Menyorok Lima Jam Dalam Semak

TUMPAT – Polis berjaya menyelesaikan kes curi kereta dalam tempoh kurang 24 jam selepas mengejar seorang penjenayah yang menaiki kereta curi itu sejauh 35 kilometer sebelum berjaya menahannya, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.40 tengah hari, suspek berusia 34 tahun berasal dari Pasir Mas memandu kereta curi pacuan empat roda dan cuba meloloskan diri selepas anggota MPV Polis di Pasir Mas cuba menghalangnya.

Bagaimanapun suspek yang mempunyai kesalahan lampau membabitkan kes rogol dan dadah berjaya ditahan berhampiran kawasan perumahan Pantai Sri Tujoh di sini pada jam 9.30 malam selepas bersembunyi dalam semak hampir lima jam.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Zaharudin Rasip berkata, hasil siasatan mendapati kereta curi tersebut hilang jam 10 pagi di Jertih, Terengganu.

“Kehilangan kereta itu dihebahkan oleh Skim Rondaan Sukarela (SRS) Pasir Mas dan kemudiannya disedari oleh anggota MPV Pasir Mas yang ketika itu kereta curi tersebut berada berhampirannya di bandar Pasir Mas lalu diekorinya,” katanya.

Bagaimanapun, suspek memecut lari sehingga memasuki kawasan Tumpat di Pasir Pekan dan dengan bantuan dua MPV Tumpat suspek dikejar dari Chabang Empat menghala ke Pengkalan Kubor.

“Sampai di sekatan jalanraya Neting, suspek merempuh sekatan Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) dan melarikan diri ke kawasan Pejabat Imigresen Pengkalan Kubor dan kemudiannya membuat pusingan U di dalam kawasan jeti Kompleks Imigresen Kastam dan Kuarantin (CIQ) Pengkalan Kubor dan melarikan diri ke jalan Pantai Sri Tujoh,” katanya.

Katanya, suspek cuba merempuh seorang anggota polis ketika membuat halangan di hadapan pintu masuk CIQ tersebut mengakibatkan dia mengalami kecederaan calar di tangan kiri apabila cuba mengelak daripada dirempuh.

“Satu das tembakan amaran dilepaskan oleh anggota polis di hadapan pintu masuk CIQ.

“Sampai di kawasan perumahan Pantai Sri Tujoh, suspek memberhentikan kereta di kawasan lopak air berselut dan turun melarikan diri masuk dalam semak.

“Unit Pengesan Anjing turut terlibat untuk mengesan suspek dan hasil maklumat orang ramai suspek berjaya ditangkap dalam keadaan basah dan berselut tanpa selipar,” katanya.

- SINAR HARIAN

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana