PAS jangan gelabah keluar kenyataan keruhkan hubungan dengan PKR - Abdullah Sani

SHAH ALAM: PAS tidak perlu menggelabah dengan membuat sebarang tindakan atau kenyataan yang boleh mengeruhkan keadaan membabitkan hubungan parti itu dengan PKR, kata kata Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Abdullah Sani Abdul Hamid.

Ahli Parlimen Kuala Langat itu berkata, kenyataan beberapa pemimpin PAS yang menyatakan kesediaan untuk berpisah dengan PKR kerana menyifatkan parti itu cenderung menyokong Gerakan Harapan Baru (GHB), sebagai kenyataan yang terburu-buru.

"Parti baru itu belum tubuh pun lagi. Tunggulah parti itu tubuh secara sebenarnya. Kemudian nak kata apa terpulanglah.

"Kalau sekiranya ada pengesahan daripada parti yang baru ini, maka waktu itu buatlah keputusan. Jadi tak adalah timbul masalah nak keluar, atau tidak keluar (Pakatan).

"Cuba sekarang ini kita tumpukan kepada isu rakyat yang menjadikan negara ini yang mata wangnya jatuh secara drastik dan merugikan rakyat, di samping isu 1MDB, isu GST... Jadi rasional lah," katanya ketika dihubungi Antarapos.

Abdullah berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din yang mengatakan parti Islam itu bersedia meninggalkan PKR dan  mengikut haluan sendiri sekiranya parti berkenaan berhasrat menyertai DAP dan GHB bagi membentuk gabungan pembangkang baru.

Menurut ulamak berkenaan, PAS tidak akan membantah hasrat PKR apatah lagi setelah melihat kepada pendirian yang disuarakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang seolah-olah menyokong GHB dan ingin memutuskan hubungan dengan parti Islam itu.

Tambah Abdullah, sebarang kenyataan tidak boleh dibuat berdasarkan persepsi sehinggalah sesuatu perkara itu disahkan, merujuk kepada pembentukan GHB yang masih belum ditubuhkan secara sah.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah baru-baru ini juga enggan mengulas lanjut berhubung pendirian parti berkenaan terhadap GHB memandangkan ianya masih belum didaftarkan sebagai sebuah parti politik.

Sementara itu, Abdullah juga menolak kemungkinan akan berlakunya pilihan raya negeri (PRN) di Selangor.

Malah ujarnya, pentadbiran pakatan di Selangor tetap kuat dengan sokongan tetap 30 ADUN, merujuk kepada bilangan 13 ADUN PKR, 15 ADUN DAP dan dua ADUN PAS iaitu Hasnul Baharudin dan Saari Sungib.

"Jadi kita kuat.. kita tak perlu risau mengenai perkara ini. Tak ada yang merumitkan," ujarnya mengulas pentadbiran di Selangor yang mungkin terjejas susulan keretakan hubungan parti dalam gagasan pembangkang itu.

Dalam waktu yang sama Abdullah memaklumkan PKR akan mengadakan mesyuarat dalam waktu terdekat bagi membincangkan kemelut yang melanda pakatan berkenaan, termasuk isu GHB.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana