Biarkan Pakatan Rakyat dengan politik kangkungnya

Pilihan raya kecil tidak patut diadakan semata-mata untuk menyelesaikan masalah dalaman sesebuah parti politik. Sesungguhnya ini adalah satu pembaziran masa, tenaga dan dana awam. Paling utama, ini adalah pengkhianatan amanah yang telah diberikan rakyat.

Apa yang sedang dilakukan oleh Pakatan Rakyat dalam percubaannya menyelesaikan krisis politik PKR sekarang ini adalah satu langkah politik kurang sihat jika diambil kira baru tujuh bulan lalu Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan.

Sesungguhnya tindakan mengarahkan seorang wakil rakyatnya, Lee Chin Cheh supaya mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Kajang, adalah satu manipulasi amalan demokrasi untuk kepentingan kepartian sahaja.

Namun di segi teknikalnya memang tiada peruntukan undang-undang yang boleh menghalang Pakatan Rakyat atau mana-mana parti politik sekalipun daripada menggunakan strategi seumpama itu.

Umum tahu PKR sudah sampai ke suhu yang boleh membantrakkan parti itu jika perbalahan politik di antara Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan Timbalan Presiden, Azmin Ali tidak diredakan segera.

Pergeseran ini dikatakan sudah berlaku sejak tahun pertama parti itu dan sekutu-kutunya memerintah Selangor pada tahun 2008 lagi.

Maka untuk mengelak kemelut itu melebar dan menggoncang kestabilan dalam parti dan akhirnya Pakatan Rakyat, maka digunakan kaedah yang pernah digunakan oleh Umno ketika mahu menukar Menteri Besar Selangor pada 1997.

Ketika itu, Menteri Besar, Tan Sri Muhammad Taib sudah hilang kepercayaan Umno untuk memimpin Selangor Darul Ehsan. Maka diarahkan wakil rakyat DUN Permatang, Datuk Jamaludin Adnan untuk mengosongkan kerusinya.

Ini bagi memberi laluan pada seorang Ahli Parlimen Kuala Selangor yang juga menteri Kabinet, Datuk Abu Hassan Omar untuk bertanding kerusi Permatang bagi melayakkannya menjadi ADUN dan akhirnya menggantikan Muhammad.

Yang menariknya ialah, dalam kecamuk politik yang dihadapi oleh PKR, ia masih boleh berharapkan bantuan sekutunya, DAP, untuk membantu meleraikan masalahnya.

Bak kata peribahasa, “Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa.” DAP tidak menghampakan PKR.

Suatu ketika dahulu DAP mendapati sukar bekerjasama dengan wakil PKR dalam kerajaan Pulau Pinang. Ketua Menteri DAP, Lim Guan Eng berasa timbalannya ketika itu, Fairus Khairuddin dari PKR sukar dibawa berunding.

Kerengsaan politik ini diadukan kepada pimpinan PKR. Khabarnya, PKR meletakkan anak muda itu di kerusi kedua tertinggi dalam pemerintahan negeri Pulau Pinang sebagai sebahagian program perkaderan politiknya.

Namun apabila DAP mengeluh, PKR segera akur. Fairus dipujuk supaya melepaskan kerusi berkenaan dan digalakkan menyambung pelajaran ke Australia.

Kerusi Dewan Undangan Negeri Penanti dikosongkan. Dalam pilihan raya Kecil yang diadakan, seorang yang lebih dewasa dan matang, Dr Mansor Othman dicalonkan dan kemudian dilantik Timbalan Ketua Menteri 1.

Kini giliran PKR pula mengadu kepada DAP. Demi membantu PKR menangani kemelut politik dalamannya, DAP bersedia menyokong supaya jurumudi politik Selangor ditukar.

Hasrat PKR ialah mahu meletakkan Ketua Umum parti itu merangkap Ketua Pembangkang di Parlimen dan pengemudi Majlis Presiden Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai Menteri Besar Selangor.

Kini giliran DAP membalas budi. Ia bersetuju dan menyokong formula damai PKR itu. Tanpa persetujuan DAP mungkin kemelut politik PKR akan menjadi problema politik bagi Pakatan Rakyat pula.

Sebuah lagi parti kerabat Pakatan Rakyat iaitu PAS sentiasa memerhati kemelut PKR itu dengan sabar dan bersedia mengemukakan formula penyelesaiannya sendiri.

PAS pun berminat untuk menerajui Selangor dan ia mempunyai alasan yang kukuh. Ini kerana ia mempunyai 15 kerusi DUN berbanding PKR hanya 14.

Walaupun DAP juga mempunyai 15 kerusi, namun tanpa ADUN Muslim-Melayu sukar baginya mengambil alih pimpinan negeri Selangor.

Bagaimanapun apabila DAP menyokong formula PKR menangani kemelut politiknya, PAS terpaksa memendamkan hasrat untuk menonjolkan calon menteri besarnya.

Persoalannya, perlukah Umno dan Barisan Nasional melayan gelagat politik PKR dan Pakatan Rakyat dengan “mengimarahkan” PRK kali ini? Seharusnya ia mengambil sikap sama seperti dalam PRK Penanti pada April 2009 lalu.

Menyedari bahawa PRK ini adalah satu helah politik Pakatan Rakyat, Umno memutuskan tidak mahu menyertai pilihanraya itu. Soal pembaziran masa, tenaga dan wang ringgit serta mengkhianati amanah rakyat alasan yang kukuh untuk memboikot PRK ini.

Rasanya, lebih wajar Barisan Nasional tidak “mengabsahkan” secara moralnya langkah mempermainkan nilai dan keluhuran demokrasi hanya untuk kepentingan politik sendiri. Mungkin ini maksud politik kangkung sebenarnya.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana