Puak DAP guna PasMA jatuhkan Hadi, ulama PAS?

BANGI, 25 Feb – DAP akan menyalurkan sekurang-kurangnya setengah juta ringgit bagi setiap tiga bulan kepada Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) sebagai ‘imbuhan’ untuk melaksanakan strategi bagi ‘projek khas’ menjatuhkan kepemimpinan ulama dalam PAS, termasuk menyingkirkan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, selain menjalankan aktiviti mereka.

Imbuhan itu juga digunakan untuk menyusun strategi menaikkan pemimpin PAS yang menyokong PasMa dan DAP ke jawatan peringkat kampung hingga peringkat tertinggi parti itu.

ISMAweb difahamkan bahawa butiran dan agenda kerjasama itu diputuskan pada pertemuan sekumpulan 15 anggota PasMa diketuai bekas Ahli Exco Kedah, Datuk Phahrolrazi Mat Zawawi dan 10 wakil DAP diketuai Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, 12 Januari lalu pukul 11 pagi di pejabat ketua menteri itu.

Walaupun pertemuan itu diadakan lebih sebulan lalu, baru kini, umum mula memperoleh butiran lengkap pertemuan itu yang disebarkan hari ini.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agong DAP sebelum ini mengesahkan pertemuan itu, tetapi enggan mengulas agenda pertemuan.

Satu sumber hari ini mendedahkan PasMa diwakili oleh 15 ahlinya iaitu Phahrolrazi; Nasir Ahmad; Taib Zakaria; Dzulqarnain; Rahman Taib; Hazmi Hassan; Sayuthi Omar; Mohd Yusof Mohd Noor; Zolkifly Md Lazim; Nordin Majid; Taib Ahmad; Yusni Mat Piah; Muhaimin Sulam; Yacob Ali dan Roshidi Husin.

DAP pula diwakili Guan Eng, Timbalan Ketua Menteri, P Ramasamy; Chow Kon Yeow; Jeff Ooi; Lim Hock Seng; Zairil Khir Johari; Ong Ah Teong; Harvinder Singh; Ng Wik Aik dan Chong Eng.

Agenda penting dikatakan disebut dalam pertemuan itu ialah komitmen 100 peratus PasMa untuk memastikan Abdul Hadi ditumbangkan dalam Muktmar Tahunan PAS nanti.

Selain mahu supaya Abdul Hadi dan golongan ulama disingkirkan daripada kepemimpinan PAS, Guan Eng dan konco-konconya dalam pertemuan itu secara bersama bersetuju supaya Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menerajui parti itu.

Difahamkan, pada pertemuan itu juga Phahrolrazi dan rombongannya memberi jaminan bahawa PasMa akan membantu DAP dalam segala urusan, termasuk membantu parti itu memasuki kawasan majoriti umat Islam pada pilihan raya di Sarawak nanti dengan syarat Guan Eng memberi jawatan Pengerusi JKKN dan ahli majlis perbandaran kepada ahli PAS yang menyokong PasMa.

Guan Eng pula menyatakan bahawa ada ahli PasMa yang sudah dilantik menjadi ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan berjanji akan menyerahkan jawatan Pengerusi JKKN kuota PAS kepada ahli PasMa.

Guan Eng juga mahu PasMa memberi tumpuan khas di kawasan Felda dan beberapa kawasan Melayu di Johor kerana negeri itu adalah sasaran DAP seterusnya untuk ditawan.

DAP juga mahu PasMa menghantar ahlinya ke Sarawak mulai bulan ini bagi melaksanakan kempen menjelang pilihan raya negeri dengan semua kos ditanggung oleh DAP.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana