Ejek, Sindir, Caci Bukan Bahasa Orang Beriman

“Muka merah padam, telinga berdesing menahan marah, suhu hati yang tenang naik mencanak!” Itulah reaksi manusia normal apabila terkena tembakan peluru ejek, sindir dan caci. Luka tembakan ini tidak mudah dirawat bahkan mampu meninggalkan parut jiwa seumur hidup.

Mengejek, menyindir pedas pihak tidak sefahaman dengan kita memang sedap dan enak. Ia menjadi semakin lazat apabila ditambah rasa oleh perencah syaitan. Sungguh! Itulah kepakaran syaitan:

“Dan katakanlah (wahai Muhammad) kepada hamba-hamba-Ku (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik (kepada orang-orang yang menentang kebenaran); sesungguhnya syaitan itu sentiasa menghasut di antara mereka (yang mukmin dan yang menentang); sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia” (al-Isra’ [17:53]).

Nabi Nuh AS adalah Rasul pertama yang terkena tembakan peluru ejek, sindir dan caci kaumnya. Bukan setakat menolak dakwah baginda, mereka menyindir baginda dengan ayat sinis pedas:

“(Tak kami sangka Wahai Nuh) Adakah kamu sudah bertukar menjadi tukang kayu pula selepas mendapat pangkat kenabian? Boleh pula kamu membina kapal di daratan?.” (Tafsir al-Tabari).

Kisah ejeken kaum baginda ini direkodkan secara abadi dalam al-Quran sebagai satu pengajaran kepada umat Islam yang “membaca dan beriman dengan al-Quran.” Apa mesejnya? “Jangan sesekali kamu meniru bahasa mereka”:

“Dan Nabi Nuh pun membuat bahtera itu, dan tiap-tiap kali sepuak daripada kaumnya melalui tempat dia membina bahteranya, “mereka mengejek-ejeknya.” Nabi Nuh pun menjawab: “Jika kamu memandang kami bodoh (kerana membuat bahtera ini), maka sesungguhnya kami juga memandang kamu bodoh (kerana keingkaran kamu), sebagai (balasan) ejekan kamu. Maka kamu akan mengetahui siapakah yang akan didatangi azab yang menghinakannya di dunia dan yang akan ditimpakan pula dengan azab yang kekal pada hari akhirat kelak” (Hud [11:38-39]).

Seakan itulah bahasa kebanyakan manusia degil yang melawan rasul mereka:

“Dan demi sesungguhnya! telah diejek beberapa rasul sebelummu, lalu orang yang mengejek di antara mereka ditimpakan (balasan azab) bagi apa yang mereka telah perolok-olokkan itu (al-An’am [6:10] & al-Anbiya’[21:41]).

Rasulullah SAW dan para sahabat juga tidak terlepas daripada tembakan peluru ejek, sindir dan caci ini. Allah menyebut dalam surah al-Taubah bagaimana orang munafik Madinah selalu sahaja melepaskan peluru tersebut kepada Rasulullah:

“Dan di antara mereka (yang munafik itu) ada orang yang menyakiti nabi sambil mereka berkata: “bahawa dia (Nabi Muhammad) orang yang suka mendengar (dan percaya pada apa yang didengarnya)”. Katakanlah: “Dia mendengar (dan percaya) apa yang baik bagi kamu, ia beriman kepada Allah dan percaya kepada orang mukmin, dan ia pula menjadi rahmat bagi orang-orang yang beriman di antara kamu”. Dan orang-orang yang menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya (al-Taubah [9:61]).

Dalam peristiwa lain, para sahabat berlumba memberikan sedekah setelah turunnya ayat galakan memberi sedekah. Apabila yang kaya memberikan jumlah sedekah yang banyak, orang munafik mengejek: “Itu tanda riyak dan mahu menunjuk.” Apabila sahabat yang miskin membawa secupak kurma untuk sedekah, mereka juga menembak ayat pedas: “Sungguh Allah tak memerlukan sedekahnya yang sekadar secupak itu.” - Riwayat Bukhari dan Muslim.

Sungguh beracun lidah mereka, tiada sesuatu pun terlepas dari ejekan mereka. Berikutan itu, Allah membalas ejekan mereka dengan penurunan ayat ini.

“Orang-orang (munafik) yang mencela sebahagian daripada orang yang beriman mengenai sedekah yang mereka berikan dengan sukarela, dan (mencela) orang yang tidak dapat (mengadakan apa-apa untuk disedekahkan) kecuali sedikit sekadar kemampuannya, serta mereka mengejeknya, - Allah akan membalas ejekan mereka, dan bagi mereka (disediakan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (al-Taubah[9:79]).

Budaya mengejek bukanlah budaya peninggalan Rasulullah SAW, tetapi ia bukti kebebalan musuh para nabi. Janganlah pula alasan “menyuruh yang makruf dan mencegah yang mungkar” menjadi sebab halalnya tembakan ejek, sindir dan caci kita. Renung firman Allah ini:

“Wahai orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (daripada kaum lelaki) mencemuh dan merendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak daripada kaum perempuan mencemuh dan merendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang yang zalim.” (al-Hujurat [49:11]).

Konsep mudah dalam interaksi dengan al-Quran, jika sesuatu ayat dimulai dengan lafaz “Wahai orang beriman,” ia bermaksud kejayaan mematuhi arahan dalam ayat agak sukar dipenuhi dan hanya mampu dilakukan oleh orang beriman. Jika masih gagal mematuhinya, darjat iman masih perlu diperbaiki.

Selepas ini jika mahu “melepaskan ayat ejek, sindir dan caci” anda di mana sahaja (seperti dalam status facebook), fikirlah sejenak apakah faedah daripada tembakan itu? Adakah ia memberi manfaat kepada sasaran tembakan? Jika benar mahu menegur, gunakanlah ayat yang manis dan sopan kerana ia lebih mudah meresapi jiwa. Teruskan menegur dalam pakaian akhlak Islam yang sebenar.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana