Ceritanya, awal Jun lalu, rasa sebak tidak terkata menghimpit perasaannya sehingga dia menangis seorang diri.

“Ketika itu saya fikir kan ayah saya, tentang diri saya dan masa itu saya memang takut mati.

“Saya teringat tentang salah satu kata-kata dari sebuah buku Islamik yang saya baca sebelum ini iaitu ‘taubat tidak menunggu ajal’ dan saya terus maklumkan kepada rakan baik saya yang saya nak masuk Islam,” katanya.

Setelah hampir empat bulan bergelar Muslim, Danish akui hatinya sangat tenang dan tidak pernah lagi merasa keseorangan.

“Masuk saja Islam, saya terus dengan solat sunat tarawih, puasa penuh selama sebulan dan saya menyambut hari raya di rumah rakan. Selama itu, saya merasa ‘belong’s here’. Sebelum ini saya bimbang kerana mualaf-mualaf dimomok-momokkan dengan dipulaukan orang sekeliling.

“ALLAH permudahkan semuanya. Rezeki pun tak putus-putus malah pelajaran saya juga semakin baik,” katanya.

Meskipun masih belum menyampaikan berita penghijrahannya itu kepada keluarga tercinta, Danish yakin ibu dan adik beradiknya akan menerima keputusannya itu nanti.

“Itulah cabaran terbesar saya. Hati mak kena jaga juga. Saya rancang untuk berterus terang dengan keluarga selepas saya tamat pengajian.

“Tapi tak tahulah jika ALLAH berkehendak lain, mungkin mak dapat tahu lebih awal. Saya reda sahaja,” katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana