Siapa Suruh Jadi Rakan Sekutu DAP : ADUN PAS Tak Ada Hak Bantah Konsert 'Thirst 2015'

KUALA LUMPUR 28 April - Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming menegaskan bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang, Noor Hanim Ismail tidak berhak membantah konsert 'Thirst 2015: We Are All Stardust' kerana penganjurannya tidak terletak di kawasan yang diwakilinya.

Beliau berkata, suratnya kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) membantah konsert itu sehari sebelum ia dijadualkan berlangsung, dan tanpa menyiasat terlebih dahulu syarat yang dikenakan terhadap penganjur, juga memberi gambaran yang buruk kepada kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor.

" Hanim sepatutnya membincangkan pandangannya berhubung konsert itu dengan beliau dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah, kerana lokasi konsert itu di Mines International Exhibition and Convention Centre (MIECC) ialah di bawah kawasan mereka.

"Konsert ini bukan di bawah Seri Serdang, sebaliknya Parlimen Serdang dan kawasan DUN Seri Kembangan.

"Jika Seri Serdang hendak bantah, sekurang-kurangnya pejabat beliau patut maklumkan kepada Adun Seri Kembangan, yang juga exco PBT.

"Dia tidak memaklumkan kepada saya dan Ean Yong juga mengesahkan, beliau tidak dimaklumkan apa-apa mengenai perkara ini," katanya memetik laporan The Malaysian Insider.

Seri Kembangan dan Seri Serdang merupakan kerusi DUN di bawah kawasan Parlimen Serdang.

Beliau menjelaskan, Hanim juga sepatutnya menyiasat terlebih dahulu syarat ketat yang dikenakan terhadap penganjur sebelum mengemukakan notis bantahan kepada Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Antaranya, individu bawah umur 18 tahun dan mereka yang beragama Islam tidak dibenarkan masuk.

Bagi pekerja beragama Islam yang terlibat dengan konsert itu, mereka tidak dibenarkan berada di kawasan yang menghidangkan alkohol.

Malah katanya, 'lampu hijau' juga diberikan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri dan Jabatan Narkotik yang akan meletakkan beberapa pegawai memantau perjalanan konsert bagi memastikan tiada gejala maksiat termasuk jual beli dadah.

"Sebagai seorang Adun yang bertanggungjawab, beliau sepatutnya menyiasat dahulu dan mendapatkan maklumat mencukupi.

"Saya kecewa dengan perbuatan Seri Serdang yang memberi gambaran yang buruk kepada kerajaan Pakatan Rakyat," katanya.

Hanim dalam surat bantahannya kepada MPSJ berkata, pihaknya membantah konsert yang ditaja syarikat arak Heineken itu kerana bimbang insiden sama berulang seperti Future Music Festival Asia di Bukit Jalil tahun lalu yang melibatkan kematian 6 remaja akibat pengambilan dadah berlebihan.

Hanim juga berkata menjadi tanggungjawabnya sebagai seorang Islam dan seorang Adun membantah konsert itu.

Ong yang juga pengarah strategi DAP itu bagaimanapun berkata, Hanim perlu merujuk kepada penganjur tentang langkah keselamatan untuk mengelakkan insiden sama berulang kembali.

"Saya rasa kebimbangan beliau itu wajar, tetapi beliau patut semak dahulu dengan penganjur apakah langkah keselamatan untuk mengelakkan insiden sama berlaku.

"Contohnya, ada perlawanan bola sepak yang berlaku pergaduhan dan keganasan sehingga ia dibatalkan. Tetapi tidak mungkin perlawanan bola sepak seluruh dunia dibatalkan hanya kerana satu dua insiden sahaja," katanya.

Ong bagaimanapun menepis persepsi yang mengatakan isu itu mencerminkan krisis DAP-PAS di peringkat nasional berhubung isu hudud, mengatakan ia sebaliknya hanya tertumpu kepada isu tempatan sahaja.

Beliau berkata, pihaknya akan menulis surat kepada Hanim meminta penjelasan dan mengingatkannya supaya merujuk kepada wakil rakyat yang terlibat sebelum mengambil sebarang tindakan terhadap mana-mana program atau majlis pada masa akan datang.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana