Konspirasi politik sisihkan PAS dari Pakatan Harapan?

Kini semakin jelas bahawa PKR cuma 'ajak-ajak ayam' apabila mempelawa PAS menyertai rundingan meja bulat untuk menubuhkan suatu gagasan pembangkang baru dalam menghadapi pilihanraya umum ke-14 kelak.

Lakonan politik PKR dilakukan dengan agak dramatik agar ia kelihatan sesuatu yang jujur dan dapat menghindar persepsi bahawa ia sebenarnya tidak mahu PAS akan 'menjejaskan' Pakatan Harapan yang diumumkan penubuhannya pada Selasa, 22 September 2015.

Drama ini bermula dengan saranan dari penjara Sungai Buloh apabila Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengeluarkan kenyataan tentang harapannya supaya PAS turut dijemput menyertai rundingan Pakatan 2.0.

Berikutan itu, pemimpin-pemimpin PKR mula melakonkan watak masing-masing sehingga Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali kelihatan seolah-olah 'bertegang urat leher' dengan pemimpin DAP yang tidak mahu PAS turut serta.

Ada juga kemungkinan bahawa DAP turut berlakon dalam drama politik ini dengan menyuarakan pendirian tegas tidak mahu PAS ada bersama demi terus mendapat 'restu' ahli-ahlinya yang memang alergik terhadap PAS.

Sementara Parti Amanah Negara yang masih belum sah pendaftarannya tiba-tiba turut melunakkan pendiriannya dengan 'menerima kehadiran PAS' dengan syarat ia harus 'belajar menghormati konsensus Pakatan'.

Natijah yang PKR dan DAP harapkan ialah agar PAS atas nama prinsip dan maruah, benar-benar enggan menyertai pakatan baru itu. Sebab itu, alasan yang diberikan oleh PAS harus ditimbangkan secara saksama.

"Persidangan yang dibuat sedikit tergesa-gesa, kita (PAS) perlu berbincang terlebih dahulu kerana wakil-wakil kita perlu membuat mandat parti.

"Kita sendiri belum melakukan perbincangan secara terperinci mengenai beberapa perkara termasuklah pendirian parti," kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan.

Menurut Takiyuddin, tempoh masa notis pemberitahuan mengenai perbincangan berkenaan juga terlalu pendek.

"Kita perlukan masa. Semasa pertemuan dengan PKR tempoh hari, kita tidak dimaklumkan secara spesifik tentang perkara ini.

"Sekiranya tidak ada perbincangan terperinci, PAS bimbang tidak dapat mengambil bahagian dengan baik dalam perbincangan itu," katanya.

Sebelum itu, PKR telah mengadakan perbincangan dengan pimpinan PAS bagi memeta pelan baru untuk menghidupkan kerjasama pembangkang menghadapi pilihanraya umum ke-14.

Malangnya, menurut Takiyuddin, tajuk perbincangan meja bulat berkenaan juga tidak dimaklumkan kepada PAS.


PKR mungkin berharap rakyat tidak menyalahkannya kerana tidak membuat tawaran pada PAS. Sekaligus ini akan menyorokkan sifirnya yang sebenar untuk membawa masuk Amanah tanpa banyak soal tentang kemampuan parti itu menjadi pengganti PAS dalam Pakatan Harapan.

Plot sempurna sisihkan PAS

Kenyataan Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub menyerlahkan kemungkinan ini apabila beliau menganggap pendirian PAS yang enggan bekerjasama dengan DAP dan partinya itu akan memudahkan lagi parti pembangkang membentuk sebuah pakatan baru.

Salahuddin berkata, oleh kerana PAS keberatan bekerjasama, Amanah, PKR dan DAP bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pro-pembangkang akan mempercepatkan lagi penubuhan muafakat baru itu tanpa PAS.

"Amanah mengulangi pendirian dan komitmen bahawa kami akan bersama dengan tuntutan rakyat untuk bersama dalam pakatan baru pembangkang bagi membawa perubahan politik," katanya.
 
Menurut Salahuddin, Amanah telah beberapa kali menyatakan kesediaan untuk bersama semua pihak termasuk PAS bagi menyertai perbincangan ke arah menubuhkan muafakat politik baru.

Beliau dalam pada itu menyerahkan kepada rakyat untuk menilai sendiri pendiran PAS yang menolak untuk berada dalam kerjasama politik baru parti pembangkang sebaliknya hanya mahu bekerjasama dengan PKR.

Perihal PAS telah memutuskan hubungan kerjasama politik dengan DAP bukan satu rahsia lagi. Soal PAS tidak mahu bekerjasama dengan 'pengkhianat parti' yang kini menerajui Amanah juga bukanlah suatu misteri.

Bagaimanapun yang menjadi persoalan mengapa PKR berlagak seolah-olah ia bersungguh mahu PAS kembali ke pangkuan Pakatan Rakyat walaupun tahu bahawa PAS tidak akan mahu bekerjasama dengan DAP dan Amanah?

PAS konsisten mengatakan ia masih bertahaluf dengan PKR. Namun mengambil kira reaksi PAS pada isu menteri besar Selangor tahun lalu dan drama politik kali ini, timbul persoalan adakah PKR juga mahu meleraikan tahalufnya dengan PAS?

Kini dengan pengumuman penubuhan Pakatan Harapan, sempurnalah plot politik yang disusun untuk menyisihkan PAS daripada pemuafakatan pembangkang.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana