MH370: Kisah dari dalam P3 Orion...Ikutilah Kisahnya P3 Orion

Saya tersedar daripada tidur selepas terdengar bunyi hentakan but Komander P3 Orion, Leftenan Erica Ross yang melompat turun dari katil boleh lipat yang terletak betul-betul di atas kepala saya.

“Selesa seperti di rumah," pegawai wanita muda itu menyapa saya. Barangkali kerana melihat saya terlena lebih lama berbanding kru pesawatnya yang bergilir-gilir melelapkan mata di bahagian belakang P3 Orion.

Sambil membetulkan topi berwarna merah jambu, Ross mengajak saya meninjau suasana operasi bagi mengelakkan rasa bosan. Rupa-rupanya, sudah hampir dua jam saya terlelap kerana keletihan.

Tatkala memasuki ruang tengah P3 Orion, terbit rasa segan melihatkan kru lain masih setia dengan tugas mereka walaupun operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat MH370 di Lautan Hindi sudah memasuki jam keempat.

Dua kru di kiri dan kanan pesawat berkenaan kelihatan tekun merenung permukaan laut dari tingkap tinjau sama ada dengan mata kasar, binokular dan kamera DSLR yang dilengkapi lensa telefoto.

“Inilah tugas saya sejak 9 Mac lalu, memerhatikan permukaan Laut China Selatan sebelum beralih ke Selat Melaka dan kini di Lautan Hindi.

“Adakalanya minda saya seperti mengada-adakan imej objek di permukaan laut. Mungkin kerana terlalu penat tetapi inilah cabarannya," kata Pegawai Kelas Kedua, Jaimeson Whiteley.

Ya. Memang amat mencabar kerana mereka dilatih untuk mengesan kapal selam dan kapal laut namun kali ini berdepan dengan misi yang lebih sukar kerana tidak tahu apakah objek yang akan muncul sama ada serpihan kecil MH370, jaket keselamatan mahupun dulang makanan pesawat malang itu.

Tidak jauh dari tingkap tinjau itu, terdapat empat stesen kerja yang dilengkapi monitor kamera resolusi tinggi, infra merah, radar dan pengesan kelainan magnetik (MAD) yang serba canggih.

Kelengkapan teknologi tinggi ini membolehkan P3 Orion mengesan manusia dari jarak 48 kilometer dan objek sekecil jaket keselamatan dari ketinggian 1,524 meter.

Teknologi infra merah umpamanya membolehkan operasi SAR dilakukan dalam cuaca gelap, MAD pula berkeupayaan mengesan kelainan medan magnetik seperti kewujudan logam manakala fungsi akustik mampu mengesan bunyi kira-kira 304.8 meter di dalam air.

Kemampuan luar biasa itu menobatkan P3 Orion buatan firma Lockheed Martin sebagai salah satu daripada dua pesawat pe­ngawasan maritim terbaik di dunia bersama-sama P-8 Poseidon.

Di salah sebuah stesen kerja, Jurumudi Aaron Eller kelihatan khusyuk memerhatikan monitor yang memaparkan imej daripada tiga kamera tinjauan beresolusi tinggi yang berada di bawah badan pesawat.

Tangannya cekap bermain dengan joystick yang mengawal pergerakan kamera berkenaan. Imej yang kelihatan seperti objek akan dizoom. Segalanya cukup jelas dan bagi imej tertentu, gambarnya disimpan untuk analisis selanjutnya sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa Malaysia.

“Jika ada objek yang dirasakan relevan dan perlukan pemeriksaan rapi, pesawat ini mampu terbang di paras yang lebih rendah kira-kira 60 meter dari permukaan laut bagi membolehkan kamera merakam imej dengan lebih jelas ," katanya.

Ditanya tidakkah tugas itu membosankan, dia sambil ketawa memberitahu: “Suka atau tidak, petunjuk mengenai MH370 perlu dicari. Penemuannya akan memberikan impak yang besar kepada misi SAR."

Bersebelahan ruang kerja Eller pula, Pegawai Kelas Pertama, Francis Enriquez tenggelam dalam dunianya merenung monitor radar, infra merah dan MAD.

“Jarak penglihatan saya melalui alat ini ialah kira-kira 290 km," katanya sambil menanda kawasan yang telah diimbas oleh P3 Orion.

Sementara itu, menceritakan operasi pada Isnin lalu, Komander Misi, Ketua Pegawai Waran Jorge Guiloty berkata, ia melibatkan kawasan pencarian seluas 43,000 batu nautika persegi di kawasan barat Lautan Hindi.

Katanya, lokasi pencarian itu adalah atas arahan kerajaan Malaysia dan pihaknya berharap sumbangan P3 Orion daripada Skuadron Grey Knight, Armada Ketujuh Tentera Laut Amerika Syarikat dapat membantu pencarian MH370.

“Kami ke sini untuk memberikan impak kepada misi SAR. Secara teknikal, apa yang kami cari ialah objek di permukaan laut.

“Apa sahaja, boleh jadi serpihan, bagasi penumpang dan kelengkapan lain ataupun kesan tumpahan minyak yang boleh dijadikan petunjuk.

“Kami mesti mengimbas setiap inci permukaan laut, tidak boleh ada kawasan yang tertinggal jika mahu menamatkan misteri kehilangan MH370," jelasnya.

Terdahulu, P3 Orion bersama 11 kru misi SAR berlepas dari Pangkalan Udara Subang pada pukul 12.30 tengah hari dan terbang selama dua jam sebelum tiba di kawasan operasi.

Memasuki kawasan operasi, salah satu daripada empat enjin bebaling turbo P3 Orion dimatikan bagi tujuan penjimatan bahan bakar sekali gus memanjangkan tempoh SAR.

Selama enam jam P3 Orion berlegar di kawasan operasi dengan penerbangan statik pada ketinggian kira-kira 304 meter dari permukaan laut dengan kelajuan sederhana.

Jarak itu amat hampir sehingga mata kasar boleh menangkap objek terapung yang kebanyakannya adalah sampah-sarap. Kerja-kerja mengimbas permukaan laut dibuat mengikut garisan lurus sebelum berpatah balik menggunakan jaluran bersebelahan umpama memesin rumput di padang bola.

Sewaktu operasi, cuaca amat baik walaupun Lautan Hindi yang merupakan kawasan laut terpencil sinonim dengan perubahan cuaca secara drastik daripada cerah kepada ribut sebelum kembali cerah selepas beberapa jam akibat pengaruh lilitan Antartika.

Walaupun dalam kebingitan enjin beba­ling turbo P3 Orion, penulis dapat merasakan kesunyian Lautan Hindi. Seluas mata memandang lautannya membiru menyimpan rahsia di manakah lokasi sebenar pe­nerbangan MH370 berakhir.

Arus Lautan Hindi yang kuat juga menjadi penghalang kepada usaha mengesan bangkai pesawat kerana serpihan atau apa jua objek yang boleh dijadikan petunjuk akan hanyut dengan pantas. Difahamkan objek boleh berubah kedudukan sehingga 200 kilometer (km) hanya dalam masa empat hari.

Analogi mencari jarum peniti di dalam jerami bagi menggambarkan kesukaran mengesan serpihan atau bahan bukti MH370 di Lautan Hindi sudah tidak tepat kerana keadaannya jauh lebih sukar. Operasi kini ibarat mencari jarum di dalam jerami yang longgokannya bergerak pada setiap masa di bawah sinaran cahaya yang berubah-ubah warnanya.

Malah pencarian objek yang relevan dengan kehilangan MH370 oleh P3 Orion pada Isnin lalu juga buntu. Apa yang berjaya dikesan oleh kelengkapan ultra moden pesawat berkenaan hanyalah 52 bot pemancing, sebuah kapal kontena dan kawanan ikan lumba-lumba.

Bagi penulis, hasil operasi itu amat mengecewakan selepas 10 jam berada di udara dan jika diberi peluang untuk me­nyer­tai misi SAR bersama P3 Orion sekali lagi, saya pasti menolak kerana misi itu amat memenatkan dan boleh mengundang mabuk laut yang kronik.

Namun, 11 kru P3 Orion tidak patah semangat malah selepas mendarat di Pangkalan Udara Subang kira-kira pukul 10 malam, wajah mereka ceria dan Ross yang baharu keluar dari kokpit sempat bergurau dengan me­ngacah untuk menyepak salah seorang kru.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana