Sokongan PAS untungkan DAP, PKR

Keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 telah diumumkan dan Pas adalah antara parti yang mencatatkan pelbagai kenangan suka dan duka termasuk penurunan jumlah ahli Parlimen daripada 23 orang pada PRU 2008 kepada 21 orang kali ini.

Parti itu gagal mempertahankan Kedah yang ditadbir selama satu penggal setelah BN berjaya membentuk kerajaan di Negeri Jelapang Padi itu dengan majoriti mudah sebanyak 21 kerusi.

Jumlah kerusi yang dimenangi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas di negeri itu juga berkurangan daripada 16 orang pada 2008 kepada hanya sembilan orang kali ini.

Jumlah wakil Pas dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) di beberapa negeri juga semakin berkurangan termasuk hilang lima ahli Parlimen di Kelantan daripada 37 orang pada 2008 turun kepada 32 orang kali ini, Terengganu daripada 16 orang kepada 14 orang, Perak daripada enam orang kepada lima orang dan Perlis daripada dua orang kepada seorang.

Beberapa orang kuat Pas juga telah tewas. Bagaimanapun, parti itu juga mencatatkan beberapa peningkatan apabila bilangan ADUN di beberapa negeri bertambah termasuk di Selangor daripada tujuh orang meningkat kepada 15 orang, Johor daripada dua orang kepada empat orang dan Pahang daripada dua orang kepada tiga orang.

Buat pertama kali juga calon parti itu menang di Melaka iaitu di DUN Bukit Baru.

Jumlah penguasaan Pas di peringkat DUN meningkat kepada 85 kerusi berbanding 83 kerusi pada PRU 2008.

Mengulas perkembangan itu, penganalisis politik, Mohd. Roslan Mohd. Saludin berkata, kekalahan Pas di Kedah memang sudah dijangka kerana terdapat pelbagai masalah dalam pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Mengenai pengurangan jumlah ADUN Pas di Kelantan, beliau berkata, antara puncanya adalah kesilapan Pas yang meletakkan calon tidak disukai penyokong parti itu di peringkat akar umbi.

Misalnya, kata beliau, calon Pas di DUN Selising yang dikaitkan dengan beberapa kontroversi, Drs. Saipul Bahrim Mohamad yang kalah kepada calon BN, Zulkifle Ali dengan majoriti tipis 107 undi.

"Sesuatu yang menarik untuk dilihat adalah langkah BN mencalonkan ulama pondok seperti Ahli Jawatankuasa (AJK) Minda Pondok, Mohd. Syamsul Mohd. Yusoff di DUN Pasir Tumboh.

"Walaupun kalah kepada calon Pas, dia masih mendapat 5,471 undi. Saya berpendapat BN perlu menampilkan lebih ramai calon daripada golongan ini pada masa depan," katanya yang juga bekas Felo Pusat Syariah, Undang-Undang dan Sains Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Dalam pada itu, beliau berkata, isu-isu kontroversi yang melibatkan sokongan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam dan pemecatan bekas Exco Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali gagal membuatkan penyokong parti itu beralih mengundi BN. Itu terbukti apabila parti itu mencatatkan keputusan baik di Selangor, Johor, Pahang dan Melaka.

Katanya, terdapat beberapa faktor perkara itu berlaku, termasuk sikap penyokong Pas yang terlalu taksub kepada parti berkenaan sehingga tidak menghiraukan pelbagai pendedahan yang dibuat oleh akhbar arus perdana seperti Utusan Malaysia.

"Mereka ini hanya membaca Harakah dan blog-blog propembangkang, jadi segala pendedahan yang dibuat oleh akhbar ini walaupun bersifat ilmiah dan dipenuhi dengan fakta tidak mempengaruhi mereka.

"Penyokong tegar ini juga mempunyai sifat Si Luncai yang tidak menghirau hakikat realiti semasa yang cuba didedahkan akhbar arus perdana.

"Mereka juga mempunyai sifat Pak Kaduk yang tidak kisah kampung tergadai asalkan dapat menang dan Si Kitul yang tidak kisah untuk memperjudikan masa depan agama dan orang Melayu semata-mata bagi mencapai cita-cita untuk ke Putrajaya," katanya.

Menurut beliau, prestasi baik itu juga kerana Pas mendapat manfaat daripada tsunami politik masyarakat Cina yang sanggup mengundi parti itu semata-mata kerana tidak mahu memangkah calon BN.

"Ini jelas ditunjukkan daripada kejayaan sulung Pas untuk menang di Melaka di DUN Bukit Baru melalui calonnya Dr. Md. Khalid Kassim. Beliau menang dengan majoriti 48 undi dan saya berpandangan ia berpunca daripada undi masyarakat Cina yang merangkumi 33 peratus daripada keseluruhan pengundi," katanya.

Tambah beliau, kerusi-kerusi DUN yang dimenangi Pas di Selangor juga adalah di kawasan ramai pengundi Cina seperti Taman Templer (35 peratus), Lembah Jaya (32 peratus), Chempaka (38 peratus), Hulu Langat (34 peratus), Dusun Tua (37 peratus) dan Tanjong Sepat (28 peratus).

Bagaimanapun, katanya, terdapat beberapa pemimpin Pas khususnya yang bertanding di peringkat Parlimen yang tidak mendapat manfaat daripada tsunami politik masyarakat Cina.

"Ini berpunca kerana masyarakat Cina mempunyai pemikiran strategik yang tidak mahu pemimpin Pas yang dilihat berkaliber mencabar tokoh-tokoh besar DAP yang bertanding. Salahuddin kalah di Parlimen Pulai dan DUN Nusajaya walaupun kedua-dua kawasan itu mempunyai ramai pengundi Cina, masing-masing sebanyak 41 peratus dan 38 peratus.

"Mereka tidak mahu Salahuddin yang disebut-sebut bakal menjadi Menteri Besar Johor kalau pembangkang menang, menjadi lebih dominan berbanding Lim Kit Siang yang telah menang dengan majoriti besar 14,762 undi di Parlimen Gelang Patah.

"Saya menjangkakan kekalahan Haron di Parlimen Arau dan Tuan Ibrahim di DUN Jengka juga berpunca kerana ketiadaan sokongan masyarakat Cina walaupun jumlah pengundi kaum itu tidak begitu ramai.

"Haron dan Tuan Ibrahim dilihat antara orang yang lantang memperjuangkan pelaksanaan hukum hudud dan menentang penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam," katanya.

Menurut beliau, kekalahan Husam di Putrajaya yang mempunyai 39 peratus pengundi Cina juga atas sebab yang sama selain beberapa faktor lain termasuk penjawat awam menolak calon yang menggunakan sentimen kenegerian untuk meraih undi.

Keputusan telah dibuat oleh pengundi dan ke manakah hala tuju Pas selepas ini?

Adakah ia akan kekal bersama pakatan pembangkang setelah memperolehi jumlah yang kecil untuk Parlimen berbanding DAP 38 kerusi dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 30 kerusi? Hanya masa yang akan menentukan.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana