PAS Anggap DAP Sebagai Musuh Bila Ajak Debat...PAS Sekarang Sudah Bijak Menilainya...

KUALA LUMPUR 29 Jan - DAP hari ini mendakwa PAS cuba "membakar jambatan" hubungan antara mereka selepas setiausaha agung parti Islam itu, Datuk Mustafa Ali, membuat cabaran debat semalam ketika keretakan dalam Pakatan Rakyat (PR) semakin parah.

Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke menyifatkan tindakan Mustafa mengajak rakan sejawatnya Lim Guan Eng berdebat mengenai pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) seolah-olah menunjukkan DAP ialah musuh politik PAS.

"Pendekatan yang diambil Mustafa untuk mencabar setiausaha agung DAP berdebat seolah-olah ingin 'membakar jambatan' dengan DAP dan menganggap DAP sebagai musuh politik PAS dan bukannya rakan sekutu dalam PR.

"Adakah ini taktik permulaan untuk memecahkan PR dari dalam? Adakah cabaran beliau mewakili pendirian rasmi PAS?" soal Loke dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Seremban itu sebaliknya menggesa Mustafa menasihati pimpinan PAS supaya menghadiri mesyuarat PR daripada mencabar diadakan debat terbuka.

Katanya, DAP berpendirian, lebih wajar Mustafa memastikan pimpinan tertinggi PAS termasuk presiden PAS menghadiri Majlis Pimpinan Tertinggi PR bagi membincangkan isu-isu tersebut daripada debat terbuka.

"Bukankah forum dalam Majlis Pimpinan Tertinggi PR lebih sesuai berbanding debat, memandangkan isu yang timbul melibatkan pendirian parti masing-masing dan bukannya soal individu?

"Ini perlu diselesaikan dalam mesyuarat bersama dan debat merupakan pilihan terakhir untuk membincangkan isu tersebut," katanya.

Loke juga mempertikaikan sikap PAS mencabar rakan sekutu dalam PR tapi tidak mencabar lawan politik sebenar mereka, Umno.

"Pihak DAP berasa amat tercabar oleh cabaran debat beliau kerana setahu saya beliau tidak pernah mencabar Umno sekalipun untuk berdebat tetapi memilih untuk mencabar DAP," katanya.

Beliau berkata, cabaran Mustafa itu melanggar adat dan protokol parti bersekutu dalam PR dan menggesa PAS mematuhi dasar bersama PR.

"Ini kerana, Mustafa sendiri mengetahui yang jawatan Setiausaha Agung DAP ialah jawatan parti yang tertinggi dalam hierarki DAP, tetapi jawatan setiausaha agung PAS ialah jawatan lantikan oleh presiden PAS, dan kedua-dua jawatan tersebut adalah tidak setaraf dalam struktur pimpinan PR walaupun namanya sama," katanya.

Loke mengulangi pendirian DAP yang usaha kerajaan negeri Pulau Pinang mengembalikan pilihan raya PBT selari dengan Dasar Bersama PR yang dipersetujui ketiga-tiga parti.

"Ini dapat dibuktikan dengan amat jelas melalui ayat yang tertera dalam Bab Demokrasi Telus dan Tulen, Dasar Bersama PR yang berbunyi: 'Mengukuhkan demokrasi kerajaan tempatan dan meningkatkan kecekapan serta keberkesanan sistem penyampaian dan menjamin ketelusan di semua peringkat secara demokratik'.

"Bukankah usaha memulihkan pilihan raya kerajaan tempatan selari dengan dasar mengukuhkan demokrasi kerajaan tempatan?" soal Loke.

Beliau menambah, PAS perlu komited dan patuh kepada Dasar Bersama PR yang turut dimeterai presiden PAS sendiri.

"Amat tidak bertanggungjawab sekiranya setiausaha agung PAS menggunakan isu pilihan raya kerajaan tempatan untuk menyerang DAP, kononnya kami juga melaksanakan sesuatu yang bertentangan dengan Dasar Bersama PR," katanya.

Semalam, Mustafa mencabar Lim berdebat secara terbuka dalam isu pilihan raya kerajaan tempatan dan hudud.

Krisis antara DAP dan PAS semakin terserlah, terutama apabila parti Islam tersebut dilihat cuba melanggar kerjasama dengan berkeras mahu melaksanakan undang-undang Islam.

Loke menegaskan, Mustafa tidak boleh menyamakan isu hudud dengan pilihan raya PBT kerana DAP tidak pernah bersetuju dengan pelaksanaan hudud sejak hari pertama PR ditubuhkan dan tiada satu perkataan pun dalam Dasar Bersama PR yang menyentuh berkenaan hudud.

Sebaliknya, PAS secara prinsipnya bersetuju “mengukuhkan demokrasi kerajaan tempatan”, tambahnya.

"Apakah Mustafa ingin memberi gambaran yang PAS sebenarnya hanya bersetuju dengan pengukuhan demokrasi sebelum pilihan raya umum ke-13 untuk memenangi sokongan pengundi tetapi hakikatnya PAS tidak bersedia memberi komitmen mengukuhkan demokrasi akar umbi?" soal Loke.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana