PAS : Guan Eng Tak Siuman

KUALA LUMPUR 28 Mac - Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan Mohamad Noor Mohamad melihat tindakan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng memutuskan hubungan dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang namun mengekalkan hubungan dengan parti Islam itu umpama individu yang "hilang akal".

Mohamad Noor pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini berkata, kenyataan yang dikeluarkan ketua menteri Pulau Pinang itu adalah "biadap" dan "tidak reti bahasa", dan hanya dikeluarkan oleh individu yang "tidak siuman".

"Kenyataan itu satu kenyataan biadap dan dia tidak reti bahasa, dan PAS Wilayah lihat kenyataan itu dikeluarkan oleh orang yang tidak siuman.

"Mana mungkin putus hubungan dengan Hadi, sebagai presiden, tapi pada masa sama kekal hubungan dengan PAS, tidak rasional itu, orang tiada akal yang kata begitu," kata Mohamad Noor.

Beliau berkata, kenyataan-kenyataan daripada kepimpinan DAP yang mengkritik Hadi juga dilakukan kerana mereka rasa "bongkak" dan "sombong" kerana jumlah kerusi yang dimenangi rakan komponen Pakatan Rakyat (PR) itu lebih banyak berbanding PAS dalam Pilihan Raya Umum 2013.

"Saya melihat pimpinan DAP sudah semacam bongkak, sombong, kerana menang banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Dia kena ingat, kemenangan itu sokongannya daripada ahli PAS. Jangan rasa yakin untuk pilihan raya umum akan datang kalau ahli PAS tak menyokong," katanya.

Sehubungan itu, Mohamad Noor menggesa agar DAP menarik balik kenyataan-kenyataan mereka sekiranya masih lagi bersama dalam PR, dan jika gagal berbuat demikian, DAP harus meninggalkan PR.

"PAS Wilayah menggesa supaya pihak DAP segera menarik balik kenyataan-kenyataan mereka, sekiranya benar ingin kekal dalam PR dan sekiranya masih keluar kenyataan hina presiden, DAP dicabar keluar PR.

"Atas sifat setiakawan, tidak boleh kawan dalam parti hina presiden, kita menyeru supaya tiada lagi kenyataan-kenyataan yang boleh meretakkan hubungan dalam PR."

Mohamad Noor berkata, kenyataan yang dikeluarkan pimpinan DAP itu juga dilihat umpama ingin "menaja" mana-mana pimpinan PAS yang ingin menggantikan Hadi.

"Kenyataan itu semacam DAP ada rancangan untuk menaja pimpinan parti menjadi presiden PAS."

Beliau berkata, PAS Wilayah, menyokong sepenuhnya kepimpinan Hadi sebagai presiden dan menolak sebarang usaha untuk menjatuhkan atau menukar presiden PAS kepada pemimpin lain selain Hadi.

"PAS Wilayah akan pastikan usaha menukar presiden tidak akan berhasil dalam Muktamar ke-61 akan datang," katanya.

"Siapa sahaja sebenarnya tidak layak ganti Hadi, kerana Hadi bukan sahaja diiktiraf orang Islam dalam negeri, tapi luar negara," katanya, merujuk kepada lantikan Hadi sebagai naib presiden ulama dunia.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana