Mat Razi Sebagai Contoh 'Winnable Candidate'

TUMPAT, 26 Sept - Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor semalam, memperlihatkan Mat Razi Mat Ail sebagai contoh 'winnable candidate' atau 'calon boleh menang' diperlukan Umno dan BN.

Perawakannya yang menyenangkan, pengetahuan dalam bidang agama dan bersifat dermawan dengan mewakafkan tanahnya untuk pendidikan pondok secara percuma dilihat serasi dengan kehendak dan keperluan penduduk setempat.

Gelaran 'ustaz' diberikan kepada bekas guru dan penolong pegawai pendidikan daerah Tumpat itu oleh masyarakat setempat menunjukkan mereka menghormati ketokohannya dan pastinya menaruh kepercayaan terhadapnya.

Namanya tidak begitu popular sebelum itu dan beliau bukanlah daripada kalangan beberapa nama disebut-sebut sebagai calon pada awalnya dan apa yang lebih membimbangkan adalah budaya "chah keting" atau mencantas yang sering menjadi faktor kekalahan BN di Kelantan.

Namun apabila Mat Razi, 48, diumum sebagai calon BN oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin tiga hari sebelum penamaan calon, beliau telah diterima baik oleh Umno Bahagian Tumpat dan ketiga-tiga sayap parti - Wanita, Pemuda dan Puteri.

Latar belakang Mat Razi pemegang Ijazah Kepujian Persuratan Melayu dan Sejarah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berpengalaman bekerja yang luas dan mengasaskan Pondok Simpangan sebagai tempat untuk belajar al-Quran dan ilmu agama, dilihat melengkapkan kriteria "calon boleh menang" itu.

Tambahan pula di kawasan DUN Pengkalan Kubor terdapat beberapa pondok agama yang lain, yang begitu rapat dengan masyarakat untuk mempelajari ilmu agama.

"Ini baru calon 'winnable candidate', dia (Mat Razi) memenuhi kriteria yang dikehendaki oleh rakyat khususnya pengundi yang membuat pilihan menentukan wakil rakyat mereka," kata pemerhati politik Profesor Adjung Universiti Utara Malaysia Datuk Hasan Haron kepada Bernama.

Mat Razi mempertahankan kerusi BN bagi DUN itu dengan memperoleh majoriti 2,635 undi iaitu bertambah sebanyak 899 undi berbanding majoriti 1,736 undi diperolehi penyandang Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar pada pilihan raya umum ke-13.

Beliau mendapat 9,961 undi, mengalahkan calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim (7,326 undi) dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail yang hilang wang pertaruhan dengan memperoleh 38 undi sahaja.

Hasan berkata kemenangan itu turut disumbangkan oleh golongan muda dan ini menunjukkan trend golongan itu mula berfikiran positif terhadap Umno dan BN.

"Saya melihat Umno dan BN serta PAS mempunyai pengundi tegar masing-masing, mereka ini tidak berganjak dan telah membuat keputusan lebih awal berbanding golongan muda dan mereka 'atas pagar".

"Golongan muda dan 'atas pagar' inilah yang turut menyumbang kepada kemenangan BN pada PRK DUN Pengkalan Kubor ini," katanya.

Hasan berkata sekiranya Umno dan BN dapat mengekalkan momentum sokongan terutama daripada golongan muda, BN mempunyai harapan untuk kembali memerintah Kelantan pada pilihan raya umum ke-14 akan datang.

Katanya terdapat kalangan anggota dan penyokong PAS yang tidak berpuas hati dengan parti itu yang dilihat sering 'diperkudakan' oleh PKR dalam banyak isu dan mereka ini dipercayai menterjemahkan bantahan melalui undi pada PRK ini.

Muhyiddin yang begitu gembira dengan keputusan itu turut mengariskan bahawa selain faktor calon, jentera PRK BN Kelantan yang dibantu oleh pasukan petugas BN dari seluruh negara telah memainkan peranan dengan berkesan.

"Kemenangan BN ini sesuatu yang luar biasa dan antara faktornya adalah keberkesanan jentera BN, latar belakang calon yang baik dan isu-isu seperti royalti minyak yang berjaya ditangkis dengan baik," katanya.

Keberkesanan BN menguruskan isu-isu yang dibangkitkan pihak lawan dan membuat serangan balas secara terancang bukan sahaja 'menyapu kecelaruan' dalam fikiran pengundi malah membuatkan jentera PAS 'patah sayap' untuk berkepak.

Strategi PAS untuk kembali bertanding di kerusi DUN itu selepas PKR tewas kepada BN pada dua pilihan raya umum lalu, dengan meletakkan calon yang diharapkan akan meraih sokongan besar kepada parti itu, nampaknya 'ranap'.

PAS dilihat 'keseorangan' sepanjang kempen, apabila tiada kelibat pemimpin tertinggi rakan pakatannya PKR dan DAP, jika ada pun "ala kadar' sahaja malah kempen PAS yang nampak bersungguh-sungguh di saat-saat akhir juga tidak berkesan untuk meraih sokongan pengundi terhadap calon parti itu.

Kepada Mat Razi, ramai pemilih DUN Pengkalan Kubor berpesan: "Senantiasalah cakna (ambil tahu) dengan rakyat dan teruskan legasi yang ditinggalkan oleh Allahyarham Noor Zahidi".

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana