Peserta protes jalanan 'penderhaka' - Mufti

KUALA LUMPUR: Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria melabelkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pro pembangkang yang mahu turun ke jalanan sekiranya pegawai kanan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak dipecat ataupun meletakkan jawatan sebagai 'penderhaka' dan perlu bertaubat.

Ketika dihubungi Antarapos, Harussani menegaskan pegawai yang menganggotai SPR dilantik selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan semua parti politik harus akur dengan keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) awal bulan ini.

Keputusan PRU13 menyaksikan Barisan Nasional (BN) kekal mentadbir kerajaan pusat.

"Saya melihat perkara ini sudah diterima oleh Agong, semua pihak perlu terima (keputusan PRU13)... kalau tak puas hati kemukan petisyen tapi kena terima dulu... bukan mendesak dengan perkara lain pula.

"Ikut undang-undang (kalau tidak berpuas hati) tapi mereka tidak berhak untuk buat tunjuk perasaan, pada waktu ini ia telah diterima oleh Agong dan angkat sumpah juga di depan Agong maka kerajaan yang ada ini adalah kerajaan yang sah," kata Harussani mengulas amaran dikeluarkan NGO berkenaan.

Dilihat sebagai kesinambungan Himpunan 505 di Dataran Petaling Jaya pada Sabtu lalu, antara penganjur perhimpunan itu, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) berkata himpunan berkenaan hanya "satu permulaan kepada gerakan #SuaraRakyat505".

"Amaran terakhir dari rakyat bahawa mereka berani untuk berarak secara aman sekiranya SPR masih tidak dipecat atau meletak jawatan. Rakyat sudah bersedia ke jalan raya demi demokrasi yang telah digelapkan, bila-bila masa dari sekarang," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Kumpulan itu juga menggesa 500,000 sukarelawan untuk berarak ke SPR, atau ke mana jua asalkan ia menepati saranan SPR meletak jawatan.

Jangan jadi penderhaka kepada negara

Tambah Harussani, mana-mana pihak yang tidak berpuas hati harus bertindak mengikut saluran yang betul iaitu mengemukakan petisyen di mahkamah.

Justeru beliau menyifatkan mana-mana pihak yang mahu mengadakan tunjuk perasaan sebagai 'penderhaka'.

"Kecuali dibuktikan (berlaku penyelewengan) dalam undang-undang, kalau buat tunjuk perasaan untuk jatuhkan kerajaan itu maknanya penderhaka.

"Penderhaka haram hukumnya maka boleh diambil tindakan, kalau sudah sampai mengancam nyawa maknaya boleh ditangkap dan dihukum dengan keras... mereka perlu bertaubat," katanya.

Isnin lalu, bekas pemimpin PKR Datuk Zaid Ibrahim juga menggesa Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya  tidak lagi meneruskan perhimpunan bagi membantah keputusan PRU13 kerana ia dianggap sebagai suatu bentuk provokasi yang tidak diperlukan.

Katanya, pembangkang seharusnya mengumpulkan segala bukti dan mengemukakannya kepada mahkamah untuk diadili kerana penganjuran perhimpunan demi perhimpunan tidak akan menjamin sebarang perubahan.

Comments

Popular posts from this blog

RUPANYA RAMAI YANG SALAH MANDI WAJIB, INI CARA MANDI WAJIB YANG BETUL

Gadis Melayu 15 Tahun Rela Jadi Hamba Seks Teman Lelaki Kerana Takut Video Sekss Tersebar...Berhati Hatilah Yang DiLuar Sana