BERSIH 4 : BUKAN LAGI MASA UNTUK BERKOMPROMI

Kementerian Dalam Ne­­­geri (KDN) sudah mengesahkan Bersih 4.0 bukanlah sebuah pertubuhan berdaftar, pihak polis pula mengisytiharkan perhimpunan kelompok itu yang dirancang pada Sabtu ini adalah perhimpunan haram.

Apabila sudah diisytiharkan pertubuhan haram dan perhimpunan haram maka sudah pastilah ia menyalahi undang-undang, maka puak-puak yang bersedia turun ke jalanan sehingga boleh mencetuskan huru-hara di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur adalah manusia tidak bertanggungjawab.

Mereka bukannya tidak diberi ruang untuk berhimpun. Apa yang perlu dilakukan hanya mematuhi segala peruntukan dalam Akta Perhimpunan Aman 2012, tetapi malangnya kumpulan yang turut disertai oleh golongan bijak pandai dalam undang-undang itu tidak menghiraukan perkara tersebut. Sebab itulah, apabila polis memberi jaminan akan membantu penganjur perhimpunan sekiranya mereka mengikut sepenuhnya undang-undang dan mengadakan perhimpunan di tempat tertutup seperti stadium ia tidak begitu digemari oleh penganjur pertubuhan dan perhimpunan haram tersebut.

Matlamat mereka ialah mengadakan demonstrasi jalanan walaupun memahami ketika itu sambutan Hari Kebangsaan 2015 sedang rancak diadakan. Mereka mahu mengambil kesempatan daripada kehadiran ribuan orang pada sambutan itu untuk menunjukkan kononnya kegiatan haram mereka dapat sambutan.

Dengan kesediaan yang diberikan oleh polis untuk menghulurkan bantuan, kita boleh mempersoalkan apakah motif sebenar perhimpunan itu hendak diadakan. Usah bercakap soal menuntut pilihan raya bersih kerana kalau pilihan raya tidak bersih, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan tidak akan berada dalam genggaman pembangkang. Begitu juga di Parlimen, Barisan Nasional (BN) terus hilang majoriti dua pertiga.

Oleh itu, pihak polis jangan beri muka kepada Bersih 4.0. Kalau puak-puak yang degil itu bersedia untuk melanggar undang-undang maka mereka juga perlu bersedia menghadapi risikonya. Yang akan turun ke jalanan menyertai perhimpunan haram itu tidak seramai mana jika dibandingkan dengan jutaan rakyat Malaysia yang cintakan keamanan. Yang akan terpekik terlolong bersama Bersih tidak seramai mana jika dibandingkan ribuan lagi orang ramai yang ingin menyambut kemerdekaan di Dataran Merdeka.

Justeru bertindak tegaslah terhadap kelompok yang mencabuli undang-undang. Mereka bukanlah kelompok yang layak diajak berun­ding kerana sejak awal lagi kecende­rungan mereka ialah mahu mencetuskan ketegangan di Kuala Lumpur.

Kalau mereka tidak mempunyai hasrat sedemikian, apa salahnya mereka mematuhi peruntukan Akta Perhimpunan Aman 2012. Jika berasa hebat sangat dengan sambutan yang akan terima, buat sahaja di dalam stadium. Terpekik terlolong dalam stadium, berkumpullah seramai mana yang diinginkan dan tinggallah di situ selagi mana ada kudrat.

Tetapi setakat ini adalah jelas penganjur tidak berminat untuk mengadakan perhimpunan aman. Matlamat mereka sebenarnya mahu mencemarkan imej negara. Apabila polis bertindak, ia akan mendapati liputan di seluruh dunia. Imej Malaysia akan menjadi buruk, maka tercapai impian songsang mereka.

Bagaimanapun polis tidak perlu berasa gentar atau bimbang dalam soal menegakkan undang-undang. Jalankan amanah yang diberikan bagi menjaga keamanan. Jangan bertolak ansur dengan puak-puak yang sengaja tidak mahu mematuhi undang-undang tersebut.

Usah bimbang dengan hujah-hujah kononnya tindakan tegas polis mencabuli hak asasi manusia dan menghalang kebebasan bersuara. Sebelum mana-mana pihak membuat tuduhan tersebut, fikirkan apakah puak-puak dalam Bersih 4.0 telah menghormati kedua-dua prinsip itu.

Apakah hak asasi mereka sahaja yang harus diambil kira? Bagaimana dengan hak asasi orang ramai yang sepatutnya bergembira menyambut hari kebangsaan? Bagaimana de­ngan penjaja dan peniaga yang akan terjejas perniagaan mereka akibat demonstrasi jalanan? Bagaimana dengan pelancong asing yang datang ke negara ini untuk menikmati keindahan Kuala Lumpur? Soal hak asasi siapa yang harus diutamakan? Puak yang sengaja melanggar undang-undang atau kumpulan yang mencintai keamanan dan kedamaian?

Seperkara lagi yang akan turut menjadi perhatian kita, kelompok manakah yang paling ramai akan turun ke jalanan. Acapkali setiap kali perhimpunan haram seumpama itu, orang Melayulah paling ramai. Kononnya atas nama perjuangan (ada juga yang membuta tuli menganggap ia jihad) mereka membawa kanak-kanak waima bayi sekalipun untuk turut serta.

Perbuatan itu mendedahkan kanak-kanak dan bayi tersebut dalam bahaya. Peringatan sudah diberikan apa yang mereka lakukan melanggar undang-undang, tetapi ia tetap berulang apabila puak-puak tidak bertamadun ini turun ke jalanan.

Justeru kali ini diharapkan pihak berkuasa tidak lagi sekadar memberi amaran. Ibu bapa yang kononnya mahu menjadi pejuang itu harus dikenakan hukuman akibat ‘keberanian’ mereka mengheret anak mereka menyertai perhimpunan.

Begitu juga gadis-gadis yang bertudung labuh dan berpurdah. Ja­nganlah cemarkan Islam dengan mengaku kononnya golongan muslimah tetapi terpekik terlolong atau bergaul tanpa batas di jalanan.

Tindakan tegas juga harus dikenakan kepada golongan mahasiswa yang ‘masih berhingus’ untuk mencampuri urusan politik. Mereka se­pa­tutnya menumpukan perhatian ke­pada pelajaran dan bukannya menyertai demonstrasi haram. Jika berdegil juga mahu berbuat demikian, maka tinggalkan sahaja institusi pengajian tinggi masing-masing. Beri laluan kepada ramai lagi pelajar yang tidak mendapat tempat di universiti mengisi tempat mereka. Pihak universiti perlu bertegas dalam soal ini memandangkan puak-puak pelajar seumpama ini amat jahil untuk mengenal erti ‘sekadar amaran’.

Namun begitu kita yakin, katakanlah apa pun, ia sudah pasti tidak akan memberi kesan kepada puak-puak yang fikiran mereka sudah di­selubungi dengan politik kebencian. Jika mereka bijak berpolitik dan tahu menggunakan hak mereka dalam sebuah negara demokrasi sudah pasti demonstrasi jalanan bukanlah tempat mereka melepaskan perasaan, sebaliknya mereka akan menyertai perhimpunan yang mengikut lunas undang-undang.

Diharapkan dalam berhadapan dengan demonstrasi haram berke­naan, pihak berkuasa di agensi dan kementerian tidak lagi bertolak ansur. Kita sudah bosan dan muak de­ngan istilah ‘Bersih’. Istilah itu sepatutnya terpakai kepada satu tindakan yang benar-benar bersih dan bukannya dipenuhi dengan ‘kekotoran, kemungkaran dan perlanggaran undang-undang.

Zulkiflee Bakar
Utusan.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana