Yang tersirat di sebalik kemenangan BN di Pengkalan Kubor

Kemenangan Barisan Nasional (BN) dengan majoriti undi yang semakin besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor menghulur isyarat bahawa parti itu semakin diterima rakyat, kata penganalisis politik.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Datuk Dr Samsul Adabi Mamat berkata jumlah majoriti undi BN yang meningkat sekali ganda adalah di luar jangkaan.

"Pada peringkat awal, saya tidak menjangkakan bahawa majoriti yang diterima BN sebegini besar dan peningkatan majoriti adalah hampir 1,000," katanya kepada Bernama hari ini.

Pun begitu, beliau menegaskan bahawa kemenangan BN bukanlah suatu petanda bahawa parti itu semakin kuat, tetapi strategi yang digunakan untuk meraih sokongan pengundi dilihat semakin berkesan.

"Tambahan pula PAS sekarang mengalami masalah dalaman yang membabitkan pertembungan kumpulan ulama dan profesional, sekaligus menghakis semangat jentera untuk berkempen secara agresif. Ini memberi kelebihan kepada BN," katanya.

Semalam, calon BN Mat Razi Mat Ail, 48, menang dengan majoriti 2,635 undi selepas mendapat 9,961 undi, mengalahkan calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim, 56, yang memperoleh 7,326 undi dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary, 47, yang menerima 38 undi sahaja.

Samsul Adabi berkata kesepaduan jentera BN ditambah dengan hampir 3,000 program kempen sepanjang PRK, yang berlangsung selama 12 hari sejak 13 Sept lepas, mempengaruhi peningkatan undi.

Beliau tidak menafikan andaian bahawa kelemahan kepimpinan kerajaan negeri Kelantan pimpinan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob juga faktor penyumbang yang mendorong pengundi khususnya atas pagar memberi undi kepada BN.

"Mat Razi mendapat 9,961 undi, dan daripada jumlah itu 7,000 adalah anggota Umno dan BN, manakala baki itu adalah pengundi atas pagar.

"Mereka yang di atas pagar ini semakin bosan dengan janji yang ditaburkan PAS malah calonnya juga dilihat tidak mesra rakyat.

"Saya berkesempatan bertemu dan berbual ketiga-tiga calon ini pada hari penamaan calon dan saya berpendapat calon BN mempunyai ketokohan dan penampilan baik termasuk sikap mesranya.

"Calon Bebas juga mempunyai penampilan lebih baik daripada calon PAS yang lebih banyak mengambil sikap berdiam diri. Ini yang tidak dikehendaki pengundi," katanya.

Samsul Adabi berkata kelemahan kepimpinan PAS di Kelantan juga memberi kelebihan kepada BN dalam usaha mengekalkan kerusi DUN Pengkalan Kubor.

"Kelemahan kepimpinan membolehkan BN meluaskan pengaruhnya di Kelantan dan ini dibuktikan di PRK Pengkalan Kubor," katanya.

Beliau tidak menolak faktor pengundi luar yang tidak pulang mengundi juga menjadi penyumbang kepada kemenangan BN di kerusi tersebut.

Pada PRK DUN Pengkalan Kubor, Mat Razi berjaya menambah majoriti sebanyak 899 undi berbanding penyandang Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar yang mendapat 1,736 undi pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

PRK itu diadakan berikutan kematian Noor Zahidi pada 20 Ogos lalu.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana