PM ulas krisis politik di Selangor... "nepotisme terbuka"

Sedar atau tidak, sejak krisis politik makin memuncak di Selangor kira-kira sebulan lalu, ini kali pertama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membuat komen cara terbuka.
Bukan sebab beliau tak mahu komen, tapi kesibukan menguruskan soal berkaitan kes tragedi MH17 menyebabkan Najib tak ambik pot sangat isu Selangor.

Jika masih ingat, malam Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan dengan rasmi bahawa isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai MB adalah malam yang sama Najib berjaya berunding dengan pemberontak untuk lepaskan jenazah mangsa MH17.

Sejak itu sehingga semalam, di majlis jamuan Aidilfitri UMNO Selangor yang dibuat cara berbeza iaitu diadakan di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) di Dengkil, baru kali pertama Najib ulas soal penukaran MB Selangor.

Beliau meminta rakyat Selangor menilai secara rasional perkembangan politik di negeri itu.

Menurutnya 'nepotisme terbuka' sedang berlaku di negeri Selangor di mana wakil rakyat yang sihat disuruh meletak jawatan dan digantikan dengan isteri sendiri dan satu pilihan raya kecil diadakan dan selepas itu isteri sendiri dicalonkan untuk menjadi Menteri Besar.

"Cuba bayangkan, kalau dalam BN kita angkat isteri menjadi Menteri Besar, kita akan dituduh nepotisme terbuka tetapi ini sedang berlaku di Selangor.

"Ini terserah kepada rakyat Selangor cuba fikirkan apa yang baik dan patut lakukan berasaskan pertimbangan masuk akal dan rasional dan pertimbangan ini menyelamatkan negeri dan negara kita secara keseluruhan.

"Pertimbangan bermotif sesuatu seperti ada udang 'galah' di sebalik batu akan merugikan rakyat," katanya dalam majlis yang dihadiri lebih 10,000 orang di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) di Dengkil, Selasa malam.

Hadir sama Pengerusi Badan Penghubungan UMNO Selangor dan Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor, Datuk Seri Noh Omar.

Najib berkata kerajaan pusat melahirkan penghargaan kepada Abdul Khalid yang bersetuju menandatangani perjanjian mengenai Projek Loji Rawatan Air Langat 2 untuk dilaksanakan bagi menjamin bekalan air berterusan kepada rakyat negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Perdana Menteri berkata walaupun perjanjian itu sepatutnya ditandatangani tiga tahun dulu tetapi politik telah mengatasi pertimbangan rasional Abdul Khalid.

"Menteri Besar Selangor sudah sedar bahawa keputusan kerajaan pusat sebelum ini adalah benar dan tepat, tanpa Langat 2 tiada jaminan bekalan air," katanya.

Sementara itu, Najib berkata tragedi MH17 ada hikmahnya apabila rakyat Malaysia di seluruh negara yang dilanda perasaan sedih dan pilu, disatukan, dengan bertafakur selama seminit, sebagai tanda penghormatan.

"Kita bersatu dalam kesedihan. Inilah keadaan yang amat unik dan teristimewa apabila kita dapat lupakan persengketaan, perbezaan ideologi politik, tidak kira bangsa dan agama tetapi atas dasar kita rakyat Malaysia, kita kongsi kesedihan dan simpati.

"Ini menunjukkan dalam ujian tersebut, rakyat Malaysia boleh bersatu dan tiada rintangan yang tidak boleh ditempuhi," kata Najib.

Sebelum itu, Najib bersama hadirin bertafakur selama seminit untuk memberi penghormatan kepada penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai lalu dan juga MH370 yang hilang sejak Mac 8.

Di majlis sama, Najib menyampaikan sumbangan kepada jemaah haji di Parlimen Sepang yang bakal menunaikan haji tahun ini.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana