Isu rotan: Jangan pecah belahkan keluarga, rampas anak dari ibu bapa

Apakah wajar kita mencedok bulat-bulat peraturan negara barat, dengan kebudayaan dan tradisi berlainan menjadi sebahagaian daripada sistem perundangan kita?
Itu soalan yang berlegar dua tiga hari ini sejak timbul cadangan untuk menjadikan rotan kanak-kanak sebagai satu jenayah

Ia terkandung dalam akta baru bagi menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001 perlu mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkaitan dan harus relevan dengan budaya dan agama masyarakat di Malaysia.

Bukan semua perkara dalam Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) perlu dituruti Malaysia kerana terdapat lima pengecualian yang dibenarkan disebabkan ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang tempatan.

Menurut pakar rujuk undang-undang dalam perlindungan kanak-kanak, Dr Farah Nini Dusuki berkata, ini bermakna bukan 100 peratus keputusan CRC diterima oleh Malaysia.

“Sebenarnya CRC adalah konvensyen yang telah dirangka dengan mengambil kira pendapat pakar termasuk pakar dari Universiti Al-Azhar, Mesir.

“Kita tidak sewenang-wenangnya ikut CRC. Bila kita mula-mula tandatangan CRC, ada 12 pengecualian, tetapi sekarang tinggal lima pengecualian kerana ada hak yang sudah dibolehkan,” katanya.

Kata Farah Nini, lima perkara yang Malaysia tidak setuju dalam CRC ialah tiada diskriminasi terhadap kaum, hak kewarganegaraan, hak kebebasan beragama, Perkara 37 iaitu tidak boleh sebat dan hukuman memalukan kepada pesalah juvana, dan Perkara 5 iaitu hak mendapatkan pendidikan.

“Kita ada lima perkara tidak setuju (pengecualian) kerana ada antaranya bercanggah dengan agama Islam. Misalnya hak kebebasan beragama, Malaysia tidak beri hak kepada anak-anak memilih agama selagi di bawah usia 18 tahun.

“Selain itu, kita tidak setuju untuk tiada diskriminasi kaum kerana kita ada perundangan yang melindungi hak Melayu dan Bumiputera,” katanya.

Mengenai hak kewarganegaraan, Malaysia tidak bersetuju kerana ia memudahkan anak warga asing yang lahir di negara ini secara automatik mendapat taraf warga negara.

Ditanya apa akan berlaku jika Malaysia tidak menuruti CRC, beliau berkata ia hanya akan mencacatkan laporan hak kanak-kanak yang perlu dihantar setiap empat tahun.

Manakala bagi Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia Musa Awang pula, sekiranya mendidik anak dengan rotan dikanunkan sebagai suatu kesalahan jenayah, dikhuatiri undang-undang itu dimanipulasi oleh pihak yang mahu merampas anak daripada jagaan ibu bapa.

“Jika benar akta baru ini digubal, saya khuatir ia menghuru-harakan institusi kekeluargaan termasuk dalam kes perebutan anak.

“Hanya disebabkan pukulan rotan yang ringan untuk mendidik, pihak yang ingin mengambil anak membuat laporan polis, kemudian ibu atau bapa yang menjaga anak ditahan. Akhirnya menyebabkan perpisahan antara anak dengan ibu atau bapa,” katanya, di sini, semalam.

Menurutnya, seperti berlaku di Sweden, ibu atau bapa yang ditahan dipisahkan dengan anak berkenaan sehingga berusia 18 tahun dan anak diperintah mahkamah untuk diletakkan di bawah jagaan keluarga angkat yang berkemungkinan berbeza agama.

“Kesan psikologi memisahkan anak dengan ibu bapa lebih besar mudaratnya jika dibandingkan kesan pukulan rotan untuk mendidik,” katanya.

Timbalan Rektor Pembangunan dan Pengantarabangsaan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) Dr Zulkifli Abdul Hamid berkata, sebelum akta baru ini digubal, lebih elok pihak berkepentingan duduk semeja dan memperhalusi baik buruknya.

“Kerajaan perlu memperhalusi sedalamnya kesan jika akta baru ini diwujudkan menggantikan yang sedia ada kerana bimbang menimbulkan kekeliruan berikutan dalam Islam tidak menegah perbuatan merotan anak untuk mendidik.

Menurutnya, beliau berharap pemimpin, badan bukan kerajaan dan masyarakat Islam menolak cadangan yang dibuat itu kerana jika cadangan terbabit diterima pakai, ia bakal menjadikan anak ‘besar kepala’.

“Cadangan yang dilontarkan itu perlu dikaji terperinci kerana membabitkan banyak aspek. Jikalau ada kelemahan sebelum ini, kita kena perbaikinya,” katanya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana