Akhlak PAS dalam menangani niat politik DAP

Pertikaian di antara DAP dan PAS kini semakin genting dan gelagat kedua-dua pihak seolah-olah episod pergaduhan kanak-kanak. DAP kata PAS yang mulakan sementara PAS pula menuduh DAP yang bertanggungjawab.

DAP menggertak PAS supaya keluar dari Pakatan Rakyat kerana tidak amanah pada janji. PAS pula mencabar DAP supaya meninggalkan pakatan itu jika tidak dapat menghayati konsep ‘setuju untuk tidak bersetuju’.

Sebagai satu cara mencari pencerahan perbalahan politik ini, elok diambil iktibar dari aspek adab dan amalan budiman kanak-kanak sebelum memilih untuk bergelut dan menyakiti fizikal pihak lain.

Suatu masa dahulu apabila dua kanak-kanak bergaduh, tentu ada ‘tukang api’ yang meletakkan dua objek di tengah-tengah mereka sebagai simbol kehormatan bagi kedua-dua orang berkelahi.

“Ini kepala bapak engkau, dan ini kepala bapak dia. Jika berani pijaklah…” adalah dialog permulaan pergaduhan lazim. Jika salah seorang mengangkat kaki dan mengijak simbol kepala bapa lawannya, maka berlakulah pergelutan.

Namun dalam kes pertikaian PAS-DAP, nampaknya DAP tanpa banyak soal, terus memijak kepala “bapa” PAS. Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang dituduh ‘tiada maruah’ dan ‘tidak layak jadi seorang pemimpin Islam’.

Bagaimanapun mungkin kerana terkejut kepala atau maruah presiden mereka diinjak, PAS tercari-cari cara dan adab untuk membalas. Mungkin berpegang pada amalan, Rasulullah s.a.w. PAS tidak menyerbu dan menggeluti DAP.

Pernah satu ketika Rasulullah s.a.w. berdiri bersama isterinya, Aisyah r.a. apabila lewat seorang Yahudi yang mengucapkan “assaamu alaika ya Muhammad” yang bermaksud “matilah kamu. Ya Muhammad”.

Aisyah r.a. tersinggung dan marah. “wa ‘alaikumu saam wa laknah,” jawab Aisyah. Ini membawa maksud, “kamu mati dan kamu dapat laknat”.

Rasulullah masih tetap tenang. Namun Aisyah tidak berpuas hati. Maka Rasulullah s.a.w. menasihati, “mahlan ya Aisyah. Sabarlah Aisyah. Allah itu suka kita bersikap lembut. Santun walaupun terhadap musuh”.

Aisyah terus memprotes. Baginya ucapan Yahudi itu satu penghinaan dan mendesak Rasulullah s.a.w. membalas. Namun dengan tenang Rasulullah menyatakan baginda sudahpun membalasnya.

“Aku sudah jawab. Wa ‘alaika (dan kamu juga)”, kata Rasulullah. Ringkas tapi lembut dan mengena sasaran. Si Yahudi mendoakan Rasulullah mati dan dijawab,"kamu juga”.

Mungkin meneladani Rasulullah, PAS tidaklah bertindak “menyerang” DAP dengan sepanduk, tunjuk perasaan dan ceramah bersiri. Yang diungkit ialah persoalan bahawa DAP sebenarnya menjadi punca pertelingkahan.

“Kalau PAS itu main rentak DAP, maka jadi pecahlah saya tidak hendak tulis pelik-pelik kerana pemilihan (muktamar PAS) ini saya hendak puasa banyak-banyak,” kata calon Ketua Pemuda PAS, Nik Abduh Nik abdul Aziz.

Katanya, beliau dan ahli PAS memang tidak berpuas hati dengan sikap DAP menyerang wibawa Haji Hadi.

“Bagi saya, kalau semakin DAP serang ulama seperti Presiden, semakin orang (PAS) simpati kerana yang hendak mengundi bukan DAP, tetapi ahli PAS.

“Tak tahulah kalau DAP mahu Haji Abdul Hadi kekal presiden senang hendak keluar pakatan pembangkang,” katanya.

Ketenangan dan adab mengatasi segala. Namun tidak semua ahli PAS boleh bersikap cermat seperti itu. Ada yang berasa bahawa DAP bersikap “memijak kepala” simbol integriti PAS kerana didorong oleh ahli PAS sendiri.

“Mungkin dia nak ikut DAP. Bagi saya, orang PAS yang menyerang presiden kita dengan bahasa tidak sepatutnya, memang sama sahaja dengan DAP,” kata Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Beliau merumuskan golongan berkenaan juga mungkin mahu menyertai DAP kerana mereka menyokong tanpa berselindung setiap langkah yang diambil oleh pemimpin DAP bukan Islam itu.

Mutakhir ini, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menggandakan usaha untuk membina persepsi buruk terhadap Hadi apabila menyatakan bahawa presiden PAS, “jasad bersama pakatan rakyat, hati bersama Umno”.

Beliau kemudian mencabar Hadi membuktikan komitmen bahawa PAS masih mahu kekal dalam Pakatan Rakyat dengan menjawab cabaran lima soalannya:

1. mengapa Hadi memungkiri komitmen PAS terhadap Dasar Bersama Pakatan dan jaminan peribadinya kepada pemimpin Pakatan?

2. Mengapa Hadi menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dilanda kemelut skandal RM42 bilion 1MDB?

3. Mengapa Hadi mahu mewujudkan “kerajaan perpaduan” bersama Umno?

4. Mengapa Hadi enggan menyatakan sokongan kepada presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam Pilihanraya Kecil Permatang Pauh?

5. Mengapa Hadi mengisytiharkan bahawa umat Islam wajib marah kepada DAP kerana membantah undang-undang hudud tanpa menyebut tentang orang Islam lain, orang bukan Islam serta rakyat Sabah dan Sarawak yang turut membantah undang-undang berkenaan?

Dalam perbalahan ini, asas tidak puas hati DAP terhadap PAS ialah tidak setuju hukum hudud dilaksanakan di mana-mana negeri di Malaysia.

Bagaimanapun bagi PAS, hukum Allah adalah inti perjuangannya. Tiada kompromi dalam soal itu. Soal hudud tidak disebut dalam dasar bersama. Justeru mana mungkin PAS dikatakan mungkir janji?

Sebelum wujud Pakatan Rakyat, soal melaksanakan hukum Allah itu sudah diperjuangkan PAS. Tidak pernah pada bila-bila masa – sebelum atau sesudah dasar bersama dipersetujui – PAS memberi pengakuan akan meninggalkan isu itu.

Bak kanak-kanak bergaduh, DAP sudah menginjak kepala PAS hanya berdasarkan pemahamannya PAS sudah mungkir janji. Bagaimanapun hujah DAP hanyalah retorik politik untuk “menendang” PAS keluar Pakatan rakyat.

Betapa tidaknya, melalui Pakatan Rakyat, DAP berasa sudah dapat menyatukan sokongan pengundi Cina dan bukan Melayu. Melalui dokongan PKR dan PAS juga DAP menikmati pencapaian terbesar dalam pungutan kerusi Dewan Rakyat.

Kini DAP sengaja mencari helah untuk membina persepsi bahawa PAS sebenarnya sebuah parti perkauman seperti Umno kerana berasa yakin, ramai anak muda dan inteligentsia Melayu amat membenci politik perkauman.

Mungkinkah bagi DAP inilah masa untuk menolak Umno dan mengkuburkan PAS menurut strategi perkaumannya?

Namun nampaknya bagi PAS teladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. dengan  ucapan “wa’alaika” (kamu juga) untuk doa buruk Yahudi – “assaamu alaika ya Muhammad” adalah penawar kemelut politik yang dicetuskan DAP.  

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana